‘’ Biar kau tahu Kal orang seperti kita tak punya apa-apa kecuali semangat dan mimpi-mimpi dan kita akan bertempur habis-habisan demi mimpi-mimpi itu.’’
‘’ Mungkin setelah tamat SMA kita hanya akan mendulang timah atau menjadi kuli tapi di sini Kal, di sekolah ini kita tak akan pernah mendahului nasib kita!!’’
‘’Kita lakukan yang terbaik di sini! Dan kita akan berkelana menjelajahi Eropa sampai ke Afrika! Kita akan sekolah ke Perancis! Kita akan menginjakkan kaki di altar suci almameter Sorbonne! Apa pun yang terjadi!’’
1. Dan tahukah kalian bahawa penghembus ayat-ayat di atas benar-benar menjejakkan kaki ke Sorbonne melanjutkan pelajarannya di sana.
2. Itu, adalah bukti azimat mimpi-mimpi yang tidak pernah kenal erti menyerah kepada nasib dan keadaan yang menimpanya sekarang.
3. Mendengar akan seseorang mempunyai impian dan cita-cita lalu mengobarkannya di khalayak ramai bukanlah satu misteri dalam dunia yang semakin tidak terbatas ini. Hanya keberanian dan ketakutan memisahkan mereka yang lantang menyatakan mimpi-mimpi indah dengan mereka yang mengunci mulutnya, layaknya seperti manusia yang hanya sekedar menghembus nafas untuk hidup seharian, menanti malaikat maut datang menjemputnya.
4. Akan tetapi tidak sedikit mereka yang berani dan nyaling dengan mimpi-mimpi besar itu tersungkur dan akhirnya menerima padah akan kesombongan dan ketololan diri sendiri. Lantas akan berdesis mereka yang mengunci mulutnya tadi ‘’ Jadilah seperti aku, tidak perlu kecewa jika tidak mendapat apa-apa, tidak terkena cacian dan sindiran manusia lainnya seperti aku’’. Maka berlalulah sang pemburu mimpi, duduk terpencil di satu sudut agar tiada lagi manusia yang akan menemuinya dan setiap kali naluri manusianya mengajak untuk kembali memasang mimpi, akan segera dia berjalan menuju ke tanah perkuburan mimpinya dan naluri itu akan terkubur bersama mimpi tersebut.
5. Maka manusia yang diberi gelaran khalifah ini akan terbahagi kepada tiga bahagian: pertama yang punya mimpi dan berjaya meraihnya. Kedua, yang punya mimpi tetapi gagal meraihnya dan ketiga yang tidak punya mimpi dan mengikut sahaja ke mana arus dunia ini membawanya sehingga beliau sampai di hadapan pintu kematian. Tidaklah terlalu sulit untuk membezakan golongan pertama atau kedua dengan golongan ketiga ini kerana sudah jelas golongan ketiga ini di akhirnya tidak akan pernah mencapai apa-apa lantaran hidupnya yang hanya ikut-ikut sahaja, tidak pernah merasa senang mahupun derita dan demi menjaga egois itu, maka dijauhi kemahuan untuk bermimpi dan mempunyai cita-cita.
6. Ternyata kesombongan dan ketololan golongan kedua adalah seperti penanda yang tersemat di dahi mereka sehingga orang lain yang melihatnya terasa jelek dan ingin sekali menampar dahi tersebut sambil berkata ‘’ Cukuplah dengan kata-katamu itu. Pergilah balik ke rumah dan carilah cermin untuk melihat dahimu yang jelek itu.’’ Golongan pertama dan kedua ini punya ciri-ciri yang sama: mimpi dan semangat. Justeru di manakah yang membezakan kedua-dua golongan ini?
7. Usaha. Amat jauh bezanya golongan pertama dan kedua ini kerana golongan pertama ini benar-benar menyungguhi mimpinya itu. Tidak sekadar menyatakannya bahkan melakukannya dengan penuh keberanian tanpa mempedulikan orang di sekitar yang memandang dan berbisik sesama sendiri memperihalkan betapa bodohnya untuk mengejar mimpi itu. Kerana begitu banyak orang yang biasa berbual dan mendabik megah akan dilakukan mimpinya itu satu hari nanti namun satu hari nanti itu tidak pernah wujud dalam hidupnya.
8. Sementara golongan pertama itu lebih senyap, tidak dihebahkan mimpi-mimpinya itu ke merata tempat, tidak dijualnya di pasar terbuka tetapi dianyam dengan penuh teliti di dalam rumahnya sendiri; hanya orang-orang terdekat dan berkongsi mimpi dengannya sahaja yang tahu akan cita-citanya itu. Segera diusahakan bersungguh-sungguh dan masih sahaja dia membisukan diri kerana tidak mahu termasuk ke dalam perangkap kebingungan dan ketololan golongan kedua. Lebih tepatnya mimpi itu adalah untuk dirinya sendiri. Mencabar dan mengajak dirinya untuk mencapai mimpi tersebut daripada menghebahkannya kepada orang ramai. Membuktikan pada dirinya, hanya dirinya sendiri untuk melihat dan merasai mimpi tersebut kerana orang semacam ini telah fasih akan hukum dunia; bahawa perbuatan itu adalah kuasa magnet paling berkuasa untuk mempengaruhi orang lain daripada perkataan semata.
9. Dan di akhirnya, orang semacam ini yang berjaya menulis namanya di tugu peringatan sejarah peradaban manusia yang akan diingati oleh manusia lainnya untuk tahun-tahun yang akan datang. Dan beruntunglah juga manusia sebegini kerana walaupun dia berjaya tetapi kesombongan dan bercakap besar itu tidak terkena pada dirinya dan betapa malangnya golongan kedua tadi: gagal dalam timbunan mimpinya dan mendapat stiker ‘bodoh dan sombong’ di badannya.
10. Kepadatan dunia yang berbilionkan manusia sejak dahulu lagi tidaklah menyimpan semua nama-nama itu di atasnya kerana begitu sahaja manusia mati, namanya juga akan mati dan tinggal kenangan di tulisan batu nisannya. Segelintir, hanya segelintir diingati kerana mimpi dan usahanya sepanjang zaman lantas manusia yang lainnya mengagumi nama-nama tersebut dan berkata ‘’Inilah keajaiban’’.
11. Keajaiban itu, adalah adunan mimpi dan semangat mengikut gerak tari jari-jemari kita yang diilhamkan oleh Tuhan Maha Berkuasa. Sesungguhnya, usaha-usaha kita itu, jejak-jejak kita itu tidak lebih daripada petunjuk yang diberikan Tuhan kerana Tuhan itu tidak pernah bersifat kejam atas hamba-Nya. Amatlah bingung orang yang mendahului nasibnya dengan sikap pesimis, mengikut apa sahaja yang dibentangkan di dunia padahal tidaklah mungkin Tuhan memberikan kita gelaran khalifah di atas muka bumi jika tujuan hidup hanyalah mengikut sahaja peredaran dunia ini. Kalau benar hidup kita sememangnya harus menjadi sedemikian, mengikut sahaja peredaran dunia ini, maka jawablah soalan yang merumitkan hati ini: Mengapakah Tuhan memberikan kita akal dan kelebihan untuk bermimpi yang mana kelebihan-kelebihan ini tidak diberikan kepada makhluk-Nya yang lain bahkan kepada makhluk-Nya yang lebih taat daripada kita semua yakni Malaikat.
‘’ Keajaiban itu, adalah adunan mimpi dan semangat yang mengikut gerak tari jari-jemari kita yang diilhamkan oleh Tuhan.’’
Pernahkah anda melihat peserta The Biggest Loser itu berjaya menurunkan berat badannya, malah berpuluh-puluh kilo dengan hanya duduk berbaring di atas katil tanpa berbuat apa-apa?
Cebisan nota:
i) Sejuta penghargaan kepada saudara Andrea Hirata dengan buku magisnya Sang Pemimpi. Anda, telah menemukan semula mimpi-mimpi yang pernah terkubur dua tahun lalu untuk dihidupkan semula. Jalannya pasti berbeza akan tetapi mimpi tersebut tetap sama dan tidak akan pernah dikuburkan lagi selepas ini. Oh, dan tidaklah aku membaca novel ini tanpa seorang lelaki yang bernama Khairil Khalid ;)
ii) Mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada co-counsel sepanjang hayat atas kejayaannya membuka blog businessnya. Sudah di ‘link’ kan blognya itu di blog ini kerana aku tahu produk-produk kecantikan yang special, lain dari yang lain, yang dipersembahkan oleh beliau akan menarik perhatian kaum hawa yang sedang membaca blog ini. Tahniah ms.Arina :)
iii) Rumoured as not the ‘right person’ and 'not so-fit-mooter' for Jessup Competition. Don’t worry, just give me this chance to let other teams humiliate and insult us because of my ‘not so right and fit person’ and then I swear to God I will never join moot again ;)*
*Subject to sarcasm and cynicism. And please remember that I never use literal approach so read it purposively.
Aroma menulis sudah mulai mengetuk deria jiwa untuk menderita dalam indah...