Monday, August 13, 2012

Dua-Dua aku sapu

JANJI ____________
1. Tak dapat nak menunaikan janji untuk menutup mulut selama kaki tidak berada di negara sendiri. Akan tetapi perkembangan di Malaysia cukup menarik perhatian maka aku tidak dapat menahan hati untuk menulis tentang perkara ini.

2. Merujuk kepada laporan Malaysiakini Pak Samad membuat kenyataan bahawa
''BERSIH sendiri pun bukan badan politik.Apa lagi dengan gabungan badan-badan lain yang tidak mewakili siasah politik''

2. Aku bersetuju bahawa BERSIH bukan badan politik dan saya menyokong keputusan mahkamah baru-baru ini yang mengisytiharkan bahawa BERSIH bukanlah satu pertubuhan yang haram. Dan aku kagum dengan kesungguhan mereka untuk memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil di negara ini.

3. Sebelum aku merepek dengan lebih jauh silalah menatap dan merenung gambar ini buat seketika.


''Apa bendala si zharif ni merepek. Tak ada kena mengena langsung dengan BERSIH''

4. Rilek dulu. Bawa bertenang dan kembali semula menatap gambar tersebut. Meminjam kata-kata malique:
''Guna hak berfikir sebelum hak bersuara''

5. Kita ada banyak cara untuk mengajar kerajaan bagaimana nak buat itu dan ini. Kita ada banyak idea untuk menasihati kerajaan untuk bergerak sana sini. Tetapi kita sendiri lupa bagaimana cara untuk membuat itu dan ini.

6. Dalam konteks BERSIH, kita ada banyak idea bagaimana kerajaan perlu membersihkan pilihan raya kita agar ianya menjadi bebas dan adil. Tetapi berapa banyak idea yang kita ada untuk membersihkan diri kita agar menjadi bebas dan adil untuk membersihkan pilihan raya itu sendiri?

7. Kita mahu bebas tetapi diri sendiri tidak dibebaskan daripada mendengar dan menghormati pandangan orang lain. Kita mahu adil tetapi diri sendiri tidak adil dalam membuat tuntutan dan desakan.

8. Benar BERSIH bukan badan politik tetapi itu tidak bererti ia tidak mempunyai kepentingan politik. Jika benar ianya untuk rakyat maka janganlah melibatkan unsur-unsur politik seperti mahu ''menukar kerajaan'', ''menjatuhkan kerajaan'' dan yang lebih penting janganlah membawa ahli-ahli politik daripada parti lain untuk menghentam kerajaan.

9. Jika benar adil dan bebas maka pastikan pilihan raya dalaman semua parti politik itu sendiri BERSIH. Kalau sistem pilihan raya parti sendiri pun dah terpalit dengan masalah rasuah, nepotisme dan kronisme jadi harap maaflah jika nak ubah sistem pilihan raya sebuah negara.

10. Saya mendoakan agar niat rakyat Malaysia yang menyertai program ''janji bersih'' juga bersih daripada rasa benci dan marah kepada kerajaan di samping bersih daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang bersih. Harap penganjuran program ini tidak diniatkan untuk menambah kebencian rakyat kepada mana-mana pihak ataupun memburukkan imej pihak lain terutamanya pihak polis.

11. Kalau nak sambut hari merdeka, sambutlah. Nak pakai baju warna apa pun boleh. Tak nak pakai baju pun tak apa. Alang-alang di dataran merdeka tu bolehlah menjenguk generasi muda kita yang sering dilabel sebagai penyumbang tegar gejala sosial dan lihatlah sendiri apa yang mereka lakukan di malam merdeka. Kalau boleh dekatilah mereka dan nasihat mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.

12. Doa mengiringi kesejahteraan rakyat Malaysia daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.


YANG INI PUN.....

1.Membawa isu di atas untuk dibawa bicara di sini mendapat reaksi yang mampu meleret hingga ke tahap sebegini:

''Kalau Pembangkang menang pun 5 tahun je memerintah. kalau teruk kita tukarlah dalam PRU akan datang.''

Statement aku itu mendapat jawapan berikutnya:
''Masalahnya bukan sampai 5 tahun. Tapi boleh jadi kuku besi. Lagi lama daripada tu.''

Serius? Betul ke boleh lama daripada tu?

2. Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan jangka hayat Parlimen tidak melebihi 5 tahun dan Perkara 159(3) menetapkan bahawa peruntukan ini memerlukan majoriti 2/3 Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk sebarang pindaan.

3. Masalahnya, aku tak yakin PR boleh menang 2/3 kerusi Parlimen dalam PRU kali ini. Kalau menang sekalipun belum tentu Perkara 55(2) boleh dipinda kerana ianya juga memerlukan majoriti 2/3 daripada Dewan Negara. Ahli Dewan Negara tidak dilantik melalui PRU.

4. Jadi ketakutan yang cuba disampaikan itu tidaklah mempunyai asas dan hujah yang meyakinkan. Maka harap maaflah kerana aku tidak percaya PR boleh meminda mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan sesuka hati.

5. Samalah juga dengan momokan yang sering kita dengar seperti
''Kalau PR memerintah hak Melayu dan Bumiputera akan dihapuskan''

Jawapan untuk momokan tersebut: Kalau Majlis Raja-Raja setuju untuk hapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan maka peruntukan itu akan terhapus juga. Sila rujuk Perkara 159(4) Perlembagaan Persekutuan.

6. Dan inilah masalah mentaliti mereka yang menyokong UMNO atau kerajaan Persekutuan ketika ini. Untuk budak-budak muda yang taksub dengan semangat kemelayuan tu bolehlah termakan dengan momokan sedemikian tanpa perlu berhujah menggunakan intelektualiti dan fakta.

7. Sampai bila nak berubah pun tak tahu. Macam rasa mereka ni 'pekak' dan muka tebal sebab masih tak faham-faham untuk berpolitik dengan menggunakan inteligensi dan intelektualiti.

8. Dan yang menjadi masalahnya, golongan inilah yang sering mencapub (mencari publisiti) untuk memeriahkan takungan politik Malaysia yang asyik berkocakkan isu-isu sebegini.

9. Yang paling tidak boleh diterima bila mereka juga memaksa budak-budak muda seperti aku untuk menjadi seperti ini:


Maaflah sebab saya budak law. Memang berlagak dan keras kepala sikit sebab tak nak ikut cakap. Tapi kalau cakap tu berhujahkan fakta, rasional dan penuh dengan elemen-elemen intelektual dan orang terpelajar, mungkin baru saya boleh ikut.

Jangan salahkan aku. Salahkan sistem UPU yang telah memberi tawaran kepada aku untuk sambung pelajaran dalam jurusan undang-undang.

KESIMPULAN

Penulisan entri kali ini boleh disimpulakan seperti berikut:



Apabila kita kembali kepada Al-Quran, tidak ada ayat yang lebih indah untuk dijadikan kesimpulan kepada penulisan ini:

'' Allah Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kerajaan. Dialah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia jugalah yang mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang Dia kehendaki...'' surah Ali-Imran ayat 26.

Waallahua'lam.

Saturday, August 4, 2012

35 Hari



1. Meninggalkan tempat kebiasaan bukanlah satu perkara mudah kerana ianya akan bertukar menjadi sesuatu yang baru dan akan menyusahkan diri untuk membiasakan sesuatu yang baru itu.

2. Blog ini akan kembali berehat kerana penulisnya akan bercuti dan melengkapkan internship di New Delhi, India.

3. Sudah juga ditetapkan untuk kembali menulis selama waktu berehat tersebut. Insya-Allah 35 hari di negara orang akan mengilhamkan sesuatu untuk aku menulis kembali.

4. Mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya kepada para pembaca sekalian. Semoga tahun ini kita tidak sekadar berpuasa dan beraya; saya mendoakan kita akan mendapat sesuatu yang baru dalam puasa dan raya tahun ini.

5.Jumpa lagi.

Wednesday, August 1, 2012

May it please the Rakyat

Setelah mengamati selama seminggu akan kedahsyatan 2 isu ini yang wujud di negara kita pada masa kini maka dengan niat yang satu aku mengambil keputusan untuk mendiskusikan perkara yang sama. Dan niat yang satu itu bukanlah untuk menghentam dan menggunakan ayat-ayat macam ''orang tak ada otak'' tetapi matlamat aku di akhir blog ini ialah menimbulkan keraguan dan persoalan di dalam hati para pembaca sekalian.

Mengapa itu yang menjadi tujuan entri ini ditulis? Sebab kalau tidak ada keraguan maka manusia tidak akan berfikir. Jika tidak ada persoalan jangan mengaku punya akal yang sihat.

ISU 1#

Antara komentar-komentar berkaitan isu ini ialah tema dan lagu tema hari kemerdekaan 2012 mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kerajaan Barisan Nasional. Lagu tema tersebut boleh dilayan di sini dan ini liriknya:



Setelah meneliti kandungan lirik tersebut, terdapat beberapa soalan yang boleh diutarakan:

1.Baris ''Janji sudah ditepati kini masa balas budi'' menimbulkan dua soalan: Siapa yang membuat janji tersebut dan kepada siapa untuk kita membalas budi tersebut?

2. Siapa yang buat janji 1Malaysia?

3. apa BR1M dan siapa yang melaksanakan BR1M?

4.'' Janji kita dikota''......siapakah KITA yang dimaksudkan di dalam lagu ini?



ISU 2#



Dalam masa yang sama, iklan ''saya pilih malaysia'' ini juga telah muncul di televisyen dan ada page facebook yang diwujudkan khas untuk hal ini. Aku berjaya menemukan 3 video berkaitan iklan ini di facebook.

Video pertama: ''macam2 kemudahan yang akan saya nikmati'' minit 0.11-0.13

Video kedua (menonton video ini cukup menguji kerana ia melibatkan 'someone that I used to adore' sebelum dia berkahwin tetapi kehadiran beliau tidak menganggu proses penelitian yang gua buat)
: ''Buatlah pilihan yang tepat...saya pilih mengundi'' minit 0.18-0.22

Video ketiga: ''saya pilih mengundi..saya pilih malaysia'' di akhir video

KESIMPULAN

Kesimpulan ini dibuat bukan untuk membuktikan aku betul atau tidak tetapi untuk membuka pintu kepada kalian.

Pintu untuk bersetuju atau tidak bersetuju.

Dan tidak ada sesuatu yang istimewa daripada kesimpulan ini kerana ianya berdasarkan common sense atau nama glamournya reasonable man

ISU 1#

1. Honestly video ini bagus dan menarik. Cuma ianya tidak sesuai digunakan untuk hari kemerdekaan. Ia lebih sesuai digunakan untuk kempen pilihan raya BN kelak. Memang tidak dapat dinafikan kerajaan pusat BN telah menunaikan banyak janji( jika tidak masakan kita boleh mencapai status negara membangun dan dijadikan role model oleh negara-negara lain) tetapi tak perlulah nak emphasise kejayaan menunaikan janji tersebut.

2. Dah tu kena pula membalas budi kerana janji telah ditepati. Apa yang cuba disampaikan dengan maksud membalas budi tu? adakah ia bererti......... mengundi BN lagi dalam PRU yang akan datang?

Tapi sekejap. Bukankah janji itu pun dapat dilaksanakan kerana rakyat percaya kepada manifesto dan keupayaan BN untuk menunaikan janji tersebut? Senang cerita: dapat buat janji sebab rakyat undi. Kalau rakyat tak undi sudah tentu tak dapat buat janji. Kalau dah undi tapi janji tak buat maka jangan harap nak undi lagi.

Adakah boleh jika aku katakan menepati janji itu sendiri ialah membalas budi rakyat yang mengundi?
Kalau begitu kenapa kita yang nak kena balas budi?
Kita yang undi siapa yang akan jadi Perdana Menteri dan duduk di Putrajaya serta dapat gaji beribu sebulan
Sejak bila yang punya kuasa untuk pilih siapa yang jadi manager kena membalas budi?
Alang Chelsea pun boleh menukar ramai manager di bawah satu pemilik.
Jadi siapa yang sebenarnya kena membalas budi?

ISU 2#


1. Yang ini bertujuan untuk mengajak rakyat mengundi. Itu tidak dapat dinafikan. Tetapi mengundi dan memilih Malaysia?Agak pelik di situ. Ini bukan iklan untuk menghalang fenomena 'brain drain' atau migrasi ke negara lain. Jelas ia berkaitan dengan pilihan raya & mengundi.

2. Jika diperhatikan semula slogan ini berbunyi '' saya pilih mengundi..saya pilih Malaysia''(video ketiga). Boleh ke pilih Malaysia masa nak mengundi nanti? Rasanya semua calon dalam PRU yang akan datang adalah warganegara Malaysia. Jadi takkan nak pangkah semua calon? Nanti jadi undi rosak pula. Atau memang iklan ini mengajak rakyat Malaysia untuk membuat undi rosak?

3. Yang ada nanti di kertas undi ialah calon daripada Parti Politik yang ada di Malaysia dan calon-calon tersebut adalah warganegara Malaysia. Logikkah dengan mengundi Malaysia kita akan mendapat kemudahan( rujuk video pertama)? Dalam video kedua pula ada dinyatakan ''buatlah pilihan yang tepat.'' Soalnya kalau kita pilih Malaysia, ada ke lagi pilihan lain selain Malaysia?

Jika calon A adalah Malaysia maka
Siapa yang jadi calon B?
Tak mungkin setiap kawasan Parlimen dan DUN ada satu calon sahaja
Kalau macam tu menang tanpa bertanding jela.

Jadi soalannya

Siapakah 'Malaysia' yang dimaksudkan dalam iklan sayapilihmalaysia ini?

Mohon maaf tetapi saya akan menjawab ''Malaysia dalam iklan ini bermaksud Barisan Nasional (BN)''

4. Mesti ada yang berhujah kenapa nak kaitkan iklan ini dengan BN?

Jawapan saya:

a. Kalau betul untuk mengundi kenapa tak letak sekali ahli politik daripada Parti Pakatan Rakyat untuk ajak rakyat Malaysia undi? Walaupun video UNDILAH yang pernah popular di negara kita dahulu menampilkan ramai ahli politik PR tapi ada yang daripada BN. Tetapi iklan yang satu ni? Bayang ahli politik PR pun tak ada. Bahkan sebab musabab mengapa perlu memilih Malaysia itu sangat relevan untuk dikaitkan dengan parti BN.

b. Walaupun hujah ini lemah tetapi warna yang digunakan ialah biru putih. Boleh jadi ianya satu kebetulan tapi jika hujah ini tidak meyakinkan anda maka pergi semula kepada hujah pertama.

Dan fikirkan kenapa kita nak kena pilih Malaysia dalam PRU akan datang.


Setelah membaca entri ini, mereka yang mengaku sebagai penyokong BN akan terus mengecop aku sebagai anti-BN dan alat pembangkang. Sebab mengecop orang sebagai anti-BN lebih mudah daripada mengakui kesalahan orang yang diampu.

Bila tegur bukan makna menentang. Bila tak setuju bukan maksud membangkang. Belum tentu yang lantang menegur akan undi PR dan belum tentu yang kuat 'mengipas' akan undi BN.

Undi tu kan rahsia.

of course, haters gonna hate me anyway.

And may this post please the rakyat :)

Tuesday, July 17, 2012

LGH ( LAGU,GAMBAR, HIDUP)

Dah lebih sebulan blog ini tidak dikemaskini kerana penulis sedang menikmati waktu sabbatikalnya daripada kebobrokan isu semasa dan politik yang semakin melariskan akhbar-akhbar dan blog di Negara ini. Meskipun membuak-buak perasaan untuk memberi komen tentang satu dua perkara tetapi perasaan itu sengaja dipendam agar matlamat untuk berehat itu tercapai.

Semester kelima dah berakhir. Terlalu banyak perkara yang berlaku dan harus dicatatkan di sini walaupun keharusan itu ditangguhkan hari demi hari kerana aku masih belum bersedia untuk menulis. Menulis memerlukan masa dan ilham. Kedua-duanya perlu dikombinasikan dalam satu ruang yang tepat dan sesuai.

Terdapat tiga perkara besar yang menjadi perhatian semester ini.

A. MOOTING

Maka secara rasminya aku telah turun daripada medan pertelingkahan intelektual yang telah membentuk sebahagian besar hidup aku selama 2 tahun. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada coaches dan teman seangkatan mooters 2010-2012 yang telah bersama-sama mengharungi medan pertelingkahan ini.

Keputusan untuk mengundurkan diri ini bukanlah sesuatu perkara yang baru; cumanya kali ini aku benar-benar telah berundur daripada menjadi mooter mahupun student trainer untuk moot team. Jauh sekali untuk mencampuri urusan team admin moot club. Pengunduran ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kelab moot UiTM. Bagiku inilah masa yang sesuai untuk mooters yang baru membentuk kelab moot mengikut cara mereka sendiri. Jika aku tidak berundur, maka keadaan akan menjadi bertakung (stagnant) dan aku punya keyakinan kepada mooters yang masih ada ketika ini untuk meneruskan perjuangan kelab Moot.Sama juga dengan senior-senior yang dulu; jika mereka tidak berundur mana mungkin aku boleh mendapat peluang untuk mewakili UiTM dan menggilap bakat 'iceman'.

Mohon maaf jika ada membuat kesilapan sepanjang 2 tahun berada di dalam kelab ini.Maaf jika ada perbuatan yang telah memusnahkan impian orang lain mahupun menyakiti perasaan orang lain. Setiap tindakan yang dilakukan oleh penulis tidaklah dilakukan tanpa motif dan tujuan. Aku berharap motif dan tujuan itu bersandarkan atas kebaikan dan kepentingan pasukan.

LAGU YANG SESUAI UNTUK DIBERIKAN KEPADA MOOTING

i. 21 GUNS

When it's time to live and let die

And you can't get another try

Something inside this heart has died...

LAGU YANG SESUAI UNTUK MOOTING BERIKAN KEPADA AKU

ii. SOMEONE LIKE YOU

Never mind I’ll find someone like you

I wish nothing but the best for you too

Don’t forget me I begged....


GAMBAR MOOTING SPECIAL EDITION ;)

Menangis gara-gara kalah di separuh akhir jessup 2011. Habis ego gua sebagai iceman =.=


JESSUP 2012



SUBJEK MOOTING . ZA v AZ (Zharif-Afiqah v Amirul-Zuraini)

LAWASIA 2011. Waktu yang sepatutnya tepat untuk aku berundur.


LAWASIA 2010: Pertandingan Moot yang kedua disertai dan satu-satunya pasukan UiTM yang berjaya ke final rounds.

Keadaan lepas habis kena 'belasah' dengan judges
First moot competition: MARITIME 2010. Menu sarapan sebelum pertandingan bermula: KEHIDUPAN MARITIM YANG MEMPUNYAI UNSUR-UNSUR KES -.-

dalam usaha untuk menjadi kurus seperti tiang tersebut xD


B. THE RELATIONSHIP

Sebenarnya berat nak tulis pasal benda ini tetapi dah jadi public dan pembaca blog pastinya sudah tahu status penulis dalam entri blog ‘Kiriman Untuk.’’

Dan entri kali ini menandakan pengakhiran hubungan tersebut.

Terlalu banyak yang berlaku dan mohon maaf kerana aku tidak mahu membicarakan lebih lanjut akan perkara ini. Apa yang berlaku adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Sudah tentu kedua-dua pihak punya versi cerita sendiri justeru aku tidak mahu mengulas lanjut akan hal ini. Apa yang berlaku telah pun berlaku. Bohong jika 33 bulan sebelum ini tidak ada perkara yang baik berlaku. Bohong juga jika tidak ada perkara buruk yang berlaku.

Apapun hidup perlu diteruskan dan terima kasih kepada kawan baik dan rakan sebilik yang sentiasa berada di sisi dalam menghadapi perkara ini.

LAGU YANG TEPAT UNTUK MENYIMPULKAN VERSI CERITA PENULIS DALAM PERKARA INI:

i. Kebahagiaan dalam Perpisahan

Mungkin magisnya sudah hilang

ii. Ada Apa Denganmu

Segala berubah

Dan kita terlupa

Dan kita terluka

iii. Menghapus jejakmu

Bukan tempat 'tuk hentikan langkahku

Sesudah semua berlalu

Biar hujan menghapus jejakmu


C.UNTITLED

Yang terakhir ini agak sedikit rumit. Rumit kerana ia melibatkan masa lalu dan datang setelah perkara kedua yang ditulis di dalam entri ini telah berakhir. Masa sekarang yang diberikan oleh Tuhan untuk aku melakukan perkara yang tepat buat pertama kali meskipun di penghujungnya ada kemungkinan ianya tidak akan berlaku seperti yang diharapkan.

Akan tetapi, harapan itu tidak boleh mengkhianati apa yang telah ditentukan oleh Tuhan. Garis rezeki dan jodoh telah ditetapkan dalam pertimbangan yang seadil-adilnya dan tidak punya tujuan lain selain memberi kebaikan kepada hamba-hambaNya. Tidak ada yang berlaku bertujuan untuk mengecewakan kita; semuanya termaktub mengikut kadar upaya dan kemampuan seseorang itu. Jika Tuhan mengkehendaki sesuatu, bererti Dia tahu bahawa hambaNya itu mampu menjalankan tanggungjawab tersebut. Terpulang kepada manusia untuk menafsirkannya sebagai satu hikmah atau kecelakaan.

LAGU YANG SESUAI UNTUK PERKARA INI

i. I won’t give up

And when you're needing your space

To do some navigating

I'll be here patiently waiting

To see what you find

..........

I don't wanna be someone who walks away so easily

I'm here to stay and make the difference that I can make

.......

And in the end, you are still my friend at least we did intend


ii. The scientist

I had to find you tell you I need you
Tell you I set you apart
..................
But tell me you love me, come back and haunt me
Oh and I rush to the start
.....................

Nobody said it was easy
Oh it's such a shame for us to part
No one ever said it would be so hard
I'm going back to the start


SEKARANG INI



Hidup diteruskan. Dengan perubahan yang telah mahupun yang tidak dijangkakan. Semuanya diserahkan kepada Yang Mengetahui untuk menguruskannya. Apa yang pasti perubahan kali ini akan mengubah hidup aku tiga ratus enam puluh darjah.

Dan yang pastinya, setiap perubahan itu akan cuba ditulis di dalam blog ini. Selain daripada menjadi kenangan dan bacaan di masa hadapan, barangkali ia juga dapat memberi kesan kepada para pembaca :)

LAGU YANG SESUAI UNTUK PENULIS KETIKA INI:

i. What doesn't kill you (stronger)

Doesn't mean I'm lonely when I'm alone

ii. Terhangat di Pasaran.

Err, lagu yang kedua ni tak tahu sesuai ke tak sebab silap haribulan dah terlampau hangat pun boleh jadi hangit xD

Sunday, June 10, 2012

Sabbatical




1.Maka bermula pada hari ini, saya mengambil keputusan untuk ''berehat'' atau kata lainnya sabbatical daripada berurusan dengan membincangkan isu-isu semasa yang punya kaitan dengan politik di dalam blog ini.

2. Keputusan ini bukanlah kerana tidak lagi punya minat untuk berdiskusi tentang isu-isu tersebut cumanya langkah memilih sabbatical itu lebih sesuai dan tepat pada masa kini.

3. Ini bukan kali pertama kerana first sabbatical saya dalam hal-hal begini ialah pada tahun 2007-2009. Saya kembali membincangkan isu-isu semasa politik setelah berlakunya pertukaran kerajaan negeri Perak tanpa pilihan raya pada tahun 2009.

4. Kali ini, untuk berapa lama saya akan ber'sabbatical' hanya Tuhan sahaja yang tahu. Benar walaupun saya tidak lagi peduli tentang politik buat masa kini tetapi politik sangat peduli tentang saya.

5. Atas sebab itu juga, saya yakin dan percaya politik tahu bila,di mana dan bagaimana untuk mencari saya apabila diperlukan. Though I don't need politics but politics needs me and it knows how, when and where to find me. As simple as that =)

6. Juga hendaklah dihindarkan daripada membuat sebarang kaitan tentang keputusan ini dengan apa yang sedang atau telah terjadi di negara ini apatah lagi dengan PRU yang bakal menjelang. Apa yang saya lakukan ini hanyalah mengikut apa yang dipersetujui dengan hati sendiri.

7. Bukan juga sabbatical ini akan berakhir apabila politik negara tercinta saya ini akan berubah. Bahkan saya sendiri tidak percaya ia akan berubah dengan dalam masa yang terdekat kerana sudah menjadi tabiat kita menggemari isu-isu peribadi manusia daripada buah fikiran dan idea manusia tersebut.

8. Bukan itu sahaja, takungan politik negara ini masih lagi mengumpulkan pegangan 'double standard' dan ketaksuban terhadap sesebuah parti atau seseorang itu masih menjadi trend politik di negara ini.

9. Saya doakan yang terbaik untuk mereka yang terus-menerus berkecimpung dalam isu politik ini. Janganlah terlalu ghairah untuk memburukkan orang lain kerana orang lain itu jika diperhatikan secara teliti adalah diri kita juga dalam 'level' yang berbeza dan yang lebih penting tidak ada manusia yang sempurna untuk layak dijadikan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

10. Semoga berjumpa lagi. Salam.

p/s: kembali menukar link blog ini kepada pre-lawrian.blogspot.com. Nama itu sudah melekat sejak dahulu dan sukar untuk dibuang. Barangkali ia sesuai untuk dijadikan petanda kewujudan saya sebagai blogger di Malaysia ini :)

Bodoh politik is when you think that when one is not with you, one is against you- Anas Zubedy.

Bodoh politik ialah apabila sesuatu itu dilakukan atas nama agama,bangsa dan negara padahal ianya untuk kepentingan sendiri- Zharif Badrul.

Wednesday, June 6, 2012

Terima kasih

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah 'wish' hari lahir saya yang ke-22 melalui laman sosial facebook, lisan, telefon mahupun doa.

2. Pada kesempatan ini juga saya juga berdoa sempena ulangtahun ke-22 ini untuk 3 perkara:

Pertama, Agar diri sendiri menemui kebahagiaan dan konsisten dalam meneruskan anugerah yang Tuhan berikan yakni menulis

Kedua, berdoa agar mereka yang hidup di sekeliling saya, yang rapat meskipun selalu merasakan saya adalah manusia paling ''annoying'' dalam hidup mereka mendapat kebahagiaan dan menemukan erti kehidupan masing-masing.

Ketiga, agar negara dan masyarakat ini sentiasa dalam keadaan aman, selamat dan dilimpahi dengan kasih sayang Tuhan.

3. Walaupun pada hari ini tidak sempat untuk melihat fenomena zuhrah yang hanya akan muncul setiap 100 tahun tapi hujan pada pagi ini lebih bermakna kerana hujan rahmat telah membasuh kemarau yang mengontangkan fizikal mahupun mental.

4. Tak pasti samada usia 22 ini boleh dikategorikan sebagai muda atau tua kerana di dalam fikiran masih lagi bermain satu persoalan yang masih belum dapat dijawab dengan pasti:

Apa yang telah aku sumbangkan selama hidup di muka bumi ini?

5. 22 tahun. Masih panjang dan saya juga telah memutuskan untuk meneruskan hari-hari berikutnya dengan mempelajari keajaiban-keajaiban yang telah Tuhan Maha Penjaga sediakan dalam anugerah yang diberikan; tidak lain dan tidak bukan anugerah tersebut ialah menulis.

6. Barangkali anugerah itu juga menjadi sumbangan seorang manusia yang bernama mohammad zharif shafiq bin badrul hisam ini kepada dunia dan manusia yang lainnya.

Sekali lagi ucapan terima kasih atas ucapan selamat dan doa yang diberikan. Terima kasih juga kerana masih menjadi pembaca setia blog ini :)