Sunday, May 10, 2009

DAH HABIS DAH


bersama sebahagian dengan rakan-rakan sekelas PL2D

1. Tepat jam 10.45 pagi tadi berakhir sudah semester kedua sebagai pelajar asasi undang-undang di UiTM Kedah. Kertas terakhir yakni Bel 260 sepatutnya tamat jam 12 tengahari tetapi saya membuat keputusan untuk menghabiskannya awal kerana mahu mengemas barang-barang pulang ke Perak sebentar lagi.

2. Meskipun hanya tidur selama 3 jam tetapi mata dan fikiran saya masih segar seperti malam semalam. Tidak ada rasa mengantuk ataupun lelah. Terima kasih kepada Meyra kerana telah menemani saya berbalas komen di myspace. Perbualan kami lebih berkisar kepada novel saya dan insyallah saya telah menjemput beliau untuk membuat endorsement kepada novel terbaru nanti insyallah.

3. Banyak perkara telah saya pelajari sepanjang semester ini. Lima bulan yang penuh dengan pengalaman baru dan juga pembaharuan telah mengambil alih corak kehidupan. Kalau semester lepas saya mengklasifikasikan semester tersebut sebagai 'SEMESTER MENGENAL DUNIA' maka semester ini saya berpendapat temanya adalah 'MENGENAL SAHABAT DAN CINTA.'

4.Saya belajar banyak mengenai persahabatan. Tentang sahabat yang sentiasa menyokong dan memberi bantuan dalam keadaan apa sekalipun. Tentang sahabat yang hanya menjadikan kita as granted dan kemudiannya menikam dari belakang. Tentang dahulunya yang memikirkan saya seorang yang itu ini kepada satu tanggapan yang lebih baik. Dan semester ini juga saya belajar lebih tentang toleransi dan menghormati sahabat sebilik.

5. Tentang cinta.Ya hopeless seperti biasa hehehe. Awalnya ada kemudian pergi. Datang yang baru. Tapi hanya singgah, tidak masuk ke dalam hati. Ada yang pergi kerana berbeza masa depn dan kerjaya; maaf tetapi inilah kenyataannya bahawa saya tidak boleh dipisahkan dengan dunia politik dan kepimpinan. Memisahkannya ibarat memisahkan saya dengan darah yang mengalir dalam badan ini kerana darah politik telah turun-temurun dari moyang hinggalah kepada saya dan kepada anak-anak dan cucu saya pada masa depan. Jadi saya tidak boleh mengubah kenyataan ini semata-mata kerana seorang perempuan. Awalnya memang terasa sedih tetapi apabila difikirkan semula ada hikmah kenapa ia terjadi. Kenapa Tuhan masih membiarkan saya terus mencari lagi separuh hati saya yang ada dalam jodoh yang bakal ditemukan oleh Tuhan kelak kepada saya. Juga tentang masa lalu yang datang kembali dalam keadaan baik ataupun buruk. Kedua-duanya saling memberi hikmah dan pengajaran yang sangat berguna kepada diri saya. Dan kini, hati saya akan di'tutup' untuk saya mengabdikan diri dalam dunia undang-undang dan juga politik.

6. Tentang jawatan. Tugas sebagai naib setiausaha telah membuka ruang kepada saya untuk terus melangkah lebih jauh. Kalau dahulu blog ini diwujudkan untuk menceritakan perihal kelab sahaja tetapi sekarang ia akan bertukar orientasi. Tiada lagi apa yang disebut jawatan atau tugas. Saya akan berehat dan menumpukan kepada kerja-kerja luar saya untuk berbakti kepada anggota masyarakat yang lebih besar. Apapun saya tetap bersyukur kerana jawatan tersebut telah banyak membantu membersihkan imej saya dan membuktikan bahawa saya telah menunaikan manifesto dan janji-janji saya. Tiada pujian yang diharapkan dan tiada kritikan yang membuatkan saya kecewa sebaliknya saya berasa seronok dan gembira dapat menjalankan tanggungjawab tersebut. Cuma masih banyak yang belum dibereskan dan perjalanannya masih jauh.

7. Satu post-mortem akan dilakukan dalam minggu pertama ini untuk menilai dan mengkaji semula 'dosa-dosa' yang telah saya lakukan sepanjang semester ini untuk mengelakkan saya mengulanginya pada semester hadapan. Saya mengakui banyak kesilapan yang saya lakukan dan ada sedikit penurunan dari segi kualiti dan akademik tetapi saya masih optimis ianya boleh diperbaiki lagi.

8. Saya teringat satu perumpamaan tentang sifat manusia apabila dimasukkan ke dalam air panas(yakni kehidupan); adakah ia menjadi seperti ubi(lembut/lemah), menjadi seperti lobak(kuat/agresif) atau menjadi seperti kopi(membentuk kehidupan itu sendiri dengan tenang dan sempurna).

9.Dan saya sendiri tidak tahu dalam kategori apakah saya tergolong.Biarlah manusia dan 'novel' hidup saya sendiri yang menentukan.

Dah habis dah satu bab...Tapi jalan ceritanya masih panjang!

Thursday, May 7, 2009

DI MANA KESUDAHANNYA?

1. Sidang ADUN Perak berlangsung pada hari ini. Banyak pandangan dan pendapat yang dikeluarkan oleh pemerhati2 politik dan rakyat Malaysia-tidak perlulah saya memperincikan satu per satu insiden yang berlaku sepanjang hari ini dan komentar2 daripada beberapa pemerhati politik yang telah saya baca.Di penghujung petang ini fikiran saya menuju ke satu soalan:di mana kesudahan drama politik ini?

2. Rakyat Malaysia sangat prihatin dengan keadaan politik semasa.Tidak kurang juga yang sudah mencapai status politiking. Saya sendiri tidak mahu dilabel sedemikian kerana politiking merupakan satu perkara yang kurang penting pada hemat saya. Ya politik tetap politik tetapi apabila terlalu seronok sangat bercerita pasal politik semua kerja tak boleh buat.

3. Hari ini sahaja sudah beberapa orang ditahan sepanjang ADUN berlangsung.Blog-blog rakyat Malaysia juga amnya sudah mula penuh dengan cerita dan persepsi masing-masing mengenai sidang ADUN yang baru tamat sebentar tadi. Akhirnya, sidang tersebut ditangguhkan ke satu masa yang tidak diberitahu(unspecified time)

4.Nak politik, politiklah. Tapi urusan lain masih kena buat. Seperti saya sendiri pun memang berpolitik tetapi fokus utama masih lagi kepada pelajaran. Kita cuma berpolitik bila waktu tertentu sahajalah-bukan sepanjang masa. Saya sendiri pun mula prihatin dengan keadaan politik apabila isu krisis perlembagaan Perak timbul kira-kira tiga bulan yang lepas. Tapi tidaklah sepanjang post blog saya bercerita pasal politik, siapa yang menang siapa yang kalah siapa yang betul siapa yang salah. Hanya berpolitiking bila ada isu2 yang penting dan apabila tiba pilihanraya sahaja.Bukannya setiap hari, setiap masa dan setiap saat.

5. Saya terfikir juga mereka yang berhimpun di sekitar bangunan persidangan hari ini-apakah mereka semuanya tidak bekerja?Atau hari ini merupakan cuti umum kepada negeri Perak?Politik itu cuma alat sahaja bukannya matlamat.Hasilnya apa yang kita dapat hari ini?Ada sebarang tanda-tanda perubahan dalam kematangan politik di negara kita?

6. Saya tidak menyalahkan sesiapa cuma pada saya politik itu isunya nombor dua sebab isu pertama yakni isu2 semasa masih lagi perlu diberi perhatian-kegawatan ekonomi, masalah VSS, serangan penyakit selsema babi, masalah mat rempit, masalah sosial, isu pendidikan,kualiti institusi pengajian tinggi di persada dunia, peningkatan pencapaian CGPA dan kualiti moral di kalangan siswazah dan pelbagai lagi. Itu yang seharusnya menjadi keutamaan kita bukannya politik.

7. Apakah kesudahan bagi isu pentadbiran di Perak ini?Kalau DUN dibubarkan akan ada pilihanraya lagi.Masalah pilihanraya kat Penanti dan Kota Alam pun masih lagi belum selesai. Atau mungkin semuanya akan selesai selepas pilihanraya umum kelak?Kalau begitu apa akan terjadi kepada negeri Perak sepanjang tempoh untuk menunggu PRU nanti?Apakah semuanya akan beres setelah mahkamah memutuskan siapa yang sebenarnya MB yang sah?

8. Semua ini memakan masa. Biarlah yang terlibat sahaja selesaikan isu ini.Mereka yang locus standi sahaja yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan kemelut ini.Sementara kita, sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini perlu memfokuskan kepada tanggungjawab kita sebagai pekerja di bidang masing-masing. Perlu mahir 'balance' antara politik dan kerjaya. Tidak perlu berpolitik sepanjang masa sebab isu-isu yang saya sebutkan sebelum ini masih menuntut perhatian kita semua.

9.Politik cuma alat, bukan matlamat. Meskipun terdapat perbezaan masih punya persamaan.Sama-sama Melayu, sama-sama Islam dan sama-sama rakyat Malaysia!

Jadi cuba fikirkan, di mana kesudahannya kemelut politik ini?Adakah cakap-cakap politik kita ini mempunyai pengaruh dalam menentukan ending drama ini?

DILEMA TONGKAT&FISIOTERAPI

1. Konsep 1Malaysia yang dirancangkan oleh Ds Najib merupakan satu dasar untuk memupuk semula integriti dan persefahaman antara kaum di Malaysia.Konsep kesaksamaan dan keadilan menjadi teras dalam konsep ini.

2. Tetapi pasti timbul satu persoalan di sini-hak istimewa orang Melayu bagaimana pula?Kata 1Malaysia jadi sistem kuota mestila dihapuskan.Tindakan afirmatif(positive discrimination) juga tidak perlu diteruskan sebaliknya meritokrasi dan persaingan terbuka perlulah dipraktikkan dalam segenap bidang.

3.Benarkah?Apakah orang Melayu sudah betul2 kuat tanpa tongkat sakti ini(yakni hak istimewa atau kuota)?Adakah dengan memansuhkan sistem kuota dapat merealisasikan idea 1Malaysia?

4. Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak keistimewaan bumiputera tertakluk di bawaha kuasa dan perlindungan Yang Di Pertuan Agong. Peruntukan ini sebenarnya merupakan galang ganti kepada kesediaan dan sifat toleransi orang Melayu yang sedia memberi hak kerakyatan kepada kaum Cina dan India sewaktu proses kemerdekaan tetapi galang ganti ini tidaklah pula diperuntukkan dalam perlembagaan.

5. Persaingan terbuka dan meritokrasi adalah bagus kerana dapat meningkatkan lagi keupayaan dan produktiviti di samping memaksa orang Melayu keluar dari comfort zone kepada courage zone. Tetapi pemansuhan dasar afirmatif sepertimana dalam buku Malay Dilemma tulisan Tun Mahathir akan mengembalikan masyarakat kepada hukum primitif iaitu yang kuat akan berkuasa dan yang lemah akan ditindas atau ketinggalan.

6. Benarkah orang Melayu masih lagi bertongkat?Adakah sistem persaingan terbuka bererti orang Melayu kena membuang tongkat dan perlu berlari untuk bersaing dengan kaum lain sedangkan pada hakikatnya kaki kita masih sakit dan belum pulih rawatnya?

7.Jadi bila sakitnya itu mahu pulih?Penggunaan tongkat secara berterusan juga akan membuatkan seseorang itu jadi manja dan tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri. Tetapi pada pendapat saya tongkat artikel 153 itu masih diperlukan untuk orang bumputera mendapat tempat dalam bidang perniagaan dan pendidikan.

8.Apabila orang Melayu telah berjaya mencapai sasaran yang dikehendaki dalam DEB dan berjaya duduk sama rendah,diri sama tinggi dengan bangsa lain maka barulah kesaksamaan dan keadilan kaum itu dapat dicapai.Hakikatnya dasar afirmatif itu sendiri bertujuan untuk mencapai konsep 1Malaysia.

9. Tetapi sekali sekala tongkat itu perlu diubah sedikit demi sedikit supaya orang Melayu lebih berani dan bersedia. Meskipun bertongkat tetapi tidak menghalang untuk melakukan aktiviti2 lain dan sekali-sekala cuba berjalan tanpa menggunakan tongkat. Setidaknya, tongkat itu lambat-laun tidak akan digunakan sekiranya pesakit menjalani rawatan fisioterapi dengan disiplin dan teratur.

10.Nah di sinilah kuncinya-rawatan fisioterapi. Apakah rawatan ini dapat melepaskan pergantungan pesakit dari tongkat?Barangkali boleh.Itupun dengan syarat pesakit mesti berdisiplin menjalani rawatan tersebut dan rajin berfisioterapi.Hasilnya kalau guna fisioterapi maka seseorang itu akan lebih cepat pulih berbanding menggunakan tongkat semata.

11.Pernah timbul satu isu dahulu UiTM perlu dibuka kepada kaum lain. Permasalahannya di sini ialah jika ia dibuka maka ia bertentangan dengan artikel 153(3) yang mana memperuntukkan Yang DiPertuan Agong mempunyai kuasa melantik badan berkuasa bertanggungjawab dalam peruntukan biasiswa dan pendidikan. MARA merupakan badan berkuasa tersebut yang bertanggungjawab membangunkan UiTM.

12.Jadi kalau mahu dibuka kepada kaum lain,artikel 153(3) perlu digubal semula la dan perkataan MARA di UiTM tu tak boleh dipakai lagi.

13. Timbul satu persoalan untuk direnung dan dimuhasabahkan: apakah sekarang ini orang Melayu dan bumiputera masih menggunakan TONGKAT atau sudah bersedia menjalani fasa FISIOTERAPI?

Wednesday, May 6, 2009

SETENGAH ISI SETENGAH KOSONG


1.Ini adalah pos ketiga saya berkaitan dengan isu PPSMI setelah dua pos sebelum ini menunjukkan kecenderungan saya untuk menyokong PPSMI

2.Kita melihat isu ini dengan sudut yang berbeza-beza; ibarat melihat sebuah gelas yang berisi air separuh.Ada yang mengatakan ia setengah terisi manakala yang lain mengatakan ia setengah kosong.

3. Saya melihat PPSMI memberi keuntungan besar kepada sahabat-sahabat saya yang mengambil kursus sains di universiti kerana pengajaran dan pembelajaran di universiti dalam kursus tersebut adalah bahasa Inggeris.

4.Tetapi terdetik di hati saya kalau begitu kenapa semua pelajar perlu belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris?Bukannya semua yang ambil kursus sains di peringkat tinggi.Saya sendiri pun tidak melanjutkan pelajaran dalam kursus ini meskipun sejak tingkatan 1 hingga 5 mempelajari sains&matematik dalam BI.

5. Justeru sistem pendidikan kita secara keseluruhannya perlu diubah.Bukan masalah 'berdosa' kalau belajar BI tetapi cara pelaksanaannya harus diteliti semula. Mengapa tidak ia bermula sejak tingkatan satu?Maksud saya di sini pelajar2 yang selesai menduduki UPSR akan diberi pilihan untuk mengambil aliran yang diminati.Kalau ikut sistem pendidikan sekarang pilihan aliran2 ini hanya bermula apabila selesai PMR.
6.Dari sini, mana-mana pelajar yang mengambil aliran sains akan mempelajari subjek2 sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sementara pelajar-pelajar yang mengambil aliran bukan sains tidak perlu mempelajari subjek sains dan matematik.Mereka hanya belajar subjek2 yang ada dalam aliran tersebut dalam bahasa Malaysia.Bererti tidak semua yang akan mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

7.Kalaupun mereka(yang bukan aliran sains) diwajibkan untuk belajar subjek Matematik maka mereka akan diajar dalam bahasa Melayu kerana kertas soalan peperiksaan pun mesti dikekalkan dengan sistem dwibahasa.Masalah yang ketara di dalam subjek Sains bukannya Matematik kerana Matematik lebih kepada penyelesaian angka2, tidak seperti Sains yang lebih fokus kepada penyelesaian istilah2 dan teori.

8.Maka pelajar2 aliran Sains tidak akan menghadapi masalah di peringkat universiti sekiranya melanjutkan pelajaran dalam kursus sains di peringkat tinggi.Jadi bagaimana dengan Sains dan Matematik dalam UPSR?Saya berpendapat biarlah di peringkat rendah diajar bahasa ibunda terlebih dahulu tetapi sistem dwibahasa dalam kertas peperiksaan masih dikekalkan.

9. Kita tahu bahawa fokus PPSMI adalah melahirkan ramai pelajar yang menguasai sains dan matematik memandangkan kedua-dua subjek ini digunakan meluas melalui bahasa Inggeris.Tetapi tidak perlu semua pelajar perlu menjadi bahan eksperimen ini.Hanya yang berminat dengan aliran sains sahaja yang akan 'undergo' dasar ini.Tambahan pula kalau ia dimulakan sejak awal tingkatan maka pelajar2 lebih fokus dan dapat merancang halatuju kerjaya mereka kelak di peringkat yang lebih tinggi.

10. Adakah dengan menghapuskan PPSMI maka perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah dianggap selesai dan menang?Saya berpendapat usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu dilaksanakan dan berterusan. Ia perlu bermula kepada segenap lapisan masyarakat bukan kepada para pelajar sahaja. Contohnya di semua IPTA dan IPTS saya fikir perlu diperkenalkan subjek Bahasa Melayu ataupun sastera Bahasa Melayu. Sebarang urusan rasmi melalui surat ataupun pembentangan kertas kerja maka hendaklah ia dilakukan dalam bahasa Melayu. Persidangan atau majlis2 besar di negara wajib dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu dan pelajar2 luar yang belajar di negara ini juga diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu.Banyak lagi cadangan2 untuk memperkasakan bahasa Melayu selain dari yang saya sebutkan di atas dan saya yakin anda yang sedang membaca blog ini juga mempunyai idea dan cadangan tersendiri untuk memperkasakan bahasa Melayu selain daripada pemansuhan dasar PPSMI.

11. PPSMI masih relevan tetapi untuk pelajar yang berminat untuk hidup dalam kerjaya sains dan matematik manakala yang berminat dengan aliran bukan sains maka mereka tidak boleh dipaksa untuk menjalani dasar ini. Sementara itu jangan dilupakan usaha-usaha selanjutnya untuk memperkasakan bahasa kebangsaan ini sendiri.

12.Mungkinkah ini dinamakan kajian menyeluruh TPM?Saya berharap begitu. Perubahan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan kita juga perlu dikaji dan diperkemaskan semula.


Setengah isi setengah kosong!

Tuesday, May 5, 2009

NO MORE FUN!


1. Janganlah cakap kat rumah aku takde kalendar ataupun aku seorang alzheimer kerana mengepos blog yang bertemakan kemerdekaan ini.Ye masih jauh lagi kira2 3 bulan lagi baru kita sambut merdeka.Tapi bukan itu tujuan nak pos blog ini jauh sekali nak menceritakan kisah-kisah sejarah bermula dari zaman empayar Melaka hinggalah ke perisyitiharaan merdeka pada 31 ogos 1957.


2. Satu keputusan telah dibuat bahawa tidak ada sambutan kemerdekaan tahun ini kerana tanggal 31 Ogos berada dalam bulan suci ramadhan.


3.Konform keputusan ini sangat luar biasa dan akan menyebabkan sambutan kemerdekaan tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Tidak adalah hari di mana kita akan berkumpul beramai-ramai dan bersorak merdeka!merdeka! selepas penat terkinja-kinja dan telinga pun hampir pekak kerana mendengar persembahan artis di malam ambang merdeka.


4. Bukan itu sahaja, para barisan pejuang mat rempit juga tidak dapat mempamerkan semangat juang mereka di jalan raya dan kedai-kedai yang menjual kondom juga akan kerugian besar jika sambutan merdeka tidak ada pada tahun ini.


5.Maaf jika bahasanya kasar sebentar tadi tapi itulah hakikatnya.Merdeka yang disangkakan cumalah merdeka pada suara sahaja tetapi tidak pada jiwa. Arak,seks bebas dan lumba haram menjadi program2 utama untuk muda-mudi yang kebanyakannya Melayu pada malam sambutan kemerdekaan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika pejuang2 Melayu yang masih hidup melihat cara sambutan merdeka kita sekarang.


6. Tahun ini merupakan satu titik tolak kepada pembaharuan cara kita menyambut hari kemerdekaan. Kalau dulu penuh dengan hiburan maka tahun ini sangatlah dicadangkan(highly persuasive sebab ada 'lacuna') supaya pengisian sambutan kemerdekaan yang ke 52 ini lebih bersifat tenang dan membawa kepada kemerdekaan spiritual.Alangkah bertuahnya kita menyambut kemerdekaan tahun ini dalam bulan yang suci, bulan yang diturunkan rahmat Tuhan kepada umat Islam. Maka solat hajat, doa dan ceramah interaktif atau forum perdana sangat tepat untuk mengisi sambutan tahun ini. Penganut agama lain juga pasti tidak keberatan untuk menyambutnya dengan cara sederhana dan berdoa mengikut ajaran masing-masing.Bukankah itu lebih bagus dan tenang daripada kekecohan,havoc dan kekusutan yang terjadi sepanjang sambutan tahun2 yang lepas?


7. Ini merupakan satu 'isyarat' bahawa tidak kira sambutan merdeka atau tahun baru masyarakat memerlukan sesuatu yang lebih dari sekadar menjerit dan mengucapkan sahaja. Kalaupun kita merdeka secara fizikal tetapi hakikatnya kita mati secara rohaniah dan itu boleh diibaratkan seperti jasad tanpa roh. Kemerdekaan mestilah dihayati dalam dan luar;bukannya bermusim dan dicemari dengan perkara-perkara yang tidak bermoral, perbuatan2 yang meruntuhkan akhlak yang menjadi salah satu punca mengapa sesuatu bangsa itu hilang kekuatan dan kemerdekaannya suatu hari nanti.


8. Untuk sambutan2 yang bersifat nasional pada masa akan datang eloklah diteliti semula intipati program2 yang diisi untuk menjayakan sambutan tersebut. Barangkali sambutan tersebut tidak menyebabkan para penganjur,pengunjung dan semua yang terlibat meninggalkan solat. Kalaupun mahu hiburan, pastikan ianya tidak melebih2 dan melampaui batas. Para pengunjung pun mesti di'separate'kan kepada lelaki,wanita dan berkeluarga. Bukankah itu lebih selamat,aman dan tenteram?


9.Sebenarnya cadangan2 di atas bukanlah yang pertama tetapi pernah disuarakan oleh bekas menteri satu ketika dahulu.Malangnya tiada usaha lanjut.Sambutan kemerdekaan dan tahun baru pada tahun2 lepas membuktikan betapa akhlak dan mentaliti masyarakat kita masih rendah dan ruang untuk memperbaikinya masih ada jika ada usaha yang berterusan dari semua pihak.


10.Merdekakan jiwa dan akal kita ataupun kita akan 'mati' sebelum mati yang sebenarnya!

Sunday, May 3, 2009

MAIN LUAR


1. Yayasan Pencegahan Jenayah mengesyorkan supaya akta pengangkutan jalan dipinda dan hukuman berat diberikan kepada pelumba2 haram baik menggunakan motosikal atau kereta.

2. Selain kerja sosial, Yayasan ini juga meminta supaya pesalah2 ini yang terdiri daripada pelajar dihantar ke sekolah Henry Gurney.

3. Saya tertanya-tanya samada sekolah Henry Gurney perlu dibina di setiap negeri sebab untuk menampung pesalah-pesalah ini dalam satu sekolah saja tidak mencukupi. Bayangkan ada 200 mat rempit yang dihantar ke dalam sekolah ni, itu belum campur dengan pesalah-pesalah lain.Cukuplah Malaysia sudah menjadi negara yang paling banyak pusat pemulihan dadah.Apakah kita bakal menerima award kedua iaitu negara paling banyak sekolah pemulihan akhlak?

4. Masyarakat sendiri pun dah muak dengan isu-isu ini. Filem Bohsia dan filem2 yang sewaktu dengannya berjaya mengetengahkan masalah sosial di kalangan anak Melayu(presenting the problem) tetapi cara untuk menyelesaikan masalah tersebut tidak ada.Kalau adapun endingnya samada yang jahat atau baik mati takpun ditangkap oleh pihak polis.
5.Kita masih bermain di takuk lama.Menggunakan paksaan dari luar tidak memberi kesan yang efektif untuk menangani gejala ini. Kalaupun ia dapat menimbulkan rasa gerun dan takut tetapi bagi mereka yang berhati tegar dan tak makan saman, tetap sahaja melakukan perkara tersebut dan meloloskan diri daripada pihak berkuasa.
6. Peranan ibu bapa masih penting di sini. Sistem pendidikan kita harus diperbetulkan.Di sekolah-sekolah kita lebih cenderung untuk tergesa-gesa menghabiskan silibus tetapi tidak memandang serius penghayatan dan apa yang pelajar2 dapat daripada pendidikan Islam dan Moral yang dipelajari.
7. Kalau mahu cadangan mencegah, maka saya cadangkan kita membuat 'summer camp' untuk pelajar2 di waktu cuti dan summer camp ini selain menekankan aspek perpaduan,aspek keagamaan diberi prioriti utama dan mestilah dilaksanakan secara berterusan.Maksudnya setiap tahun setiap tingkatan perlu menjalani kem ini dengan modul pengajaran yang berperingkat sesuai dengan usia mereka.Apabila usaha mencegah dari dalam telah dikuatkan maka 'self-censored' itu sendiri akan menjadi mampan dan dapat menghalang seseorang daripada melakukan perkara-perkara tidak bermoral.

8.Kalau mahu cadangan memulih, orientasi pusat pemulihan dan sekolah pemulihan akhlak perlu diperbetulkan semula.Sekali lagi orientasi keagamaan diberi fokus yang mendalam supaya perubahan tersebut lebih 'permanent' dan kekal.Kemudian, cungkil bakat2 mereka yang ada.Contohnya kalau ada yang berbakat dalam dunia perlumbaan serapkan mereka untuk memasuki pertandingan2 litar lumba dan jadikan mereka pasukan pelapis. Takpun kalau ada yang berbakat dalam bidang sukan, bentukkan satu tim bola atau ragbi untuk mereka sertai dan peluang mereka untuk meneruskan hidup dicerahkan semula. Bagi yang perempuan pula, luaskan bakat mereka dalam bidang perniagaan,masakan,jahitan dan sebagainya. Pendekatan yang digunakan di Amerika menerusi filem 'Gridiron Gang' perlu dijadikan contoh bagaimana pelajar2 bermasalah ini diberi peluang kedua untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna di masa depan.
9. Mengapa orientasi agama ditekankan?Umum tidak dapat menafikan bahawa kebanyakan mereka yang terlibat adalah Melayu-Islam. Jadi agama Islam yang syumul dan lengkap itu mampu membantu mencegah dan memulihkan semula masalah2 sosial ini. Kita tak dapat nafikan peranan agama dalam hal ini meskipun adanya undang2 negara. Bahkan kalau diteliti pendekatan agama itu lebih menarik,efektif dan bersifat ke akar umbi dan lebih kekal.

10. Kalau asyik 'main' luar sahaja memang dapat ubah tapi yang luar sahajala. Yang dalam masih bersisa dan berakar. Tak ada beza pun.Gunalah pendekatan agama untuk menyelesaikan kemelut ini.Kita bermasalah dan mundur ke belakang kerana meninggalkan agama Islam dan pegangan nilai2 murni.

(Kes 'dera' yang saya kemukakan semalam mendapat perhatian Kementerian Pelajaran-alhasil pelajar itu 'didera' sebab meraba pelajar perempuan. Jadi perlu ke masuk tv?)