Friday, March 2, 2012

Tuhan Dan Doa Manusia



Benarkah Tuhan mendengar doa manusia?
Setiap hari, setiap detik dan saat, manusia berdoa dan memohon sesuatu daripada Tuhan. Berbillion manusia berdoa pada masa yang sama.Samada meminta kesenangan, dijauhkan dari kesusahan atau memohon dirinya dimaafkan kerana melanggar perintah-perintahNya.

Sehingga pada satu masa dan ketika, hati kita mula diketuk dengan keraguan. Siang malam aku berdoa mengapa hal yang sama juga berlaku? Mengapa aku meminta ini tetapi Tuhan berikan yang lain? Mengapa aku minta sihat tetapi diberiNya kesakitan? Mengapa aku minta kemenangan diberinya kekalahan?

Dalam menghadapi persoalan ini, kita harus mengingati satu perkara: Tuhan menciptakan kita. Apabila Dia menciptakan, bererti Dia mampu untuk menjaga, melihat dan mendengar suara ciptaaNya dari hembusan pertama sehingga hembusan terakhir di bumi ini.

Jika Dia tidak mendengar doa, mengapa Dia memberi RuhNya kepada kita dan menyediakan kehidupan untuk kita?

Sudah tentu Tuhan mempunyai masa untuk mendengar doa kita kerana Dia menciptakan kita dan sehingga ke saat ini, kita masih hidup dan bernafas di atas muka bumi ini walaupun terdapat berbillion manusia yang lain berdoa pada masa yang sama. Dia mampu untuk mendengar setiap doa ciptaaNya. Jika Dia tidak mampu, sudah tentu diri ini tidak akan diciptakan.

Apabila kita berdoa diberi kesihatan tetapi Tuhan memberi kesakitan bukanlah kerana Dia tidak mendengar atau bersifat selektif dalam mendengar doa manusia. Dia memberikan kesakitan supaya kita menghargai kesihatan yang telah diberikan dan akan diberikan. Dia memberi kekalahan agar apabila kita diberi kemenangan, kita tidak sombong dan melupakan keperitan mengharungi detik-detik kekalahan tersebut.

Untuk menghargai sesuatu perkara, kita harus merasai kehilangannya dahulu. Barulah pada saat itu kita akan sedar betapa pentingnya sesuatu yang diingini.

Apabila Tuhan memberi sebaliknya, bererti Dia mahu kita terus berdoa dan berkomunikasi denganNya. Doa merupakan medium untuk menghubungkan manusia dan penciptaNya. Menjadi kebiasaan manusia apabila mendapat sesuatu yang diminta, akan mudah melupakan sang pemberi dan akan mengingatiNya semula apabila punya hajat yang lain. Justeru tidak diberikan apa yang diminta agar tidak terputus komunikasi kita bersama Tuhan.

Jika bukan doa, apa lagi yang boleh membawa manusia untuk berbicara bersama penciptaNya?

Tuhan sentiasa mempunyai masa untuk mendengar doa kita.

Soalnya,

Adakah kita sentiasa mempunyai masa untuk berdoa kepada Tuhan?

wallahua'lam.

1 comment:

hak berfikir dan bersuara anda akan dilindungi. Terima kasih :)