Friday, September 3, 2010

Khas Untuk

Salam Ramadhan saya ucapkan kepada Datuk. Moga Datuk mendapat rahmat dan kesejahteraan sepanjang bulan yang penuh mulia ini. Tujuan saya menulis pada petang Jumaat terakhir di bulan Ramadhan ini bukanlah untuk mengajak Datuk berdebat jauh sekali untuk memburukkan nama dan kredibiliti Datuk sebagai pemimpin sebuah badan bukan kerajaan yang begitu lantang dan menjadi sebutan di dada-dada akhbar nasional. Lagipula saya hanyalah seorang rakyat yang tidak dikenali, jauh sekali memegang apa-apa jawatan di peringkat nasional dan hanyalah salah seorang daripada generasi muda yang menjadi penonton di stadium politik negara justeru tidaklah layak bagi saya untuk mengajak Datuk berdebat secara terbuka akan isu yang dibincangkan selepas ini. Jika Saudari Ahli Parlimen Lembah Pantai yang mengajak Datuk untuk berdebat dianggap sebagai budak hingusan, maka saya ini tiadalah nama di mata Datuk.
Sebelum saya menjelaskan apa yang tersurat,tersirat mahupun terlirat di hati sebagai generasi muda yang akan membetuk golongan majoriti mengundi dalam pilihanraya umum kelak, rasa kagum saya tujukan kepada pertubuhan Datuk yang berjaya menarik 200,000 orang ahli dan yang lebih mengagumkan mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir juga merupakan patron kehormat dalam pertubuhan datuk. Namun kewujudan Tun yang merupakan salah seorang pemimpin yang sangat saya hormati tidaklah menghalang saya untuk memberitahu apa yang fikirkan benar untuk kita semua. Tidaklah saya menganggap pandangan saya selepas ini mencerminkan pendirian generasi muda Melayu Malaysia kerana barangkali mereka berasa malu dan akan menolak pendapat saya namun hal itu tidak membimbangkan saya kerana kebebasan bersuara, berfikir dan berpendirian sudah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas keprihatinan Datuk dalam menyanggah komentar-komentar yang diberikan oleh pihak tertentu terutamanya berkaitan 'hak istimewa' orang Melayu. Namun begitu, apabila Datuk bukan sahaja bersuara mengkritik mereka tetapi menghentam YAB Perdana Menteri akan gagasan 1Malaysia beliau, sedikit hati saya terguris. Terguris bukan kerana faktor pembodek jauh sekali hubungan keluarga dengan YAB PM akan tetapi hentaman yang dikeluarkan oleh Datuk telah membawa saya untuk bersuara mengenai beberapa perkara:
Pertama, apabila Datuk mencabar YAB PM untuk membentangkan usul menghapuskan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen sekiranya beliau benar-benar mahu mewujudkan gagasan 1Malaysia memberi refleksi kepada saya akan dua hal: pertama pertubuhan Datuk tidak mengenal bulu dan akan membidas siapa sahaja baik kerajaan ataupun pembangkang yang mempersoalkan 'hak istimewa' dan 'ketuanan' Melayu. Kedua, ia dilakukan supaya stigma pertubuhan Datuk dan parti pimpinan YAB PM adalah ibarat dua muka syiling yang tak terpisah adalah dakwaan kosong semata-mata. Saya tidak mahu bercakap dari sudut politik kerana apabila bercakap dari kacamata politik maka ia tidak bertunjangkan apa-apa, jauh sekali bersendikan asas-asas yang munasabah. Ia cuma ada dua: Benar atau tipu. Saya lebih suka membincangkan hal ini dari sudut undang-undang; meskipun saya tidak mempunyai lesen untuk membela dan mendakwa orang buat masa kini tetapi dengan ilmu perlembagaan yang saya pelajari daripada salah seorang tokoh perlembagaan terkenal di negara ini, eloklah kiranya saya membincangkan hal ini mengikut versi Persekutuan Perlembagaan itu sendiri.
Terdapat sebuah perkara dipanggil perkara 159 yakni proses pemindaan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana di klausa 5 jelas tertulis ''A law making an amendment to clause 4 of Article 10, any law passed thereunder the provisions of Part III, Article 38,63(4),70,71,72(4), 152 or 153 or to this clause shall not be passed without the consent of the Conference of Rulers.'' Inilah perkara yang sering dilupakan oleh kebanyakan ahli politik apabila berbicara soal perkara 153. Sesungguhnya perkara 159 ini harus dibaca bersama dengan perkara 153 juga perkara-perkara yang termaktub dalam perkara 159 itu sendiri. Pindaan yang digesa Datuk tidak lain hanyalah satu tindakan yang merosakkan imej YAB PM jika beliau menyahut cabaran tersebut. Bahkan Datuk tidak pernah menyebut langsung akan kewujudan perkara ini atau mungkin ia ditapis oleh media yang menajdi bacaan saya sehari-hari. Usul pindaan perkara 153 boleh sahaja dilakukan di Parlimen tetapi kesan yang akan menimpa YAB PM sangatlah dahsyat dan merosakkan imej beliau di mata dan hati kaum Melayu. Adalah tidak mungkin, 9 orang Sultan Melayu yang membentuk Majlis Raja-Raja akan bersetuju perkara 153 dipinda kerana ia memberi kesan kepada orang Melayu termasuk mereka sendiri.
Nah, marilah saya mendiskusikan isu yang membentuk hati dan dasar warkah ini ditulis. Antara peruntukan 30% dalam sektor ekonomi dan kaitannya dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.Sering kali Datuk momokkan kami dengan ancaman bahawa penghapusan 30% yang disediakan dalam Dasar Ekonomi Baru adalah 'haram' dan bertentangan dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Soalan saya: Benarkah begitu? Sekali lagi : Benarkah begitu?
Mari kita telusuri perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan ia mempunyai 10 klausa eloklah saya ambil mana yang penting sahaja tetapi ini bukanlah bertujuan untuk menyorokkan fakta '30% dalam sektor ekonomi harus diberikan kepada kaum bumiputera' kerana tidaklah dapat Datuk, saya mahupun rakyat Malaysia yang lainnya mencari angka 30 peratus itu dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Baik, marilah saya keluarkan 4 klausa yang menarik untuk dibincangkan bersama:

153
(1):It shall be the responsibility of the Yang Di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and natives of any States of Sabah and Sarawak and the legitimate interests of other communities in accordance with the provisions of this Article.

(2) Notwithstanding anything in this Constitution but subject to the provisions of Article 40 and of this Article, the Yang DiPertuan Agong shall exercise his functions under this constitution and federal law in such manner as may be necessary to safeguard the special position of the Malays and natives of any of the states of Sabah and Sarawak of such proportion as he may deem reasonable of positions in the public service and of scholarships, exhibitions and other similar educational or training privileges or special facilities and when any permit or licence for the operation of any trade or business...

(6) Where by existing federal law a permit or licence is required for the operation of any trade or business the Yang Di-Pertuan Agong may exercise his function under that law in such manner or give such directions to any authority charged under that law with the grant of such permits or licences as may be required to ensure the reservation of such proportion of such permits and licences for Malays and native of any of the state of Sabah and Sarawak as the Yang Di-Pertuan Agong may deem reasonable...

(8A)......the number of places offered by the authority responsible for the management of the University, College or such educational institution to candidates for any course of study is less than the number of candidates qualified for such places it shall be lawful for the Yang Di-Pertuan Agong by virtue of this Article to give such directions to the authority as may be required to ensure the reservation of such proportion of such places for Malays and natives of any states of Sabah and Sarawak as the Yang Di-Pertuan Agong may deem reasonable....

Keraguan:
1) Apakah ada dalam perkara 153 ini disebut perkataan 'hak istimewa' atau 'bangsa ketuanan' sepertimana yang sering diucapkan oleh Datuk? Apa yang diperuntukkan dalam perkara ini hanyalah kedudukan istimewa. Ya, kedudukan istimewa. Tidaklah saya ketahui jika maksud special position itu bererti hak istimewa kerana position itu ertinya kedudukan, bukan hak. Barangkali peraturan interpretasi undang-undang yang digunapakai oleh Datuk adalah 'purposive approach' sedangkan saya menggunakan 'literal meaning' kerana menurut saya sekalipun menggunakan purposive approach atau apa-apa pendekatan sekalipun, perkara 153 hanyalah mengenai kedudukan istimewa, bukan hak ataupun ketuanan bangsa. Kerana kedudukan istimewa ini menurut analogi mudah ialah seperti seorang pelajar yang mundur diberi kelas tambahan dan kedudukan istimewa untuk menjadi anak angkat kepada guru ataupun diberi keutamaan duduk di barisan hadapan kelas. Tetapi itu tidaklah bererti bahawa pelajar ini akan selama-lamanya diperlakukan begitu; tidak mungkin pelajar itu tidak menunjukkan sebarang peningkatan prestasi dan sebegitu mundur dari awal hingga akhir persekolahan, pasti ada perubahan selepas kedudukan istimewa itu diberikan kepadanya. Nah, seusai sahaja pelajar ini sudah dapat berdikari dan cemerlang dalam peperiksaan maka haruslah pelajar itu mula berdikari tanpa mengharapkan kedudukan istimewa itu sendiri melainkan jika guru tersebut masih mahu beliau menjadi anak angkatnya.Ini kerana seringkali terjadi dalam hukum dunia apabila seseorang itu terlalu dimanjakan, tidak rela dilepaskan untuk menghadapi persaingan dan cabaran luar maka orang itu tidak lebih hebat dari sesiapa pun dan selamanya berada di takuk lama. Tidak berubah.

2. Sekiranya Datuk mahu memanggil perkara ini sebagai hak istimewa maka itu tidaklah merungsingkan saya tetapi sekali lagi ia harus dipanggil dengan sebutan yang betul: hak istimewa orang melayu dan penduduk asli Sabah dan Sarawak atau digabungkan menjadi bumiputera. Kalau Datuk mahu memanggil ia ketuanan maka haruslah disebut sebagai ketuanan bumiputera, bukanlah Melayu semata. Tidaklah boleh dinafikan akan kewujudan penduduk asli Sabah dan Sarawak yang juga mendapat kedudukan istimewa ini dalam Perlembagaan Persekutuan, bukanlah khas untuk orang Melayu semata. Mungkin juga bukan salah Datuk dalam hal ini kerana Datuk lebih cepat peka dan prihatin akan isu-isu sebegini sementara tidak ada lagi pertubuhan yang seangkatan dengan pertubuhan Datuk dalam memperjuangkan perkara 153 ini.

3. Tidak ada yang diperuntukkan 30% untuk bumiputera dalam sektor ekonomi mahupun 60% kuota dalam sektor pelajaran sepertimana yang termaktub dalam perkara 153. Hanya yang ada seperti yang disebut dalam 153(2) dan (8A) adalah ''.....of such proportion as he(YDPA) may deem reasonable'' Soal kedudukan istimewa ini tertakluk pada pertimbangan Yang Dipertuan Agong untuk melaksanakan berapa banyak peratus yang harus diperuntukkan kepada kaum bumiputera dalam sektor ekonomi mahupun pelajaran. Andaikata YDPA mempertimbangkan bahawa 20% atau 10% adalah mencukupi untuk kaum bumiputera apakah Datuk akan mengatakan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan? Justeru apa yang saya fikirkan terbaik untuk Datuk dalam menyatakan pandangan Datuk kepada YAB PM adalah dengan mengingatkan beliau bahawa Majlis Raja-Raja perlu dibawa berunding atau consult sebelum sebarang perubahan polisi kerajaan berkenaan perkara 153 sepertimana yang termaktub dalam perkara 38(5). Tetapi suka saya ingatkan bahawa runding atau consult tidaklah sama dengan consent atau izin. YAB PM tentu sahaja boleh tidak mempertimbangkan apa-apa cadangan atau bantahan Majlis Raja-Raja sewaktu sesi consultation tersebut kerana ia bukanlah consent sepertimana yang diperlukan jika pindaan 153 mahu dilakukan seperti yang diperuntukkan dalam perkara 159. Sekiranya YAB PM mahu menghapuskan 30% tersebut maka itu tidaklah bertentangan Perlembagaan sebab pengkhususan angka 30 itu tidak disebut dalam perkara 153 perlembagaan Persekutuan tetapi YDPA boleh melaksanakan tugas baginda mengikut perkara 153 (6) yang telah saya bentangkan sebentar tadi.

Meskipun saya menuntut di sebuah universiti yang mendapat perlindungan dalam perkara 153 ini tetapi tidaklah saya mencadangkan pembukaan 10% atau berapa peratus untuk bukan bumiputera ke atas universiti sepertimana yang difikirkan Datuk seusai membaca pendapat saya sebentar tadi. Peluang menuntut ilmu di universiti ini merupakan satu anugerah berharga untuk saya dan saudara-saudara saya yang lainnya dan tidak seharusnya isu ini ditimbulkan kerana ia sudah termaktub jelas dalam perlembagaan persekutuan.

Bukanlah impian saya mahu menjadi seperti seorang ahli politik yang menuntut dalam bidang yang sama dengan saya tetapi kemudiannya dicop sebagai pengkhianat bangsa. Gelaran itu adalah sangat menghancurkan hati sekiranya sayalah orang yang mendapat gelaran tersebut. Bukan mahu saya mempertikaikan kedudukan orang Melayu di bumi tercinta ini tetapi apa yang saya nyatakan adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan semata-mata.Tidak lebih dan tidak kurang. Saya hanya menyampaikan ilmu yang saya miliki untuk dikongsi bersama.
Meskipun saya tidak bersetuju dalam banyak perkara mengenai Ketua Pemuda UMNO namun cara pemikiran beliau yang terbuka mendapat sambutan dan diterima secara umum oleh kami, generasi muda. Bahkan peringatan DS Nazri bahawa chauvinism yang dimainkan oleh parti-parti komponen BN akan menghancurkan parti itu sendiri seharusnya menjadi perhatian Datuk dan ahli-ahli BN yang lainnya. Sesungguhnya parti BN adalah ibarat keluarga; tidaklah mungkin parti-parti komponen dalam BN itu akan bertambah ahli dan sokongan dengan memainkan sentimen perkauman kerana sudah terbukti pilihanraya 2008 menunjukkan rakyat lebih serius dan peka akan isu-isu semasa dan kepimpinan. Ramai yang menolak BN kerana kepimpinan BN dilihat lemah dan banyak cerita-cerita kurang enak berputar di kalangan rakyat pada waktu itu. Generasi muda terutama yang tinggal di kawasan bandar tidak lagi memandang strategi perkauman ini adalah strategi yang berkesan untuk menarik undi kami. Jika benar mahu tahu apakah yang kami mahukan maka dekatilah kami dengan menganjurkan dialog terbuka serta bukalah ruang kepada kami untuk menyampaikan pandangan dan pendapat di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Maaf saya pohon andaikata warkah ini telah menimbulkan kemarahan Datuk di bulan yang mulia ini. Sesungguhnya tujuan saya tidak lain dan tidak bukan hanyalah menyampaikan pendapat sebagai seorang anak muda yang mengetahui sedikit akan ilmu perlembagaan untuk dikongsi bersama. Jikalau Datuk dan ahli-ahl politik lain masih merasakan isu ini penting dan serius maka teruskanlah berperangai sebegini. Janganlah pertubuhan dan Datuk sendiri dipersalahkan sekiranya UMNO kalah dalam pilihanraya umum akan datang kerana isu ini sudah tidak relevan lagi. Kami di bangku penonton akan terus memerhati telatah dan aksi wakil kami di gelanggan politik yang seharusnya menjadi suara dan telinga kami;suara dan telinga rakyat. Sekali lagi mohon maaf dipinta dan mudah-mudahan sifat kerterbukaan dalam berpolitik akan menjadi gelanggang politik negara Malaysia di masa akan datang. Amin

Salam takzim

2 comments:

  1. a very good argument and eye opening since it was done according to the law. secara jujur rasa macam malas mahu baca berita2 berkaitan dengan malaysia sekarang. terlampau banyak sangat politik. sampai x diketahui apa yg betul dan apa yang salah. kadang2 rs mcm isu yg diketengahkan bukanlah isu yg ptg tp sengaja diperbesarkan.

    ReplyDelete
  2. Apa yg diutarakan oleh saudara sangat2 bernas. Namun harus kita sedar, kekadang the "lawmakers" itu sendiri jahil akan undang2 tertinggi negara. Seharusnya mereka ini sedar akan kepentingan provisi ini kerana apa. Kerana suatu ketika dahulu, akibat toleransi dari pemimpin terdahulu, kesepakatan mereka, keharmonian yg ingin dijaga maka tiadalah rungutan apabila provisi ini di buat oleh Suruhanjaya Reid.

    Ini dilakukan kerana orang2 Melayu dan Bumiputera sanggup memberikan kerakyatan kepada kaum lain. Kerelaan hati ini tanpa sebarang syarat khusus ini harus diberi penghormatan namun tiada. Inilah perkara yg sering terlepas pandang oleh mereka. Sibuk mengatakan hak itu dan ini harus dimansuhkan. Mengapa hak ini harus dan terus dicanang? Tiadakah perkara lain yg seperti boleh membantu kepada pembangunan negara.

    Balik-balik cerita mengenai ketuanan Melayu. Itu adalah stigma politik. Inilah bila tiada Pengasingan kuasa atau Separation of Power the idea from French scholar, Montesquieu. Tolonglah faham bahawasanta, perkara 153 bukan untuk Melayu sahaja. Benar kata saudara. Ia utk juga penduduk pribumi sabah & sarawak. Jangan dilupkan saudara-saudara kita disana. HENTIKANLAH pertikaian ini. Di awal kemerdekaan negara, tiada isu ini dibentang dan dicanang dimedia-media. Mengapa sekarang? Ingin menunjukkan yg kita ini betol dh maju dan boleh berfikiran terbuka?? Benar, kata Tun Dr. Mahathir, orang Melayu tak boleh terus bergantung bantuan kerajaan namun, kedudukan khas(bukan hak) ini adalah termaktub dalam perlembagaan. Telah dipersetujui dahulu.

    INGAT!!! "Jangan jadi kacang lupakan kulitnya."

    Fikirkanlah.... jangan bila dh tergadai maruah baru hendak sedar akan kepentingannya. Jangan kerna kepentingan diri, harga diri dipandang enteng. FIKIRKANLAH. Harap maaf dibulan mulia ini.

    ReplyDelete

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)