Friday, May 27, 2011

Dan teman sejati itu adalah...

Teman terbaik adalah dirimu sendiri
Tatkala tiada lagi yang menggetarkan telingamu
Saat suara pujian yang menyuburkan angkuhmu tiada lagi kedengaran
Di kala sindiran dan fitnah yang mengguris egomu sudah kelam sepi
Pada waktu itulah, kau akan temukan temanmu yang sejati

Dia tidak membenarkan yang batil
Jauh sekali menafikan yang benar
Tidak mengurangkan apa yang cukup
Tidak melebihkan apa yang kurang

Dia akan memberitahumu meskipun itu melumpuhkan bisa ujubmu
Dia akan melucut kemegahan dari dirimu
Dan mengajarmu untuk melihat ke bawah
Agar tidak pernah kau lupa siapa yang sudah kau pijak dan lupakan
Kerana mengabaikan adalah sama adilnya dengan melupakan
Dan melupakan keperihan orang lain yang mengutip sisa makananmu
Adalah sama ertinya melupakan asalmu yang juga datang dari tempat yang hina

Akan dilenturkan rasa angkuhmu itu agar bisa tanganmu menadah ke langit
Dicairkan rasa senang dan lumayan supaya tidak lagi ia menyaluti hatimu
Teman sejatimu itu akan mengajarmu erti sebuah kehidupan
Yang tidak boleh dipisahkan dengan erti sebuah pengorbanan
Kerana hidupmu juga bermula dengan kesusahan
Justeru mana mungkin akar melupakan tanahnya

Maka di saat kau menemukan temanmu itu
Yakinilah dialah teman sejatimu
Nilainya tidak ditolok bandingkan kiranya kau bisa menghimpunkan jutaan manusia
untuk memujamu, mendengarkan dogenganmu
Kerana mengenal temanmu itu
Bererti kau mengenali penciptamu

Temukanlah penciptamu dalam diri temanmu itu
Maka kau akan mengerti hakikat hidup sebagai musafir di dunia ini
Kerana hidup jika kau fikirkan kembali tatkala kau kembali ke kampung halamanmu
Adalah tidak lebih hanya sekadar sesuatu yang tidak pernah terjadi


Merindui saat di mana ilham sebegini datang seperti hujan renyai yang meresap jernih ke dalam tanah dan menyuburkan seisi alam. Maaf kiranya bahasa yang digunakan tidak setajam nukilanku dalam novel Laskar Cinta. Aku mencuba untuk kembali menghirup semula aroma menulis ini kerana menghilangkan ia bererti perlu mencarinya kembali. Dan mudah-mudahan nukilan di atas bisa mengetuk pintu hati kalian.




Tuesday, May 10, 2011

sambungan yang pasti

Maka dihidapilah satu penyakit yang sangat merbahaya kerana penyakit ini boleh melumpuhkan daya intelektual seseorang sehingga satu tahap membuatkan seseorang itu tidak lagi punya ghairah dan minat untuk hidup lagi.

Bosan. Akan ditemani kebosanan siang dan malam selama 4 bulan berturut-turut

Pada saat inilah mula timbul permintaan yang tidak melepasi logika munasabah. Kalau time ni ada kelas admin law pun aku sanggup datang; tak payah chu dan kecik bersusah payah nak mesej aku kat mana dan akhirnya menjadi tukang sain autograf aku. Terbitlah penyesalan yang berupa sementara akan tingkah laku silam dan pastinya penyesalan itu, seperti yang kucakap sebentar tadi hanyalah sementara kerana apabila semester bermula semula, semua penyesalan itu akan hilang diganti dengan mengulangi perbuatan yang sama.

Maka muncullah sahabat sejati, yang sentiasa ada di mana-mana saat kuperlukan nasihat dan walaupun untuk berborak kosong. Diambilnya tempat duduk sebelahku dan ditarik nafas perlahan-lahan sebelum memulakan bicara.

''Aku bosan.''
''Aku tahu.''
''Ada solusi?''
Seketika sahabatku itu diam. Matanya seakan cuba mencari jawapan.

'' Buat blog untuk sambungan novel kau dahulu. Nak tunggu publish pun sampai bila jadi apa salahnya kau tunjukkan masterpiece kau melalui blog. Lagi cepat dan mudah. Setidak-tidaknya kau membantu orang lain membunuh kebosanan mereka dan kau juga boleh menghirup aroma untuk menulis kembali.''

Aku membatukan diri. ''teruskan.''

'' Soal watak-watak dan gaya cerita kau yang berbaur semilis karya ilhami sasterawan indonesia itu janganlah dfikirkan sangat. Inikan hasil kerjamu yang kau simpan sejak 3 tahun yang lepas. Kiranya kau mati esok setidak-tidaknya orang tahu bahawa karya tulisanmu pernah wujud di dunia ini.''

Jawapannya tidak pernah mengecewakanku. Aku mafhum kerja-kerja menulis ini adalah ibarat melepaskan diri daripada penjara. kerana realiti itu adalah penjara justeru mengapa tidak membebaskan diri dengan imaginasi sendiri?Bukankah itu satu anugerah terbesar yang Tuhan berikan kepada manusia?

''Aku tahu kau pasti risau dan tidak percaya diri kan. Teruskan sahaja apa yang hendak kau lakukan setidak-tidaknya kau berani untuk membawa tulisanmu ke mata umum. Tidak seperti sesetengah orang yang hanya cakap mahu buat tapi tak pernah buat pun''

Mempunyai rakan sebegini memang tidak pernah merugikan. Dialah juga yang pernah muncul saat menyedarkanku bahawa 'Tuhan Tahu tapi Menunggu'.

Alhamdulilah, maka pada hari ini telah siaplah blog yang akan diisi dengan novel LASKAR CINTA EPISOD 2: XPDC CINTA. Lanjutan daripada novel pertamaku. Bezanya yang kedua ini tidak diterbitkan kecuali di blog ini sahaja. Percuma dan hanya pastikan kalian mempunyai broadband yang berbayar atau wireless untuk melayari internet dan mencari blog ini:

http://warrioroflove.blogspot.com

Satu bab baru akan dikemaskini setiap hari jumaat. Untuk permulaan, kupersembahkan tiga chapter yang pertama.

Selamat membaca.