Wednesday, February 23, 2011

Sekalung penghargaan

Alhamdulilah syukur kepada Tuhan atas kemenangan yang diberikan kepada kedua-dua calon pilihan aku. Sesungguhnya kemenangan ini merupakan titik permulaan untuk mereka berdua melaksanakan janji-janji yang telah ditawarkan oleh semua pelajar fakulti.Pada waktu inilah manifesto mereka berada di antara realistik dan idealistik. Tahniah dan sekalung syabas kepada jentera semua calon.

2. Spesifikasi tahniah dan terima kasih aku takzimkan kepada para pengundi afifah adzhan. Undi anda telah membawa beliau untuk memegang tanggungjawab ini. Terima kasih atas kepercayaan tersebut. Terima kasih dan penghargaan kepada rakan seperjuangan dalam jentera afifah adzhan yang boleh dibilang dengan jari tangan sahaja tetapi masih mampu bekerja dan memberikan komitmen yang terbaik sehingga membawa kepada kemenangan calon pilihan kita. Semangat dan dedikasi yang dipamerkan oleh campaign manager, Aizat Azmi telah membuatkan kami terus bekerja sampai lewat subuh. Khairil Khalid, Rahimi Raduan(penaja rasmi kenderaan calon MPP), Kodie Hassan, Taskin,Leslie, Amira Zakaria, Alan Zulkifly dan Aminu Razif kerana bersama-sama memerah idea dan keringat untuk menghasilkan yang terbaik kepada calon.

3. Tidak dilupakan jentera-jentera tidak rasmi seperti evi and the gang yang telah membantu menyiapkan bookmarks, Farhan Zafry dan Marlysa Razak yang telah bersama-sama memanjat bukit di tengah malam untuk memasang poster afifah serta mengalami pengalaman sudden blackout di bangunan lama undang-undang sebanyak dua kali pada jam 2 pagi. Juga kepada moot family, pelajar asasi, part 1 sampai LLB part 2 yang memberi sokongan dan bantuan kepada afifah. Kalian mendapat tabik hormat daripada aku.

4. Ini bukanlah penamat dan bukanlah tindakan yang sesuai untuk manifesto tersebut hanya tinggal catitan semata-mata. Inilah masanya untuk merealisasikan manifesto tersebut dan sesungguhnya kami akan sentiasa menilai dan menunggu manifesto tersebut direalisasikan.

5. Mengambil kira bahawa aku turut terlibat dalam mempromosikan manifesto afifah,terasa untuk merealisasikan manifesto tersebut yang realistik dan boleh ditunaikan kerana aku percaya kemenangan yang sebenar untuk afifah adalah hari-hari terakhir beliau kerana waktu itu janji-janji beliau akan menjadi ukuran sejauh mana kepercayaan anda dipenuhi mahupun dikhianati dan waktu itu jugalah pujian dan kritikan adalah kebenaran yang sebenar untuk menilai calon tersebut. Walau apa pun aku bersedia untuk membantu melaksanakan manifesto beliau dan tohmahan yang keluar kononnya aku dan jentera afifah yang lainnya sebagai kuli dan orang bawahan tidak sedikit pun aku hiraukan kerana itu hanya lahir daripada orang yang dengki kerana afifah mempunyai jentera yang berpengalaman dan mampu membuat kerja dengan efisyen walaupun jumlah kami tidak mampu membentuk satu kelas untuk sesebuah subjek diajar di fakulti ;)

6. Cukup dengan cakap-cakap dan sembang kosong. Masa untuk bekerja

( kemenangan ini juga khas untuk campaign manager aizat azmi sebagai hadiah terindah untuk birthday beliau tahun ini) Terima kasih kepada para pengundi afifah yang telah memberi hadiah ini kepada beliau =D

Monday, February 21, 2011

Inilah adalah pilihan saya

1. Setelah mengambil kira bahawa blog ini tidak lagi famous dan menjadi tumpuan orang ramai serta tidak akan mempengaruhi sesiapa jauh sekali memberi effect kepada mana-mana individu, maka memberi pandangan adalah perkara yang selalu dan suka aku buat. Pandangan ini sudah tentulah pandangan peribadi aku yang tidak ada kaitan dengan mana-mana individu,parti politik dan organisasi. Dari 4 calon FUU UiTM untuk pilihanraya JPP 2011/2012, aku hanya di'approach' oleh dua orang calon sahaja jadi aku tak boleh buat komentar dan pandangan terhadap dua calon yang lain. Kedua-dua calon ini adalah pilihan aku( seorang boleh pilih dua calon MPP) tetapi tertakluk kepada sebarang perubahan dan keadaan kempen yang hanya tinggal beberapa jam lagi dan untuk keselamatan entri ini akan didelete sebelum undian boleh dijalankan kerana pandangan ini perlu dilihat dengan restrictive approach dari segi masa dan keadaan.

2. Calon yang pertama. Tak perlu diperkenalkan lagi sebab kalian pun boleh jumpa wajah dia dengan aku kat blog ini masa entri lawatan ke parlimen tahun lepas. Bahkan hasrat beliau untuk menjadi MPP telah disuarakan kepadaku sebelum exam subjek contract tahun lepas dan akulah yang memberi sokongan untuk beliau merealisasikan hasrat tersebut. Aku tahu bagaimana perasaan memiliki impian dan cita-cita dan aku mafhum bahawa inilah impian dan cita-cita beliau. Mengenali beliau sejak asasi dan pernah bekerja bersama-sama dalam kelab asasi undang-undang, boleh bersembang hampir dua jam untuk bertukar pendapat mengenai isu semasa dan beliaulah satu-satunya teman yang aku ada saat aku berjalan bersendirian tanpa teman untuk berbicara dan mengasah intelektualiti. Walaupun ada terlintas mahu membantu beliau dengan memegang jawatan CM(campaign manager) untuk beliau tetapi kutahan lintasan hati tersebut sebab aku tak nak imej beliau yang baik tu akan rosak gara-gara aku dan tak akan dapat undian even daripada batch sendiri kalau aku yang jadi CM beliau. Sebab itu aku lebih selesa untuk memainkan peranan yang sentiasa aku buat bersama beliau; memberi pendapat dan pandangan. Itu sahaja.
Kawan baik. Rakan seperjuangan. Farid Zuhri. Impian dan cita-cita beliau akan kubantu kerana tiada yang lebih menggembirakan apabila melihat impian sahabat karib dapat digapai.

3. Calon kedua. Mungkin kedengaran pelik sebab aku part 3 tetapi lebih banyak meluangkan masa dan tenaga untuk membantu calon kedua ini yang bukan dari batch aku.Tapi hakikatnya akan ada dua orang yang akan jadi MPP dan aku pun diberi peluang untuk mengundi dua calon maka peluang ini digunakan sebaik-baiknya untuk memberi undi tetap kepada calon ini.Tidak ada sebab musabab lain mengapa aku membantu beliau melainkan satu: Komitmen. Program-program yang dijalankan kebanyakannya adalah hasil kerja beliau. Dalam penglibatan aku sebagai mooter yang tak sampai lagi setahun, dah ada 5 program yang beliau terlibat dan usahakan. Moot Workshop Kuantan, Kedah,Shah Alam, friendly match against Queensland university and Jessup competition. Beliau adalah 'orang belakang' sebab dalam moot club bahagian admin ni bergerak di sebalik tabir dan yang di hadapan tabir adalah barisan mooters. Tidak mungkin ada program-program yang aku sebut di atas berhasil kalau tiada penglibatan dan usaha beliau. Justeru aku menyokong beliau sebab dia boleh buat kerja. Prinsip yang sama aku gunakan yakni aku tidak mahu menjadi orang-orang penting dalam jentera beliau lalu aku mengambil tugas sebagai menampal dan menyiapkan poster sahaja.

4. Dalam pilihanraya kali ini juga beliau telah mengotakan janjinya yang pertama daripada manifesto beliau. Borang prestasi MPP yag bertujuan untuk diisi oleh student law setiap hujung bulan untuk menilai sejauh mana beliau dah buat kerja dan tunaikan janji beliau. Tidak keterlaluan aku katakan bahawa janji beliau realistik dan menampakkan beliau sudah mafhum selok-belok perkara-perkara yang boleh ditunaikan dan yang tidak mampu ditunaikan. Borang ini sudah ada dan akan disediakan sebaik sahaja beliau menjadi MPP.

* Sudah tentu aku mahukan orang yang boleh buat kerja dan tahu selok-belok pengurusan untuk merealisasikan program-program di fakulti aku.

6. Kerja. Realistik. Afifah Adzhan. Itulah calonnya :)




Tidak ada paksaan dan tujuan untuk mempengaruhi sesiapa. Aku tidak mahu orang mengundi dan tidak mengundi mana-mana calon disebabkan aku. Ini adalah pandangan aku. Pendirian aku dan aku tidak kisah sekiranya aku perlu berjalan bersendirian untuk mempertahankan pendirian aku ini sebab di akhirnya apa yang orang lain mahu tidak boleh menjadi apa yang aku mahu. Kerana akhir hidup ini apa yang akan menjadi sesalan dan ketenangan adalah sejauh mana kita berpegang pada pendirian dan keputusan kita untuk kepuasan dan kegembiraan diri sendiri. Apalah erti hidup kalau hanya mampu memuaskan hati orang lain tetapi tidak mampu memuaskan hati sendiri kerana di saat kita dapat memuaskan hati orang lain dan mentulikan telinga tentang apa yang kita sendiri mahukan, di saat itulah kita akan hilang diri kita yang sebenar.

Tuesday, February 15, 2011

Ini tidak akan disiarkan kecuali di sini




Seperti yang dijanjikan, akan kusiarkan sebab dan musabab aku tidak lagi mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap politik. Aku boleh memberi jaminan bahawa kalian tidak akan menjumpai artikel ini di mana-mana akhbar cetak ataupun media internet kerana aku telah melakukannya sebelum ini. Medium yang aku sangkakan adalah fair dan seimbang akhirnya membuka topeng mereka sebagai partisan. Siapa yang mahu menyiarkan sebuah artikel yang akan menelanjangkan kebenaran dan menyingkap kepalsuan tanpa mengenal siapa.

Bersempena dengan pemilihan MPP yang bakal berlangsung di seluruh universiti malaysia, ini adalah satu isyarat bahawa aku tidak mahu sesiapa pun yang bertanding cuba menanam benih atau doktrin bejat mana-mana parti politik yang wujud di negara ini. Janganlah sesekali mencuba untuk melakukan perkara tersebut kepada aku meskipun ia amat berkesan kepada mereka yang totok dan sanggup menghabiskan masa 24 jam untuk politik. Sebagai manusia yang mewakili demografi seorang mahasiswa aku mahu menggunakan masa keemasan ini untuk membebaskan diri daripada belenggu doktrin yang menyempitkan ruang fikiran dan mengongkong kebijaksanaan aku untuk membuat pertimbangan dan pandangan. Lagipun semua orang akan bersetuju apabila kukatakan politik adalah 'lebih banyak cakap daripada buat kerja'. Letaklah slogan apa pun, taburlah janji seluas bumi tetapi janganlah bermimpi untuk menutup langit fikiran aku yang menuntut agar kebajikan dan kepentingan rakyat/pengundi diletakkan di barisan pertama daripada kepentingan politik.

Maka, selamat membaca artikel di bawah yang telah disimpan sejak tahun lepas dan pada hari ini telah disiarkan di medium yang tidak akan memuaskan hati sesiapapun mahupun mana-mana pihak.

1. Politik Malaysia tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu, baik isu yang sudah lama tetapi digemari ramai atau isu baru yang dapat menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap politik negara.

2. Kuasa ketiga muncul di celah-celah ramalan akan tibanya hari penentuan- PRU yang bakal menyajikan perlawanan antara BN dan PR. Apakah BN mampu kekal sebagai kerajaan atau PR bakal memegang tampuk pemerintahan adalah soal lain kerana kemunculan kuasa ketiga ini pasti mengundang pelbagai reaksi dan respon oleh ahli-ahli politik mahupun pemerhati politik.

3. Kemunculan kuasa ini ada kaitannya dengan andaian bahawa parlimen kita buat pertama kalinya dalam sejarah akan merasai situasi ‘hung parliament’ yakni tiada parti yang mendapat ‘clear majority’. Justeru kuasa ketiga ini telah memberi jaminan bahawa ia akan memberi majoriti kepada Pakatan Rakyat sekaligus menandakan isyarat bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan apabila Parlimen menghadapi situasi ‘hung parliament’.

4. Namun bukanlah itu yang menjadi masalah atau kegusaran rakyat seperti saya. Barangkali saya termasuk di dalam kes-kes terpencil kerana tidak ramai yang mempunyai kegusaran sebegini. Sesiapa pun yang menjadi kerajaan bukanlah satu persoalan yang perlu didebatkan dari siang hingga ke malam akan tetapi sejauh mana keseriusan sesiapa yang menjadi kerajaan itu mampu menyelesaikan isu-isu semasa rakyat. Walaupun kuasa ketiga ini dilihat merangkumi ramai aktivis dan golongan muda tetapi isu ‘menumbangkan BN menaikkan PR’ sedikit pun tidak menjadi perhatian utama saya kerana perhatian dan fokus saya adalah ‘siapakah yang benar-benar mampu menjadi suara rakyat’?

5. Marilah kita mengambil satu isu sahaja untuk difokuskan.Rasuah. Sejauh mana pihak-pihak yang sudah memukul gendang untuk menjadi wakil kita nanti begitu serius untuk menangani isu ini. Semua sibuk menuduh orang itu rasuah dan sibuk mendabik dada bahawa dialah satu-satu pejuang memerangi rasuah tetapi seriuskah mereka? Malaysia adalah salah sebuah negara yang menandatangani UN Convention Against Corruption (UNCAC) tetapi sejauh mana Convention ini diaplikasi di negara kita?Berapa ramai yang berjaya menduduki jawatan-jawatan penting dalam parti dengan wang ringgit? Berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu akan hal ini? Di sebelah pihak pula, pemilihan kepimpinan tertinggi dipenuhi dengan isu-isu korupsi dan nepotisme sehingga ada yang meletak jawatan, keluar parti, demonstrasi, sesi meluahkan perasaan di media-media utama yang sentiasa menunggu situasi-situasi begini.

6. Sudahkah kita muak dengan propaganda sebegini? Lebih banyak cakap daripada melaksanakan. Lebih air liur daripada keringat. Sampai bila kita harus menunggu dan melihat perkara ini? Siapakah yang boleh benar-benar memerangi rasuah dari setiap peringkat; baik politik, kakitangan awam, swasta hatta di kalangan golongan muda sekalipun kerana telah begitu jelas bukti bahawa golongan muda juga sanggup menjual diri untuk sebuah kerusi dalam mana-mana organisasi di negara ini.

7. Apakah kuasa ketiga mampu menangani isu ini? Apakah kuasa lama masih mampu membersihkan stigma rasuah yang sudah terpalit di muka mereka untuk sekian lamanya? Apakah rakyat masih lagi boleh bertolak-ansur dengan janji-janji dan ‘sembang kosong’ ini? Siapakah yang benar-benar mampu dan serius untuk melaksanakan perkara ini?

May the force be with you.

*Keberuntungan menjadi seorang mooter dieksploitasi sebaik mungkin untuk menulis artikel ini kerana diberi kesempatan untuk berhujah dan menyelamatkan klien dalam isu rasuah.


Wednesday, February 9, 2011

Bertanding MPP

1. Kehidupan sebagai manusia yang mengambil bahagian dalam mooting adalah ibarat askar yang balik dari berperang dan menunggu arahan seterusnya untuk pergi ke medan perang. Menempuh hari2 sebagai manusia biasa yang tiada arah tujuan dan mengisi masa lapang bersama-sama keluarga, evi, aizat(roomate yang selalu tak dapat makan sama-sama bila ada mooting bulan lepas),kawan-kawan assignment dan juga keluarga moot( Walaupun dah tak ada pertandingan tetapi masih lagi meluangkan masa bersama-sama.) Barulah terasa menjalani kehidupan sebagai siswa yang normal dan cuti seminggu raya cina itulah cuti yang pertama semenjak semester pertama BLS yang aku tak perlu fikir bagaimana mahu menolong klien akibat kebodohannya sendiri. Memang selayaknya peguam diberi gelaran pemikul beban kebodohan orang lain.

2. Kesempatan yang ada ini aku gunakan untuk menyertai mana-mana mesyuarat dan program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi dalam masa terdekat ini akan berlangsungnya pemilihan majlis perwakilan pelajar peringkat UiTM. Maka diterimalah perkhabaran dan soalan samada aku akan bertanding ataupun tidak. Dah habis moot takkan taknak bertanding. Masa masih ada. Minggu depan baru pencalonan.

3. Nak masuk ke taknak? Dilema tu tak pernah menghantui aku langsung walaupun mempunyai keyakinan boleh mendapatkan undi atas tiket sebagai ex-mooter yang telah berkhidmat demi agama,bangsa dan negara (ok statement ni sangat keterlaluan). Tapi of course dapat undi tak semestinya boleh menang sebab aku kat kedah dulu pun mana buat keja sebagai hi-com pre-law club. Dahlah tak buat keja pastu tamak nak pegang jawatan lagi tinggi sebab tu mintak buat pilihanraya untuk semester baru.Nasib baik tak ada siapa yang sokong permintaan aku tu sebab kestabilan akan terjamin dan orang yang sedia ada akan dapat membuat kerja berdasarkan pengalaman apabila tiada pilihan raya. Aku fikir ini adalah alasan yang sangat baik bagi mana-mana parti yang akan mahu mengekalkan kerusi masing-masing dalam pilihanraya umum kelak.

4. Berbalik kepada isu utama. Kenapa dilema tersebut tak pernah terlintas dalam fikiran aku? Sebab aku dah buat keputusan dan keputusan ini telah diterima sebulat suara oleh family moot dan juga jurulatih moot. Kontrak sebagai mooter UiTM akan disambung sehingga 2014 atau kata lainnya akan disambung sampai aku tamat LLB. So berkecewalah orang-orang yang tak suka aku dan sudah pun memasang impian untuk menggantikan tempat aku sebab kalau nak masuk moot dan taknak tengok muka aku dalam team maka silalah tunggu tahun 2015 untuk masuk moot.

5. Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa tiadalah sebarang perancangan mahupun kejutan di saat-saat akhir yang bakal aku lakukan kerana sudah tetaplah pendirian dan terputuslah sebarang andaian yang mengatakan aku akan bertanding MPP. Tidak akan ada intuisi atau segala bentuk kata hati di saat-saat akhir untuk bertanding walaupun dengan niat untuk memecahkan undi mana-mana calon. Tidak, aku tidak akan bertanding dan walaupun diberi jaminan satu fakulti akan mengundi aku pun, tidak sama sekali terlintas untuk aku mengubah pendirian. Adalah menjadi kehidupan aku sebagai siswa undang-undang UiTM yang akan menghabiskan masa emas siswanya dengan mengabdikan diri dalam karier moot. Tidak tertakluk kepada sebarang pindaan dan akan tetaplah keputusan ini selagi wujudnya entri ini di dalam blog yang sedang kalian baca ini.

6. Lagipun, kekecewaan dan semacam rasa terkilan berbaur annoying mula menyelinap di segenap urat-urat pemikiran masa hadapanku terhadap politik. Sesungguhnya tidak ada tempat bagi mereka yang meluahkan pendapat secara terus-terang dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Adapun yang mengaku non-partisan akhirnya terserlah juga bahawa mereka adalah partisan juga. Begitu juga dengan kewujudan kuasa ketiga dan segala macam kuasa yang ada tidak lain adalah berpartisan juga. Bukanlah stigma lalang itu harus kusarungkan untuk politiking diriku sendiri akan tetapi bagi mereka yang benar-benar jujur dan mengkritik kedua-dua belah pihak sering sahaja tidak akan mendapat tempat dan peluang untuk berbuat sedemikian. Akan kubuktikan mengapa kukatakan sebegini dalam entri yang akan datang. Tak kurang juga terputusnya harapan dan minat terhadap dunia politik adalah takuk yang tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang; mementingkan denyut nadi diri sendiri daripada kebajikan rakyat yang memilih. Menyertai politik bukan untuk membantu tetapi mengambil kesempatann. Keenganan aku untuk menjadi hamba ideologi-ideologi karat mana-mana parti politik juga penyebab utama aku hilang nafsu terhadap politik.

7. Roh mooting telah meresapi pertimbangan dan setiap nafas yang membutirkan kata-kata kerana aku sudah menemukan minat dan kehidupan aku yang sebenar yakni tidak ada yang lebih membahagiakan aku apabila aku dapat membuat pertimbangan, kenyataan dan keputusan mengikut timbang tara undang-undang dan kebijaksanaan perundangan. Setiap kata-kata yang mesti bersandarkan bukti bukan tuduhan semata-mata, bertiangkan autoriti dan bukan semborono. Bahkan perkataan perlu, harus, yang, ialah mesti mengikut pertimbangan dan autoriti yang tepat. Inilah keunikan dan kebahagiaan yang aku temui dalam mooting sebab itu aku akan menembusi masa tanpa sedar sekiranya aku berada dalam momentum meneliti autoriti, mencari kekurangan dan kelebihan fakta kes serta membuat kesimpulan ataupun kritikan terhadap sesebuah kes yang telah diputuskan mahupun artikel perundangan.

8. Dengan status penerima biasiswa bekas ketua hakim negara juga menguatkan lagi iktikad aku untuk mengubah haluan buat kali ketiga. Selepas impian untuk bergelar doktor terpaksa dikebumikan gara-gara kenakalan aku sendiri sewaktu sekolah menengah dan kerana terkilan atau bahasa muda-mudi sekarang ''sentap'' dengan kebejatan politik, maka aku putuskan untuk memilih jalan baru. Berkhidmat dalam Legal&Judicial Service merupakan sesuatu yang sangat menarik. Lagipun aku hanya terikat dengan undang-undang dan kalau tak puas hati aku boleh membuat penghakiman sekaligus undang-undang baru apabila aku berada di kerusi ketua hakim negara hehehe. Kalau kena pecat sebab tak sekufu dengan eksekutif maka aku akan berundur dengan penuh takzim dan hormat sebagaimana yang pernah menimpa Tun Salleh Abas.

9. Masa untuk meneruskan kehidupan. Akan mengikuti perkembangan hari demi hari suasana pilihanraya MPP di fakulti undang-undang UiTM dan juga menyertai mana-mana program yang akan dijalankan oleh sesiapa sahaja bergantung kepada tahap minat dan kerajinan aku.

* Adalah dijemput kepada semua yang membaca untuk menghadiri bengkel moot yang akan dilangsungkan di bilik seminar 1 Cempaka 1 Fakulti Undang-undang jam 8.30 pagi.