Monday, May 5, 2014

KENAPA RAKYAT MALAYSIA TAKUT KENA POTONG TANGAN?




Isu Hudud yang diketengahkan oleh pelbagai pihak ketika ini bukanlah sesuatu yang baru kerana Rang Hudud Kelantan telahpun diperkenalkan pada tahun 1993 dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat negara ini. Bukan itu sahaja, malah sebuah buku bertajuk ‘’Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu penilaian terhadap hukum hudud Kelantan dan Terengganu’’ hasil penulisan Prof Mohammad Hashim Kamali juga telah diterbitkan dan saya berpendapat bahawa penulisan tersebut adalah satu kajian yang komprehensif dalam mendepani isu ini.

Malangnya, perkataan Hudud itu telah dipandang negatif dan meninggalkan kesan yang buruk kepada imej agama Islam kerana ia dikaitkan dengan hukuman yang keras atau ‘tidak berperikemanusiaan’ sekaligus ini memburukkan lagi imej agama Islam di mata kalangan penganut bukan agama Islam di negara ini.
Hakikatnya, Hudud itu bukanlah tentang hukuman semata-mata; ia bukan sahaja tentang hukuman memotong tangan, sebatan seratus kali mahupun rejam tetapi ia juga meliputi tiga prinsip iaitu tawbah (repentance), pemulihan(reform) dan pencegahan (prevention). Bahkan dalil-dalil Al-Quran yang menyentuh soal Hudud juga menitikberatkan soal peluang untuk pesalah mengubah diri dan bertaubat sebelum hukuman tersebut dilaksanakan. Menurut Ibnu Hazm, memberi keizinan kepada pesalah untuk bertaubat sebelum pelaksanaan hukuman Hudud dijalankan ke atas dirinya merupakan satu kewajiban dan tanggungjawab. Justeru, Hudud bukanlah berorientasikan hukuman semata-mata tetapi lebih bersifat kemanusiaan dengan memberi keutamaan kepada peluang untuk pesalah mengubah diri dan tidak dikenakan hukuman jika kesalahan tersebut dilakukan kali pertama (first time offender).

Walaupun terdapat beberapa jenayah yang termaktub dalam hukuman Hudud, saya ingin menarik perhatian pembaca berkenaan jenayah mencuri. Terdapat sebuah kes yang berlaku di Kelantan apabila seorang penganggur dihukum penjara dua tahun dan denda RM 5000 kerana didakwa mencuri RM2 di tabung masjid (baca sini). Namun, jika penganggur ini melakukan kesalahan tersebut dan dihukum di bawah hukuman Hudud, beliau akan dibebaskan dan tangannya tidak akan dipotong kerana beliau seorang penganggur yang sedang dihimpit kemiskinan dan kelaparan serta tidak punya pekerjaan untuk membeli makanan.

Justeru, tanggapan bahawa ramai orang akan kehilangan tangan kerana mencuri di bawah Hudud adalah tidak benar kerana terdapat beberapa pengecualian sebelum seseorang itu dihukum di bawah pelaksanaan hukum Hudud. Ini kerana Islam menekankan keadilan dan adalah tidak adil jika seorang fakir miskin yang tidak punya pendapatan dipotong tangannya kerana mencuri untuk membeli makanan sedangkan mereka yang korup dan mencuri duit rakyat itulah yang seharusnya mendapat hukuman tersebut.

Pada masa yang sama, kita juga harus menimbangkan pandangan S.A.A Maududi dalam penulisannya ‘’ The Islamic State and Constitution’’ apabila beliau berpendapat bahawa dalam dunia yang mana setiap orang menjaga diri mereka masing-masing, yang sistem ekonominya memudahkan beberapa orang tertentu menjadi kaya-raya dengan menindas orang miskin maka melaksanakan hudud dalam kes curi akan hanya melindungi harta penindas.Beliau juga menambah, hukuman Hudud untuk zina pula ia ditujukan kepada masyarakat yang perkahwinan dipermudahkan bukannya untuk masyarakat yang keadaan ekonomi dan budayanya membuatkan perkahwinan begitu sukar.

Selain itu, dalam buku Salim el-awa yang bertajuk ‘’Punishment In Islamic Law’’ beliau berpendapat dalam keadaan sekarang, tidak masuk akal untuk memotong tangan pencuri sedangkan dia tidak ada sumber rezeki atau untuk menghukum zina dalam apa bentuk sekalipun dalam suatu masyarakat yang semuanya menggoda dan menggalakkan hubungan seks luar nikah.

Di samping itu, Yusuf Al-Qardawi juga menyentuh isu dengan berpendapat ‘’ Keadilan Islam tidak menerima logik bahawa perintah Tuhan dilaksanakan kepada pencuri namun kita mengabaikan perintah Tuhan dalam pembayaran zakat dan sistem bantuan sosial Islam. Hanya terdapat satu ayat dalam Al-Quran berkaitan hukuman hudud ke atas pencuri tetapi terdapat berpuluh ayat menyentuh tentang zakat dan menolong orang miskin’’.

Di negara ini, kita begitu berbangga dengan kutipan zakat yang mencecah puluhan juta malah jika digabungkan kesemua negeri, boleh mencecah angka billion. Anehnya, kemiskinan di kalangan umat Islam masih sahaja berterusan dan wujud malah pengurusan agihan zakat juga masih lemah dengan komplikasi birokrasi yang menyeksakan. Penulisan bekas Mufti Perlis berdasarkan pengalaman beliau sendiri sudah cukup untuk menceritakan segalanya tentang realiti pengagihan zakat dan umat Islam di negara ini. (baca di sini)

Gambaran bahawa hudud adalah tentang hukuman semata-mata adalah tidak tepat dan seakan sengaja diperbesar-besarkan untuk kepentingan politik. Seharusnya gambaran yang jelas harus diberikan agar Hudud itu tidak dipandang negatif dan bukannya dilaksanakan atas dasar mengaut keuntungan politik semata-mata.


Friday, April 25, 2014

SIVIL & SYARIAH: MASA UNTUK BERTINDAK


Setelah meyakini bahawa artikel ini akan ditendang oleh mainstream media mahupun online media, maka blog sendiri adalah tempat terbaik untuk menyampaikan pendapat berkenaan perkara ini. Mungkin sensitif tapi itu tak bererti ia boleh diselesaikan dengan duduk diam dan dibiar senyap tanpa sebarang tindakan.

Isu hak penjagaan anak antara Muslim dan bukan Muslim telah sekali lagi mendapat perhatian meluas daripada masyarakat Malaysia baru-baru ini apabila Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan anak kepada saudari S.Deepa sebelum anaknya dilarikan oleh bekas suaminya yang juga merupakan seorang mualaf Izwan Abdullah. Saudara Izwan, pada masa yang sama, mendapat hak penjagaan anak dari Mahkamah Syariah tahun lepas.

Saya berpendapat semua pihak harus menghormati kedudukan Mahkamah Tinggi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di samping mempunyai bidang kuasa dalam mengendalikan hal-hal berkaitan Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Di samping itu, kedudukan Mahkamah Syariah dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga haruslah dihormati.

Pada masa yang sama, prinsip-prinsip yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes terdahulu iaitu Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors [2013] MLJU 735 juga perlu diambil kira oleh semua pihak. Prinsip-prinsip tersebut adalah:

·       Orang bukan Muslim tidak tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah dan apa-apa keputusan Mahkamah Syariah tidak terpakai ke atas dirinya

·   Prosiding Mahkamah Tinggi Malaya atau Sabah & Sarawak lebih tinggi berbanding Mahkamah Syariah memandangkan Mahkamah Tinggi diwujudkan langsung dari Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan

·        Apabila pasangan tidak mencapai persetujuan berkenaan status agama anak-anak maka status agama anak-anak tersebut dikekalkan sehingga mencapai usia 18 tahun dan selepas mencapai usia 18 tahun, anak-anak tersebut boleh memilih agama mereka sendiri

·   Penukaran status agama anak-anak tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa melanggar Perkara 3, 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan

·      Hak mendengar harus diberikan kepada suami atau isteri yang tidak memeluk Islam memandangkan hak mendengar adalah keadilan sejagat (natural justice)

Walaupun Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap hal-hal berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, perkahwinan yang didirikan oleh pasangan suami isteri ini adalah berlandaskan prosedur-prosedur yang terkandung dalam Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan akta tersebut juga memperincikan hal-hal berkaitan perceraian bagi pasangan bukan Islam seperti hak penjagaan, nafkah dan sebagainya. Justeru keputusan penjagaan anak bagi pasangan ini adalah berpaksikan peruntukan yang disediakan dalam akta tersebut memandangkan mereka telah berkahwin dan memperoleh cahaya mata sebelum saudara Izwan memeluk Islam.

Pertikaian yang timbul, pada pendapat saya, adalah disebabkan dua perkara: Pertama, Mahkamah Syariah juga mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan hak penjagaan anak dan kedua, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas individu yang bukan beragama Islam.

Dalam menangani isu ini, pindaan ke atas Akta Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 harus dilaksanakan dalam memastikan kejadian yang sama berlaku di masa hadapan. Keputusan kabinet pada tahun 2009 yang melarang salah seorang daripada pasangan menukar agama anak-anak tanpa kebenaran kedua-dua pasangan tersebut boleh digunakan dalam pindaan tersebut di samping menyediakan satu platform untuk kedua-dua pasangan menyelesaikan isu-isu berkaitan penjagaan anak, nafkah dan lain-lain.

Walaupun tidak dinafikan bahawa isu ini merupakan satu isu yang sensitif, kewujudannya tidak boleh dinafikan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian. Tidak menghiraukan atau tidak menjawab bukanlah satu jalan penyelesaian berkenaan isu ini. Sudah tiba masanya sistem perundangan Malaysia memberi panduan yang jelas dalam menangani isu ini kerana ia juga memberi kesan yang buruk terhadap sebarang usaha rekonsiliasi antara kaum di negara.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penganut beragama Islam, keadilan haruslah diberikan kepada semua pihak sepertimana yang dijelaskan dalam kitab suci Al-Quran ‘’ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan’’ (5:8)


Thursday, March 6, 2014

LLB dan 28 minggu

Dah lama sebenarnya nak menulis pasal benda ni tapi disimpan hasrat tu kejap sebab kang nanti aku tulis sebelum result keluar, kot aku tak lepas ke apa dah malu dah kat satu kampung. Jadi aku cuba memendam untuk seketika dan menikmati kemeriahan member-member yang aku kenal memulakan kehidupan sebagai budak LLB. Bagi yang baru masuk, tahniah dan selamat memakai hitam putih selama 28 minggu. Bagi yang dah masuk, selamat memakai hitam putih selama 14 minggu.

Jadi post kali ni bukanlah nak memberi nasihat atau pedoman bagaimana nak survive LLB sebab aku yakin dan percaya batchmates atau senior-senior telahpun memberikan nasihat yang cukup untuk survive LLB maka tak perlulah aku ulang benda yang sama. Entri kali ini lebih kepada catatan peribadi; menasihati diri sendiri supaya tidak menyimpan lagi benda yang dah lepas.Ia bukan untuk memberi rahsia bagaimana nak berjaya survive LLB dan sama ada  memberi manfaat atau tidak, itu terletak kepada mata yang membaca.

1. Ramai yang tanya ''Macamana nak study LLB?'' Sebenarnya, aku pun tak tahu macamana nak study LLB sebab cara study yang dibentuk sejak asasi hingga bls akan melekat hingga ke LLB. Kalau dari BLS kau jenis yang last-minute, suka stay up sampai 4-5 pagi, meroyan mata bengkak bagai, satu mukasurat yang dibaca bersilih ganti dengan gambar kat instagram dan status facebook, sampai ke LLB pun akan jadi macam tu jugak. Jadi janganlah expect LLB boleh ubah cara study. Mungkin sedikit. Macam aku, masa LLB nila baru reti nak study last minute tapi yang tak bestnya study last minute ialah aku takkan ingat benda tu untuk final. Jadi, untuk final kena baca balik. Jadi jawapan untuk soalan di atas, ia bergantug kepada cara study dari asasi mahupun BLS. Takda yang beza sangat pun.

2. Yeke? Tapi kan LLB banyak nak kena buat kerja?  Memangla LLB banyak kena buat assignment, file apa semua. Sebab masa BLS dulu carrymark cuma 30 or 40 % tapi LLB ni dah jadi 60% so memangla banyak kerja. Kalau nak kerja sikit but then expect kerja tu per 60, memang tak dapatlah bro.  Standard LLB takkan diturunkan hanya sebab korang tak boleh buat. So nak tak nak korang tak boleh nak fefeeling macam BLS dulu. Sebab itu jugaklah LLB ni kita ada firmmates. Itu gunanya ada firmmates.

3. Ha cerita pasal firmmates, macamana nak bagi-bagi kerja eh? Itu terpulang kepada kebijaksanaan Senior Partner masing-masing. Selalu aku dengar dalam satu firm tu akan ditugaskan sorang untuk jaga satu atau dua subjek. Contohnya Si A akan jaga assignments subjek Criminal. Untuk firm aku pulak, aku pakai teknik 'one assignment at a time'. Setiap minggu (biasanya hari rabu), kitaorang akan buat meeting untuk list down assignment yang ada dan lepastu baru agih-agihkan mengikut cara undian. Jadi setiap orang akan merasa jadi ketua untuk setiap assignment yang berbeza. Satu lagi yang SP perlu ambil tahu ialah setiap firmmates korang mempunyai cara kerja yang berbeza. Jadi untuk menghadapi situasi ini, kitaorang sepakat untuk buat deadline for every assingment. Maknanya, tak kisahlah kau nak buat kerja macamana, nak siap awal ke atau nak buat last minute janji bila deadline, kerja mesti hantar. Jadi, masing-masing bebas nak buat style kerja macamana tapi janji sekian haribulan pukul berapa, kerja dah siap.

4. LLB nanti kena tido kat firm ke? Mana ada! Itulah satu-satunya mitos yang terbesar aku pernah dengar pasal LLB. Sebab apa? Tak ada siapa pun paksa kau untuk tido kat firm. Tak ada kewajiban untuk melakukan hal sedemikian. Ia adalah pilihan sendiri. Bagi mereka yang suka duduk kat firm lama-lama then boleh upload gambar atau update status beritahu kat satu dunia '' 3 am and I'm still here'' maka memanglah akan tido kat firm. Sepanjang 28 minggu menjadi budak LLB, TAK ADA SEKALI pun aku duduk kat firm 24 jam. TAK PERNAH. Paling lambat aku pernah balik ialah pukul 4 pagi itu pun cuma sekali dan pada minggu yang ke-27 (part 2 LLB minggu ke 13). Jadi tak perlulah mengangkat 'tidur dekat firm' sebagai satu tradisi. Ia adalah kehendak sendiri semata-mata, tak lebih daripada tu.
 Sebenarnya, boleh je nak balik awal. Tak ada masalah pun. Kadang-kadang balik lambat tu bukannya apa tapi sebab kerja tak siap lagi. Tapi macamana kerja nak siap kalau sambil buat kerja sambil tu jugakla dok menghadap facebook, twitter dan instagram. Kalau tak percaya, try buat sekali. Satu hari tu fokus siapkan semua kerja tanpa perlu bukak benda-benda tu, confirm boleh siap dan balik awal.

5. Pensyarah-pensyarah LLB garang-garang dan strict. Ala, standard la tu. Masa tadika dulu pun aku ingat cikgu aku garang so itu perkara biasala. Lagipun dah nama pun LLB kan, kalau nak yang lembut-lembut, tak tough apa semua, then belajar kat rumah jela. Bagi aku, semua pensyarah yang aku dapat time LLB semuanya bagus-bagus dan kalau diaorang marah ke apa, itupun bersebab dan memang patutlah aku kena marah atau tegur. Pendekatan setiap pensyarah tu berbeza jadi tak perlulah aku nak judge siapa yang bagus atau tidak. Kalau tak bagus, takdanya diaorang jadi pensyarah untuk program LLB kan?

6. Ada yang cakap, masa LLB nilah baru kita tahu siapa kawan sebenar. Err...well mulanya aku sendiri tak percaya tapi bila dah kena dekat batang hidung sendiri barulah percaya kenapa ada yang memberi nasihat macamtu.
    Dia macamnila, bila dah LLB ni akan ada yang terkena 'kejutan budaya' dan meroyan tak tentu pasal sampai tak boleh tengok orang lain dapat markah lebih. Kalau boleh semua kena dapat markah yang sama. Kalau yang satu ni teruk, yang lain pun kena teruk. Sebagai manusia yang 'jual ikan', obviously aku tak setuju dengan pemikiran macam tu. Pada aku, setiap orang ada hak untuk perform atau dapat markah tinggi ke apa jadi tak perlulah nak standardised kan semua orang. Orang yang berfikiran 'kalau aku dapat markah rendah, semua orang kena dapat markah rendah' pun pada aku 'jual ikan' jugak. I mean, tak perlu kot nak salahkan orang lain disebabkan kebodohan sendiri atau ketidakmampuan sendiri untuk perform. Yang bestnya orang macamni bila dia dapat markah tinggi, dia takda nak paksa semua orang kena dapat markah tinggi jugak so...ya...biasala tu.
   Jadi pada aku, just stay true to yourself. Lagipun korang cuma ada 28 minggu. Kalau 28 minggu tu tak ubah apa-apa dan korang tak 'unlock hidden potentials' yang ada dalam diri korang, then sadly, korang tak belajar apa-apa selama 28 minggu tu. LLB adalah masa untuk mengenali diri sendiri, to know your own limit and break it. Kalau korang berhak untuk dapat markah tinggi, jangan rasa bersalah sebab korang memang layak untuk dapat markah tu. Kalau dapat markah rendah, jangan meroyan tak tentu pasal kat laman-laman sosial dan salahkan orang lain sebab obviously it's your own fault. Hang sendiri yang buat assignment tu, buat submission, tulis jawapan atas kertas jadi kenapa nak salahkan orang lain?
  Oh dan janganlah juga berharap anda akan mendapat ucapan terima kasih sekiranya korang dah membantu untuk meringankan beban orang lain sebab terdapat situasi di mana korang dah tolong tapi tak dihargai malah dipersalahkan kerana orang yang ditolong itu mendapat markah rendah. Anggap jela apa yang dibuat itu sebagai amal jariah kerana hakikatnya manusia, apabila menjadi budak LLB selama 28 minggu, sedikit sebanyak akan menjual ucapan terima kasih atau minta maaf dengan harga yang tinggi.Asalkan korang ingat yang Tuhan tahu tapi menunggu.

7. Nasihat aku untuk mereka yang mengambil program LLB UiTM, jangan merungut atau menggunakan bahasa penulis blog ini ''meroyan tak tentu pasal'' sepanjang 28 minggu menjadi budak LLB sebab maaf cakap, korang akan nampak bodoh bila buat macamtu. Sebab apa? Korang sendiri yang isi borang permohonan nak masuk LLB dan terima surat tawaran masuk LLB. Jadi, tak perlulah nak merungut sebab korang sendiri yang buat pilihan tu. Takda siapa paksa pun bahkan KITA SENDIRI YANG MOHON UNTUK MASUK LLB. Dia ibarat kita mintak ketua gangster pukul kita kemudian kita maki dia kenapa pukul.
  Dan jangan survive LLB. Feel it. Enjoy it. Take it as a chance for you to know yourself better. To know your own limit and break it like a boss.
  LLB bukan sekadar kerja yang banyak tapi tentang kehidupan. Untuk rekod diri sendiri, aku dapatkan lari 60 km sepanjang semester dua LLB ( terima kasih kepada micoach for the trivia), tidur tak pernah kurang dari tiga jam, masih dapat call girlfriend tiap-tiap malam yang jauh di perantauan, main futsal, masuk marathon, tengok wayang, tulis sebuah novel dan habiskan buku-buku berikut
dan berjaya tamatkan LLB dengan 3 pointer ke atas,

Jadi aku pasti korang pun boleh membuat rekod kehidupan yang lebih menyeronokkan daripada aku sendiri!

p/s: Lepas dah habis LLB, hangpa nak marah ka, nak kutuk siapa-siapa ka, nak complain itu ini ka, takpala......kot. Sebab korang dah berjaya habiskan 28 minggu sebagai budak LLB dan sebab yang lagi satu......aku sendiri sedang buat benda-benda tu sekarang hahaha  *wink*

Dan, disebabkan 28 minggu ini jugaklah aku menyedari bahawa sesungguhnya sampai bila-bila pun aku tidak akan dan tidak akan pernah menyukai undang-undang. Legal profession will never be my profession. Sebab itulah aku menyatakan dari tadi bahawa LLB ialah masa untuk menemukan kehidupan diri sendiri. Aku tak sanggup untuk buat benda yang aku tak sepenuh hati suka sepanjang hayat.
:)

Sunday, September 22, 2013

Hanya Sepucuk Surat

''Apa bezanya novel ni dengan novel yang lain?''
 Tak dapat dinafikan novel masa kini telah mudah diramal jalan ceritanya. Mungkin ikut selera pembaca. Bersaing merebut tuah dalam ruang yang sama.
Aku tak tahu apa bezanya novel 7304 dan novel yang lain
 Apa yang aku tahu,
 Ia adalah kisah sebenar yang dialami oleh manusia biasa. Merasai kesakitan dan penderitaan kerana penyesalan. Menyesal kerana lambat mengungkapkan cinta dalam hati. Cinta untuk seseorang yang kita cintai & tahu dialah yang akan menghuni hati kita walau apa pun terjadi.

Novel ini, memberitahu bahawa keajaiban itu terletak dalam tangan manusia sendiri; cuma jalan untuk membuka pintu keajaiban tidaklah mudah. Tak mudah tapi tak mustahil.

Sebuah cerita yang menasihati pembacanya agar tidak menunggu masa yang 'perfect' untuk mengungkapkan cinta; perfect time tidak wujud. Hanya manusia yang perlu bertindak.

Sebuah cerita yang membawa mesej bahawa cinta yang tidak dilafazkan lebih derita rasanya jika ia hilang.

Cerita yang menuntun pembaca supaya tabah& tidak berputus asa dalam mendapatkan sesuatu

Dan jangan pernah memandang kecil terhadap perkara kecil yang dilakukan.

Kerana perkara kecil seperti sepucuk surat yang ditulis dengan hati, bisa mengubah masa depan.


Monday, August 19, 2013

Menulis&Trend


1. Terbaca di akhbar semalam tentang rungutan pengarah di Malaysia akibat sambutan yang tidak menggalakkan daripada penonton terhadap filem yang dibikin. Ada filem yang di bawah paras kutipan yang dijangkakan dan sudah tentunya ini membawa kepada kerugian kepada produksi filem.

2. Perkara ini tidak berlaku dalam industri filem sahaja tetapi juga dalam industri penulisan di Malaysia ketika ini. Tidak dapat dinafikan hampir semua jalan cerita novel lebih kurang sama; status keluarga antara kaya dan miskin akan diketengahkan(salah satu watak pastinya datang daripada keluarga tan sri atau yang punya syarikat mega), kahwin muda atau kahwin atas pilihan keluarga di samping novel yang mencampuradukkan bahasa telah mewarnai trend penulisan dan juga telah mempengaruhi trend filem dan drama di Malaysia.

3. Perhatian akan diberikan dan keuntungan dapat dijana sekiranya trend ini dapat diikuti. Tetapi trend juga tidak kekal lama; sepertimana yang berlaku sebelum ini apabila trend cinta Islamik pernah menjadi fenomena di Malaysia baik dalam penulisan mahupun perfileman. Tetapi sekarang trend itu telah berubah dan pastinya trend sekarang juga akan berubah tidak lama lagi.

4. Sebab itu saya tidak bersetuju kalau penonton atau pembaca dipersalahkan kalau karya yang dihasilkan tidak menepati sasaran mahupun tidak mencatat keuntungan. Apabila telah terlalu banyak lambakan karya yang sama pembaca akan beralih kepada sesuatu yang baru.

5. Saya cuba menjadi diri sendiri apabila menulis. Saya pernah cuba ikut trend tetapi tidak berhasil. Akhirnya saya memutuskan lebih baik menulis apa yang datang dari hati sendiri. Apa yang kita sendiri mahu. Sesuatu yang boleh menunjukkan diri kita yang sebenar.. Stay true to yourself. Pembaca akan baca apa yang mereka mahu dan jika mereka suka, mereka akan membelinya. Apabila menulis saya hanya mahu kekal menjadi diri sendiri dan mengekspresikan diri saya sendiri.

6. Walaupun keuntungan tidak dapat dikecapi dalam masa yang singkat sepertimana yang dijanjikan oleh trend, yang penting kita tidak kehilangan diri sendiri dan cuba tiru (imitate), menjadi orang yang kita sendiri tidak kenal.

7.Kerana menjadi diri sendiri tidak akan pernah hilang dan ditukar ganti seperti trend yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. 

Thursday, August 1, 2013

Cinta akan datang kembali


Apabila Shah Jehan membina Taj Mahal, dia hanya memikirkan isterinya. Tentu dia tidak terfikir Taj Mahal akan menjadi tumpuan pelancong dan kesan cintanya itu akan mengheret jutaan manusia untuk datang ke Taj Mahal. Bahkan dia juga tidak pernah terfikir bahawa Taj Mahal itu juga akan memberi kesan dalam hidupku.     
        Dia tak peduli tentang kewujudanku.Apa yang dia peduli ialah cintanya kepada Mumtaz.

        ‘’Kenapa aku harus pergi ke India sedangkan dia berada di Jepun?’’
         Rumi mengukir senyuman.
        ‘’Cinta itu yang boleh dimiliki apabila kesunyian menghidupkan semula rohmu yang telah mati. Seperti jasad yang sunyi berada di perut bumi, begitu jugalah dengan roh yang mati. Ia hanya bisa dihidupkan dengan bisikan kesunyian. Kesunyian itu akan menguji sama ada engkau bisa hidup bersendirian atau tidak.’’
        ‘’Kenapa kesunyian harus tahu aku bisa hidup sendiri atau tidak?’’
        ‘’Dunia ilham diisi dengan suara-suara kesunyian yang akan menghidupkan alam di dalamnya. Suara-suara itu akan menyapamu dengan bisikan bahawa kalau engkau tidak bisa hidup dalam kesunyian maka engkau tidak bisa mempercayai dirimu sendiri. Apabila engkau tidak percaya kepada diri sendiri akan sukarlah engkau untuk mengenali diri. Apabila engkau tidak mampu mengenali dirimu sendiri, jangan engkau harap engkau bisa mengenali orang lain.
        Kalau engkau tidak bisa berbicara dengan dirimu, jangan engkau sangka engkau bisa berbicara dengan orang lain tentang cinta. Jika engkau tidak bisa mencintai dirimu sendiri, cinta tidak akan bisa membawamu untuk mencintai orang lain.
        Engkau hanya mengetahui apa yang kau mahu dan apa yang engkau miliki dalam kehilangan. Sesungguhnya kehilangan itu akan mengembalikan semula apa yang telah ia ambil dalam keadaan yang tidak engkau sangka. Ia bergerak dalam cara yang misteri; tidak bisa engkau jangka bila ia akan datang.
        Tetapi, apabila ia datang, jangan pernah menolak kehadiran dirinya.’’

        ‘’Aku hilang diriku. Aku hilang cinta. Aku hilang Faten Liyana. Apa lagi yang bisa aku harapkan dalam kehidupanku ini?’’ ujarku dalam suara yang menekan hiba.
        ‘’Engkau telah kembali dalam cinta yang pernah engkau tinggalkan. Kembalinya engkau ke dalam dunia ilham adalah langkah pertama bagaimana Tuhan mahu mengajarmu erti kehidupan. Sebelum engkau hilang segalanya, Tuhan telah membawamu kembali ke dalam dunia ilham agar engkau bisa hidup semula dalam manusia-manusia yang engkau akan lihat di India. Mereka adalah jelmaan dirimu.
         Engkau akan melihat dirimu dalam mata mereka yang mana akan bersatu untuk menghidupkan semula rohmu. Penyatuan itu berlaku apabila engkau bersendirian dan waktu itu seluruh alam akan tunduk menunaikan hajatmu. Merekalah refleksi versi dirimu dan belajarlah daripada mereka tanpa ragu dan malu. Mereka akan memberi erti manusia dan engkau memahaminya dengan bisikan cinta di dunia ilham.
        Di India, engkau akan belajar tentang cinta; erti cinta yang telah Tuhan sediakan untuk kehidupanmu.
        Apabila engkau telah mengenali dan mencintai dirimu, cinta akan datang memimpin tanganmu untuk mencintai perempuan yang engkau cintai selama ini.
        Cukuplah bagi kita ini Allah, Dia sebaik-baik Peneman dan Penolong,’’ ucapnya lagi sambil memelukku dan berlalu pergi.

        Saat itu, aku mula merindui Maria. Gadis yang pernah hidup dalam hatiku dan telah mengajarku kembali untuk mempercayai cinta di saat cinta pergi daripada kehidupanku.
‘’Janganlah bersedih.’’
        Maria memandangku dengan senyuman. Sebuah senyuman yang jernih tetapi penuh dengan ketenangan dan auranya yang tersendiri.
        Dia menemaniku melihat cinta berlalu pergi dalam kehidupanku. Menanti bersamaku dalam keresahan apakah aku akan tidak menemukan cinta lagi selepas ini.
        ‘’Cinta akan datang kembali. Apabila ia datang, sambutlah ia sebagaimana engkau menyambut kehadiranku tanpa sebarang prejudis. Terimalah ia sebagaimana engkau menerima kehadiranku dalam kehidupanmu. Cintailah ia sebagaimana tangan kita berdua bergenggaman di saat nafas terakhir berada di hujung peluru yang menembusi jasad kita berdua.
        Jangan pernah engkau melepaskannya lagi,’’ ucapnya sambil menatap mataku.
        Aku melihatnya kembali. Menembusi anak matanya adalah sebuah makna yang akan diungkapkannya sebentar lagi.
        ‘’ Cintailah dia sebagaimana matamu ini menembusi jasadku. Jangan engkau bataskan cinta itu hanya pada jasad tetapi cintailah dia sehingga engkau dapat merasakan rohnya berada dalam cintamu. Sesungguhnya itulah makna yang engkau rasakan ketika ini.’’

Daripada novel 7304