Buku ini telah ditulis sejak sebulan yang lepas. Telah sebulan juga aku berusaha mencari penerbit yang berakhir dengan maklumbalas seperti:
''Isu ini masih hangat. Tidak sesuai dijual di pasaran''
''Terlalu sedikit. Tidak sesuai diterbitkan sebagai buku''
Kita sering berbicara tentang perihal AUKU tetapi berapa ramai yang bertindak untuk menjadikannya sebagai satu isu yang perlu diabadikan di dalam bentuk penulisan?
Sengaja ia ditulis sedemikian ringkas dan padat kerana apabila membaca buku-buku ilmiah ini, ia menuntut kesabaran yang tinggi untuk membaca dan memahami isi buku tersebut. Justeru agar ia mudah difahami dan sampai kepada hati orang-orang muda, gaya penulisan buku ini ditulis mengikut cara ''ringkas tetapi padat''
Mungkin ada yang menyifatkan tindakan ini sebagai rugi kerana tidak memberi pulangan berbentuk wang ringgit. Tetapi adalah sesuatu yang lebih rugi jika idea, ilmu dan pandangan ini tidak disampaikan kepada orang lain. Pasti ramai yang kecewa kerana buku-buku yang baik dan mantap isi kandungannya perlu dibayar dengan harga yang mahal.
Bahkan aku menulis bukan untuk duit. Kerana jika duit matlamatnya maka sampai bila pun kita tidak akan merasa cukup dan kaya. Aku menulis kerana itulah tanda kewujudan aku di atas muka bumi ini; menulis untuk kepuasan untuk idea-idea yang disampaikan bercambah dan dikongsi bersama manusia-manusia yang lainnya.
Memetik kata-kata penulis terkenal, Paulo Coelho:
''a good idea does not need protection. The rest is either greed or ignorance''
Justeru, atas nama kebebasan akademik, buku ''Suara Marhaen: Tentang AUKU'' telah dimuatnaik dan boleh dimiliki secara PERCUMA.Ya, PERCUMA. Ilmu dan idea yang hebat boleh diakses tanpa perlu membayar satu sen pun.
Saya percaya, jika buku ini boleh difahami dan diterima oleh para pembaca, ia akan berkembang dan menjadi bualan ramai. Masa depan sesebuah buku tidak boleh dikawal oleh saya; ia mengawal dirinya sendiri. Justeru apa yang perlu saya lakukan ialah membebaskannya untuk menentukan masa depannya sendiri.
Jika ada rezeki, ia akan diterbitkan di pasaran apabila tiba masanya.
Maka pada hari ini, hari yang istimewa (kerana ia hadir menyinggah hidup kita 4 tahun sekali), buku ini diterbitkan.
Ia adalah buku kedua saya selepas novel ''Laskar Cinta'' yang diterbitkan 4 tahun yang lepas.
Buku ini juga merupakan, insya-Allah, kelahiran semula saya di dalam dunia penulisan.
Di kesempatan ini, jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan membantu saya dalam memberi respons dan cadangan untuk buku ini. Terima kasih kepada:
1. Dato Saifuddin Abdullah
2. Prof Rahmat Mohamad
3. Umar Razak
4. Izziati Mas Adaveena
5. Haziq Abdullah Aziz
6. Zulhelmi Hussaini
7.Aloysius
8.Benazir Japiril
9.Nurhadi Zainol
10. Zuraini Alimusa
11.Afiqah Nordin
12. Augustine Leonard
Dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam melahirkan buku ini.
Saya berdoa semoga buku ini dapat menjalani masa depannya dengan baik dan menyentuh hati manusia yang lainnya agar ia terus hidup dan berkembang; semoga kita mendapat manfaat daripada kelahiran buku ini =)
Dengan wujudnya buku ini, sekurang-kurangnya isu AUKU yang pernah menjadi fenomena di negara tercinta ini dapat diceritakan dan dimiliki oleh rakyat Malaysia pada masa kini dan masa hadapan.
Daripada rakyat untuk rakyat
link untuk memuat turun buku SUARA MARHAEN: TENTANG AUKU klik di sini
Selamat membaca!