Tuesday, February 15, 2011

Ini tidak akan disiarkan kecuali di sini




Seperti yang dijanjikan, akan kusiarkan sebab dan musabab aku tidak lagi mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap politik. Aku boleh memberi jaminan bahawa kalian tidak akan menjumpai artikel ini di mana-mana akhbar cetak ataupun media internet kerana aku telah melakukannya sebelum ini. Medium yang aku sangkakan adalah fair dan seimbang akhirnya membuka topeng mereka sebagai partisan. Siapa yang mahu menyiarkan sebuah artikel yang akan menelanjangkan kebenaran dan menyingkap kepalsuan tanpa mengenal siapa.

Bersempena dengan pemilihan MPP yang bakal berlangsung di seluruh universiti malaysia, ini adalah satu isyarat bahawa aku tidak mahu sesiapa pun yang bertanding cuba menanam benih atau doktrin bejat mana-mana parti politik yang wujud di negara ini. Janganlah sesekali mencuba untuk melakukan perkara tersebut kepada aku meskipun ia amat berkesan kepada mereka yang totok dan sanggup menghabiskan masa 24 jam untuk politik. Sebagai manusia yang mewakili demografi seorang mahasiswa aku mahu menggunakan masa keemasan ini untuk membebaskan diri daripada belenggu doktrin yang menyempitkan ruang fikiran dan mengongkong kebijaksanaan aku untuk membuat pertimbangan dan pandangan. Lagipun semua orang akan bersetuju apabila kukatakan politik adalah 'lebih banyak cakap daripada buat kerja'. Letaklah slogan apa pun, taburlah janji seluas bumi tetapi janganlah bermimpi untuk menutup langit fikiran aku yang menuntut agar kebajikan dan kepentingan rakyat/pengundi diletakkan di barisan pertama daripada kepentingan politik.

Maka, selamat membaca artikel di bawah yang telah disimpan sejak tahun lepas dan pada hari ini telah disiarkan di medium yang tidak akan memuaskan hati sesiapapun mahupun mana-mana pihak.

1. Politik Malaysia tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu, baik isu yang sudah lama tetapi digemari ramai atau isu baru yang dapat menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap politik negara.

2. Kuasa ketiga muncul di celah-celah ramalan akan tibanya hari penentuan- PRU yang bakal menyajikan perlawanan antara BN dan PR. Apakah BN mampu kekal sebagai kerajaan atau PR bakal memegang tampuk pemerintahan adalah soal lain kerana kemunculan kuasa ketiga ini pasti mengundang pelbagai reaksi dan respon oleh ahli-ahli politik mahupun pemerhati politik.

3. Kemunculan kuasa ini ada kaitannya dengan andaian bahawa parlimen kita buat pertama kalinya dalam sejarah akan merasai situasi ‘hung parliament’ yakni tiada parti yang mendapat ‘clear majority’. Justeru kuasa ketiga ini telah memberi jaminan bahawa ia akan memberi majoriti kepada Pakatan Rakyat sekaligus menandakan isyarat bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan apabila Parlimen menghadapi situasi ‘hung parliament’.

4. Namun bukanlah itu yang menjadi masalah atau kegusaran rakyat seperti saya. Barangkali saya termasuk di dalam kes-kes terpencil kerana tidak ramai yang mempunyai kegusaran sebegini. Sesiapa pun yang menjadi kerajaan bukanlah satu persoalan yang perlu didebatkan dari siang hingga ke malam akan tetapi sejauh mana keseriusan sesiapa yang menjadi kerajaan itu mampu menyelesaikan isu-isu semasa rakyat. Walaupun kuasa ketiga ini dilihat merangkumi ramai aktivis dan golongan muda tetapi isu ‘menumbangkan BN menaikkan PR’ sedikit pun tidak menjadi perhatian utama saya kerana perhatian dan fokus saya adalah ‘siapakah yang benar-benar mampu menjadi suara rakyat’?

5. Marilah kita mengambil satu isu sahaja untuk difokuskan.Rasuah. Sejauh mana pihak-pihak yang sudah memukul gendang untuk menjadi wakil kita nanti begitu serius untuk menangani isu ini. Semua sibuk menuduh orang itu rasuah dan sibuk mendabik dada bahawa dialah satu-satu pejuang memerangi rasuah tetapi seriuskah mereka? Malaysia adalah salah sebuah negara yang menandatangani UN Convention Against Corruption (UNCAC) tetapi sejauh mana Convention ini diaplikasi di negara kita?Berapa ramai yang berjaya menduduki jawatan-jawatan penting dalam parti dengan wang ringgit? Berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu akan hal ini? Di sebelah pihak pula, pemilihan kepimpinan tertinggi dipenuhi dengan isu-isu korupsi dan nepotisme sehingga ada yang meletak jawatan, keluar parti, demonstrasi, sesi meluahkan perasaan di media-media utama yang sentiasa menunggu situasi-situasi begini.

6. Sudahkah kita muak dengan propaganda sebegini? Lebih banyak cakap daripada melaksanakan. Lebih air liur daripada keringat. Sampai bila kita harus menunggu dan melihat perkara ini? Siapakah yang boleh benar-benar memerangi rasuah dari setiap peringkat; baik politik, kakitangan awam, swasta hatta di kalangan golongan muda sekalipun kerana telah begitu jelas bukti bahawa golongan muda juga sanggup menjual diri untuk sebuah kerusi dalam mana-mana organisasi di negara ini.

7. Apakah kuasa ketiga mampu menangani isu ini? Apakah kuasa lama masih mampu membersihkan stigma rasuah yang sudah terpalit di muka mereka untuk sekian lamanya? Apakah rakyat masih lagi boleh bertolak-ansur dengan janji-janji dan ‘sembang kosong’ ini? Siapakah yang benar-benar mampu dan serius untuk melaksanakan perkara ini?

May the force be with you.

*Keberuntungan menjadi seorang mooter dieksploitasi sebaik mungkin untuk menulis artikel ini kerana diberi kesempatan untuk berhujah dan menyelamatkan klien dalam isu rasuah.


3 comments:

  1. what is the def of politics ? What are u saying and writing rite now is all about politics. Mcm mana u blh ckp u xnak brpolitik. Lihat definisi politik dan apa maksud aktor politik serta isu politik

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas komentar

    seperti yang telah dijelaskan, artikel ini ditulis sekitar tahun lepas di mana saya masih lagi suka dalam dunia politik. Dan sekarang saya sudah tidak lagi mahu berpolitik. Sebabnya adalah artikel ini yang tidak berpihak kepada siapa-siapa disunyikan daripada media utama mahupun alternatif.
    Justeru saya mengambil keputusan untuk tidak lagi berpolitik tambah2 lagi dengan sikap berdolak-dalik dalam menangani pelbagai isu sebagai contoh dalam artikel ini adalah isu rasuah.
    Janganlah risau saya tidak akan memberi komentar politik lagi di masa akan datang tetapi akan memberi pandangan dari segi perundangan. Mengenai definisi,aktor,isu etc politik, maaf itu bukan keutamaan saya kerana kalau itu keutamaan saya sudah tentu kelas elektif saya semester ini adalah kelas law & politic. wallahualam.

    ReplyDelete
  3. salam, your thoughts are vital for malaysia's politics. jgn berputus asa. dekat diri dgn politik Islam. tiada kekalahan cuma tak mencapai kemenangan lagi. saya harap sdr tak berputus asa dan mampu menyumbang idea2 sdr kpd situasi politik di malaysia. secara jujurnya, dasar dan polisi/ideologi parti politik mana yg sdr gemari ?

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)