(berdasarkan wawancara Dato
Saifuddin & Datuk Zulkifli Nordin di Berita Harian 21/10/2012)
i. Status
SUARAM
Dato
Saifuddin bersandarkan kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz di Parlimen
bahawa ‘’tiada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana syarikat atau
pertubuhan yang menerima dana asing.’’ Ianya menjadi kesalahan jika kegiatan
mereka didapati bersalah dari segi undang-undang terutama Kanun Keseksaan.
Datuk
Zulkifli bersandarkan hujah ‘’ Ia adalah berkenaan keselamatan, integriti dan sensitiviti
negara. Ia adalah sebuah badan bukan kerajaan haram yang mendapat bantuan dana
haram dan menjalankan kegiatan haram. Datuk juga menambah ‘’Waima negara
sebebas Amerika Syarikat pun tak benarkan campur tangan asing menerusi Foreign
Agents Registration Act (FARA).
Komen:
Status samada SUARAM adalah haram atau tidak ianya perlu diputuskan oleh
Mahkamah. Meskipun ianya dikatakan tidak berdaftar tetapi SUARAM telah wujud
sejak tahun 1989 (rujuk laman web SUARAM) dan status pertubuhan ini tidak lagi
dibawa oleh mana-mana pihak ke mahkamah.
Menyentuh
soal keselamatan, integriti dan sensitiviti negara, pertuduhan yang diutarakan
oleh Datuk Zulkifli membawa satu beban yang sangat berat yakni tuduhan itu
harus dibawa bersama dengan beban bukti bahawa kegiatan SUARAM telah mengancam
perintah awam atau ‘’public order’’. Dalam kes Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed
Jaafar Albar v SIS Forum(Malaysia) yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan
pada 27 Julai 2012, Hakim Abdul Wahab Patail menegaskan:
‘’To
be satisfied that the Book was prejudicial to public order in the face of the
fact there was no prejudice to public order in the two years the Book was in
circulation, is in such outrageous defiance of logic that it falls squarely
within the meaning of Wednesbury unreasonableness, and of irrationality.”
Meskipun
ianya berbeza kerana kes ini berkaitan dengan pengharaman buku, tetapi prinsip
untuk menentukan samada ianya haram atau tidak boleh digunapakai. Apa yang
dimaksudkan oleh Hakim dalam kes berkenaan ialah pengharaman buku tersebut atas
dasar ianya mengancam perintah awam adalah tidak sah kerana selama dua tahun
buku itu diterbitkan, ia tidak mengundang apa-apa ancaman terhadap perintah
awam (keselamatan,integrity dan sensitiviti negara). Justeru pengharaman tersebut
telah gagal di bawah satu prinsip yang dinamakan ‘’Wednesbury principle’’.
Justeru
dalam soal SUARAM, kewujudan mereka selama lebih 20 tahun masih belum terdapat
bukti bahawa pertubuhan ini melakukan kegiatan-kegiatan haram yang mengancam
keselamatan negara.Ketiadaan bukti dan fakta ini menjejaskan kredibiliti
tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Zulkifli.
Di
samping itu, adalah tidak sesuai untuk membandingkan situasi sebegini dengan
negara Amerika yang mempunyai Foreign Agents Registration Act (FARA) untuk
menangani isu dana asing sedangkan Malaysia tidak mempunyai undang-undang
semirip undang-undang tersebut. Atas sebab itu, Datuk Seri Nazri menyatakan
tiada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana syarikat atau pertubuhan yang
menerima dana asing.Apa yang dinyatakan oleh Dato Saifuddin tidak lebih
daripada sekadar menyokong kenyataan Datuk Seri Nazri.
Setelah
menimbang hujah kedua-dua pihak, saya berpendapat bahawa SUARAM tidak boleh dilabel sebagai haram dan
menjalankan kegiatan haram yang mampu menggugat keselamatan negara. Tidak ada
bukti kukuh yang dikemukakan oleh pihak yang menuduh bahawa selama lebih 20
tahun kewujudan SUARAM itu terdapat aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh
badan NGO ini mengguggat keselamatan, integriti dan sensitiviti negara.
ii.
ISU PLATFORM
Dato
Saifuddin menyatakan ‘’Kerajaan Persekutuan dan UMNO tidak ada birokrasi idea
dan kekangan bercakap. Ada perkara yang dibincangkan terlebih dulu dalam
diskusi di khalayak dan kemudian dibawa ke Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO.
Ada juga yang sebaliknya.
Datuk
Zulkifli memberi komentar bahawa
‘’UMNO tak berani. Tak sesuai ambil pendirian terbuka.Lebih terhormat dan
bermaruah kalau beliau letak jawatan dan berpegang kepada pendirian itu. Najib
tak patut pecat tapi Saifuddin patut letak
jawatan.’’
Komen: Ini
berkenaan isu dalaman parti yang mana Dato Saifuddin lebih arif tentang
prosedur dan selok-belok parti yang diwakilinya, UMNO. Apabila dato menyatakan ‘’
Ada perkara yang dibincangkan terlebih dulu dalam
diskusi di khalayak dan kemudian dibawa ke Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO.
Ada juga yang sebaliknya.’’ , ini membawa pengertian bahawa tidak ada satu
garis panduan atau syarat tentang isu apa yang perlu dibawa ke cabinet dan MT
UMNO sebelum dibawa untuk diskusi di khalayak.
Meskipun
saya bukanlah seorang yang arif tentang tarian politik tetapi sikap pasif UMNO dalam isu platform ini membuktikan
keterbukaan parti tersebut menerima idea-idea yang baru dan berbeza. Ini
membuktikan kesediaan UMNO untuk meninggalkan prinsip ‘’Be with us or against
us’’. Mentaliti ‘’mengkritik bererti menyebelahi pembangkang’’ tidak diamalkan
oleh MT dan jawatankuasa disiplin UMNO. Kelahiran lapisan baru ini semakin
bercambah dalam parti UMNO yang dilihat menjadi satu pemangkin untuk survival
UMNO dalam mengikuti trend generasi muda yang akan mewakili peratusan majoriti
pengundi dalam PRU akan datang.
Desakan
agar Dato’ Saifuddin meletak jawatan kerana ‘tersalah’ platform adalah sedikit
keterlaluan kerana kepimpinan tertinggi UMNO sendiri tidak membangkitkan isu
ini. Kenyataan Dato yang menampakkan keterbukaan beliau dalam menyuarakan
pendapat sedikit sebanyak memberi impak positif kerana ia mencerminkan
tranformasi yang dibawa oleh UMNO; menampakkan UMNO sedang dan sedia berubah
untuk menjadi lebih kritis,terbuka dan bersedia menghadapi politik baru.
Jujur saya
katakan kehadiran beliau dalam parti UMNO sedikit sebanyak menimbulkan semacam
dilema untuk pengundi muda kerana sebelum ini hanya parti pembangkang yang
dilihat lebih bijak,kritis dan munasabah dalam menyampaikan pendapat di mana
kriteria-kriteria ini memikat hati pengundi muda.
Kesimpulannya,
platform tidak boleh membatasi perbezaan pendapat. Selama mana ia tidak memberi
kesan negatif dan janji transformasi dipegang, selagi itu percanggahan pendapat
tidak memerlukan platform atau forum yang sesuai. Jika tidak, sesebuah parti
itu akan dilihat seperti mengongkong ahlinya untuk bersuara dan takut dengan
bayang-bayang sendiri.