Friday, October 8, 2010

Pilihanraya di hari raya

1.Ucapan terima kasih diucapkan kepada merek ayang bertanya kenapa aku tidak bertanding dalam LawSoc Election 2010/2011.Sebenarnya sejak dari awal lagi aku tidak ada niat untuk bertanding bahkan tidak pula menyimpan niat untuk bertanding dalam pilihanraya MPP akan datang. Juga ada yang bertanya samada aku menjadi CM(Campaign manager) untuk mana-mana calon. Jawapan yang diberi juga tidak. Hanya sekadar memberi sokongan kepada calon yang bertanding sahaja.

2. Sehingga habis part6 aku tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihanraya peringkat fakulti mahupun peringkat UiTM. Cukuplah menjadi seorang mooter UiTM tak perlu tamak untuk kejar semua benda. Nanti yang dah ada terlepas yang dikejar makin menjauh.

3. Ucapan tahniah juga diberikan kepada semua calon yang bertanding kerana mempunyai keberanian untuk memikul tugas dan amanah sebagai wakil persatuan pelajar fakulti undang-undang UiTM.

4. Apapun aku berpuas hati dengan cara mengundi aku kali ini berbanding waktu mengundi calon MPP semester lepas. Gaya mengundi kali ini lebih cenderung melihat kepada pengalaman melaksanakan program2 terdahulu. Tidak juga faktor peribadi mempengaruhi undian kali ini atau kerana lobi mahupu pengaruh orang lain.Aku juga mengundi bukan untuk memecahkan undi atau dalam erti kata lain mengundi calon kerana calon pilihan menang (boleh pilih 3 calon presiden, 2 calon setiausaha&bendahari). Justeru tak kira samada calon ni berpotensi untuk menang atau tidak aku mengundi kerana pengalaman calon itu sendiri melaksanakan kerja dan program-program sebelum ini. Kalau nak ikut dari segi janji, semua orang boleh janji. Samada boleh tunaikan atau tidak itu tak penting, yang penting menang lepas tu janji boleh dilupakan. Oh ini bukanlah fitnah tapi sudah sering terjadi dan mungkin ia juga terjadi sewaktu aku menjadi hicom di pre-law kedah dulu. Sebab tu dulu kena letak jawatan.

5. Sudah tentu tidak semua adalah sempurna. Maka harus menggunakan balance of probability.

6. Sudah tentu juga saya tidak mempunyai sebarang kepentingan(interest) dengan mana-mana calon yang bertanding dan menang. Juga tidak ada kepentingan untuk mana-mana pihak serta tidak akan meminta itu ini. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar undang2 untuk mengundi.

Ya saya sedang menjauhkan diri daripada orang lain selain orang yang terdekat, rakan sekelas dan rakan sebicara politik. Mengapa? Jangan ditanya..

Monday, September 6, 2010

Yang Kita Tak Perasan

Isu rasis semakin hangat dan menjadi bahan berita bagi setiap media. Tidak kira cetak atau elektronik, semua berlumba-lumba untuk meletakkan isu rasis sebagai santapan utama para pembaca. Ironinya ia terjadi sewaktu negara kita menyambut kemerdekaan yang ke-53. Sungguh menyedihkan apabila isu ini bukan sahaja berpenyakit di kalangan ahli politik tetapi sudah menular hingga ke akar umbi. Baiklah, cukup saya berbasa-basi di sini. Mari kita pergi ke isu yang utama.

Pertubuhan politik mahupun bukan kerajaan begitu lantang mempertahankan perkara 153 Persekutuan Perlembagaan yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu dan penduduk asli Sabah dan Sarawak ( oklah ‘hak istimewa’ lagi sesuai). Ia turut dijaga oleh Perkara 159(5) yang memperuntukkan izin Majlis Raja-Raja sekiranya perkara 153 mahu dipinda atau digubal. Ditambah lagi dengan peruntukan dalam akta hasutan seksyen 3 (f) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan ‘’ A seditious tendency is a tendency to question any matter, right, status, position, privilege, sovereignty or prerogative established or protected by the provisions of Part III of the Federal Constitution or Article 152, 153 or 181 of the Federal Constitution.’’ Justeru, barangsiapa yang cuba mempertikaikan apa-apa persoalan berkaitan perkara 153 mempunyai potensi untuk disabitkan kesalahan dalam Akta Hasutan.

1) Yang kita tak perasan:

Bukan sahaja Perkara 153 yang dijaga oleh Perkara 159(5) dan seksyen 3(f) Akta Hasutan 1948 tetapi juga Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan. Apakah Bahagian 3 itu? Pernahkah ada mana-mana ahli politik memberitahu hal ini?

Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan soal kerakyatan. Citizenship.

Nah, di sini sudah terserlah keseimbangan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya kontrak sosial yang berteraskan kedudukan istimewa Melayu dan prinsip kerakyatan Jus Soli telah dijamin dalam perkara 159(5) yang memperuntukkan ’ A law making an amendment to Clause (4) of Article 10, any law passed thereunder, the provisions of Part III, Article 38, 63 (4), 70, 71 (1), 72 (4), 152, or 153 or to this Clause shall not be passed without the consent of the Conference of Rulers.’’ Maka di sini jelas bahawa bukan sahaja kedudukan istimewa dipelihara tetapi juga soal kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli turut dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

2) Yang kita tak perasan:

Seskyen 3(f) Akta Hasutan bukan sahaja memperuntukkan tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan atau mempersoalkan apa-apa isu berkaitan Perkara 153 tetapi juga memperuntukkan tiada sesiapa pun yang boleh mempertikaikan atau mempersoalkan apa-apa isu berkaitan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan yakni kerakyatan. Justeru, mari kita melihat secara saksama: kalau mempertikaikan isu 30% ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi mempunyai potensi hasutan maka sesiapa yang menyuruh orang bukan melayu pulang ke negara masing-masing perlu dilihat termasuk dalam potensi hasutan yang termaktub dalam seksyen 3(f) Akta Hasutan 1948. Kalau sesiapa yang cuba mempertikaikan perkara 153 perlu dimasukkan ke dalam ISA maka sesiapa yang cuba mempertikaikan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan juga perlu dimasukkan ke dalam ISA. Ini kerana sudah jelas menyuruh atau menghalau orang bukan Melayu supaya pulang ke negara masing-masing bererti menafikan hak kerakyatan mereka di negara ini yang telah dijaga, dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan sejak 53 tahun yang lepas. Bahkan mempersoalkan relevan atau tidak sekolah vernakular juga boleh tersenarai sebagai hasutan sepertimana yang termaktub dalam seksyen 3(e) Akta Hasutan 1948 ‘’ to promote feelings of ill will and hostility between different races or classes of the population of Malaysia’’. Sila rujuk juga: Melan Abdullah v Public Prosecutor [1971] 2 MLJ 280 dan PP v Mark Koding [1982]

Kesimpulan: Sila tutup isu ini. Sekali lagi dimohon: Sila tutup isu ini. Jangan lagi membuka atau cuba menyemarakkan lagi isu perkauman. Apa yang cuba saya nyatakan di atas adalah soal keadilan bahkan dalam Al-Quran sudah menjelaskan ‘’ Janganlah kebencian kamu ke atas sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, sesungguhnya adil itu lebih dekat dengan taqwa’’. Semua rakyat Malaysia baik ahli politik mahupun kakitangan awam, siswa dan pelajar di bangku sekolah tidak perlu mengapi-apikan lagi isu ini. Jika tidak, kita semua berpotensi untuk didakwa bawah Akta Hasutan.

3)Yang kita tak perasan:

Isu ini hangat diceritakan oleh dua komponen parti BN :MCA dan UMNO. Sejak kebelakangan ini kedua-dua pemimpin dari parti tersebut saling bertikam lidah dan mengapikan suasana dengan isu perkauman. Sesungguhnya inilah yang ditunggu oleh Pakatan Rakyat yang tanpa perlu berbuat apa-apa telah menunjukkan kepada rakyat parti mana yang sudah tidak relevan lagi, parti mana yang lebih suka bercakaran tentang isu-isu sebegini dan parti mana yang melaungkan slogan supaya bersatu tanpa mengira kaum tetapi wakil rakyat mereka sendiri yang bergaduh tanpa mengira kaum. Pergaduhan sesama sendiri inilah yang telah melemahkan parti BN sendiri dan tidaklah mahu saya mengulas lanjut kerana ahli BN sendiri sudah bersuara akan isu ini.

(Rujuk http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/nazri-scolds-umno-mca-leaders-for-public-spat/)

Daripada terus bertelagah akan hal ini, bukankah lebih baik mereka fokus dan lebih peka akan isu-isu semasa terutama isu kebajikan, suara siswa dan sebagainya? Kalau susah nak cari saya syorkan dua perkara ini untuk diselesaikan:

i) Masalah kerakyatan (rujuk: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/mca-sets-up-task-force-to-help-malaysian-chinese-get-citizenship/)

ii) isu kemiskinan( rujuk: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/how-poor-are-we-really/)

Jika isu ini terus didendangkan oleh ahli politik Malaysia maka janganlah mengharapkan bahawa pentas politik kita akan mengecap tahap kematangan dan dimensi baru. Mungkinkah kita memerlukan parti lain untuk memerintah Malaysia? Atau mengharapkan parti yang sedia ada memerintah untuk berubah? Setiap undi rakyat adalah bermakna. Kalau terus memalu irama yang salah maka rakyat akan jadi bosan dan pergi mencari paluan irama yang sesuai dengan kehendak mereka.

Yang kita tak perasan:

Pilihanraya nak dekat. Ahli politik tak sedar. Rakyat kuasa sebenar!

Friday, September 3, 2010

Khas Untuk

Salam Ramadhan saya ucapkan kepada Datuk. Moga Datuk mendapat rahmat dan kesejahteraan sepanjang bulan yang penuh mulia ini. Tujuan saya menulis pada petang Jumaat terakhir di bulan Ramadhan ini bukanlah untuk mengajak Datuk berdebat jauh sekali untuk memburukkan nama dan kredibiliti Datuk sebagai pemimpin sebuah badan bukan kerajaan yang begitu lantang dan menjadi sebutan di dada-dada akhbar nasional. Lagipula saya hanyalah seorang rakyat yang tidak dikenali, jauh sekali memegang apa-apa jawatan di peringkat nasional dan hanyalah salah seorang daripada generasi muda yang menjadi penonton di stadium politik negara justeru tidaklah layak bagi saya untuk mengajak Datuk berdebat secara terbuka akan isu yang dibincangkan selepas ini. Jika Saudari Ahli Parlimen Lembah Pantai yang mengajak Datuk untuk berdebat dianggap sebagai budak hingusan, maka saya ini tiadalah nama di mata Datuk.
Sebelum saya menjelaskan apa yang tersurat,tersirat mahupun terlirat di hati sebagai generasi muda yang akan membetuk golongan majoriti mengundi dalam pilihanraya umum kelak, rasa kagum saya tujukan kepada pertubuhan Datuk yang berjaya menarik 200,000 orang ahli dan yang lebih mengagumkan mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir juga merupakan patron kehormat dalam pertubuhan datuk. Namun kewujudan Tun yang merupakan salah seorang pemimpin yang sangat saya hormati tidaklah menghalang saya untuk memberitahu apa yang fikirkan benar untuk kita semua. Tidaklah saya menganggap pandangan saya selepas ini mencerminkan pendirian generasi muda Melayu Malaysia kerana barangkali mereka berasa malu dan akan menolak pendapat saya namun hal itu tidak membimbangkan saya kerana kebebasan bersuara, berfikir dan berpendirian sudah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas keprihatinan Datuk dalam menyanggah komentar-komentar yang diberikan oleh pihak tertentu terutamanya berkaitan 'hak istimewa' orang Melayu. Namun begitu, apabila Datuk bukan sahaja bersuara mengkritik mereka tetapi menghentam YAB Perdana Menteri akan gagasan 1Malaysia beliau, sedikit hati saya terguris. Terguris bukan kerana faktor pembodek jauh sekali hubungan keluarga dengan YAB PM akan tetapi hentaman yang dikeluarkan oleh Datuk telah membawa saya untuk bersuara mengenai beberapa perkara:
Pertama, apabila Datuk mencabar YAB PM untuk membentangkan usul menghapuskan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen sekiranya beliau benar-benar mahu mewujudkan gagasan 1Malaysia memberi refleksi kepada saya akan dua hal: pertama pertubuhan Datuk tidak mengenal bulu dan akan membidas siapa sahaja baik kerajaan ataupun pembangkang yang mempersoalkan 'hak istimewa' dan 'ketuanan' Melayu. Kedua, ia dilakukan supaya stigma pertubuhan Datuk dan parti pimpinan YAB PM adalah ibarat dua muka syiling yang tak terpisah adalah dakwaan kosong semata-mata. Saya tidak mahu bercakap dari sudut politik kerana apabila bercakap dari kacamata politik maka ia tidak bertunjangkan apa-apa, jauh sekali bersendikan asas-asas yang munasabah. Ia cuma ada dua: Benar atau tipu. Saya lebih suka membincangkan hal ini dari sudut undang-undang; meskipun saya tidak mempunyai lesen untuk membela dan mendakwa orang buat masa kini tetapi dengan ilmu perlembagaan yang saya pelajari daripada salah seorang tokoh perlembagaan terkenal di negara ini, eloklah kiranya saya membincangkan hal ini mengikut versi Persekutuan Perlembagaan itu sendiri.
Terdapat sebuah perkara dipanggil perkara 159 yakni proses pemindaan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana di klausa 5 jelas tertulis ''A law making an amendment to clause 4 of Article 10, any law passed thereunder the provisions of Part III, Article 38,63(4),70,71,72(4), 152 or 153 or to this clause shall not be passed without the consent of the Conference of Rulers.'' Inilah perkara yang sering dilupakan oleh kebanyakan ahli politik apabila berbicara soal perkara 153. Sesungguhnya perkara 159 ini harus dibaca bersama dengan perkara 153 juga perkara-perkara yang termaktub dalam perkara 159 itu sendiri. Pindaan yang digesa Datuk tidak lain hanyalah satu tindakan yang merosakkan imej YAB PM jika beliau menyahut cabaran tersebut. Bahkan Datuk tidak pernah menyebut langsung akan kewujudan perkara ini atau mungkin ia ditapis oleh media yang menajdi bacaan saya sehari-hari. Usul pindaan perkara 153 boleh sahaja dilakukan di Parlimen tetapi kesan yang akan menimpa YAB PM sangatlah dahsyat dan merosakkan imej beliau di mata dan hati kaum Melayu. Adalah tidak mungkin, 9 orang Sultan Melayu yang membentuk Majlis Raja-Raja akan bersetuju perkara 153 dipinda kerana ia memberi kesan kepada orang Melayu termasuk mereka sendiri.
Nah, marilah saya mendiskusikan isu yang membentuk hati dan dasar warkah ini ditulis. Antara peruntukan 30% dalam sektor ekonomi dan kaitannya dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.Sering kali Datuk momokkan kami dengan ancaman bahawa penghapusan 30% yang disediakan dalam Dasar Ekonomi Baru adalah 'haram' dan bertentangan dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Soalan saya: Benarkah begitu? Sekali lagi : Benarkah begitu?
Mari kita telusuri perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan ia mempunyai 10 klausa eloklah saya ambil mana yang penting sahaja tetapi ini bukanlah bertujuan untuk menyorokkan fakta '30% dalam sektor ekonomi harus diberikan kepada kaum bumiputera' kerana tidaklah dapat Datuk, saya mahupun rakyat Malaysia yang lainnya mencari angka 30 peratus itu dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Baik, marilah saya keluarkan 4 klausa yang menarik untuk dibincangkan bersama:

153
(1):It shall be the responsibility of the Yang Di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and natives of any States of Sabah and Sarawak and the legitimate interests of other communities in accordance with the provisions of this Article.

(2) Notwithstanding anything in this Constitution but subject to the provisions of Article 40 and of this Article, the Yang DiPertuan Agong shall exercise his functions under this constitution and federal law in such manner as may be necessary to safeguard the special position of the Malays and natives of any of the states of Sabah and Sarawak of such proportion as he may deem reasonable of positions in the public service and of scholarships, exhibitions and other similar educational or training privileges or special facilities and when any permit or licence for the operation of any trade or business...

(6) Where by existing federal law a permit or licence is required for the operation of any trade or business the Yang Di-Pertuan Agong may exercise his function under that law in such manner or give such directions to any authority charged under that law with the grant of such permits or licences as may be required to ensure the reservation of such proportion of such permits and licences for Malays and native of any of the state of Sabah and Sarawak as the Yang Di-Pertuan Agong may deem reasonable...

(8A)......the number of places offered by the authority responsible for the management of the University, College or such educational institution to candidates for any course of study is less than the number of candidates qualified for such places it shall be lawful for the Yang Di-Pertuan Agong by virtue of this Article to give such directions to the authority as may be required to ensure the reservation of such proportion of such places for Malays and natives of any states of Sabah and Sarawak as the Yang Di-Pertuan Agong may deem reasonable....

Keraguan:
1) Apakah ada dalam perkara 153 ini disebut perkataan 'hak istimewa' atau 'bangsa ketuanan' sepertimana yang sering diucapkan oleh Datuk? Apa yang diperuntukkan dalam perkara ini hanyalah kedudukan istimewa. Ya, kedudukan istimewa. Tidaklah saya ketahui jika maksud special position itu bererti hak istimewa kerana position itu ertinya kedudukan, bukan hak. Barangkali peraturan interpretasi undang-undang yang digunapakai oleh Datuk adalah 'purposive approach' sedangkan saya menggunakan 'literal meaning' kerana menurut saya sekalipun menggunakan purposive approach atau apa-apa pendekatan sekalipun, perkara 153 hanyalah mengenai kedudukan istimewa, bukan hak ataupun ketuanan bangsa. Kerana kedudukan istimewa ini menurut analogi mudah ialah seperti seorang pelajar yang mundur diberi kelas tambahan dan kedudukan istimewa untuk menjadi anak angkat kepada guru ataupun diberi keutamaan duduk di barisan hadapan kelas. Tetapi itu tidaklah bererti bahawa pelajar ini akan selama-lamanya diperlakukan begitu; tidak mungkin pelajar itu tidak menunjukkan sebarang peningkatan prestasi dan sebegitu mundur dari awal hingga akhir persekolahan, pasti ada perubahan selepas kedudukan istimewa itu diberikan kepadanya. Nah, seusai sahaja pelajar ini sudah dapat berdikari dan cemerlang dalam peperiksaan maka haruslah pelajar itu mula berdikari tanpa mengharapkan kedudukan istimewa itu sendiri melainkan jika guru tersebut masih mahu beliau menjadi anak angkatnya.Ini kerana seringkali terjadi dalam hukum dunia apabila seseorang itu terlalu dimanjakan, tidak rela dilepaskan untuk menghadapi persaingan dan cabaran luar maka orang itu tidak lebih hebat dari sesiapa pun dan selamanya berada di takuk lama. Tidak berubah.

2. Sekiranya Datuk mahu memanggil perkara ini sebagai hak istimewa maka itu tidaklah merungsingkan saya tetapi sekali lagi ia harus dipanggil dengan sebutan yang betul: hak istimewa orang melayu dan penduduk asli Sabah dan Sarawak atau digabungkan menjadi bumiputera. Kalau Datuk mahu memanggil ia ketuanan maka haruslah disebut sebagai ketuanan bumiputera, bukanlah Melayu semata. Tidaklah boleh dinafikan akan kewujudan penduduk asli Sabah dan Sarawak yang juga mendapat kedudukan istimewa ini dalam Perlembagaan Persekutuan, bukanlah khas untuk orang Melayu semata. Mungkin juga bukan salah Datuk dalam hal ini kerana Datuk lebih cepat peka dan prihatin akan isu-isu sebegini sementara tidak ada lagi pertubuhan yang seangkatan dengan pertubuhan Datuk dalam memperjuangkan perkara 153 ini.

3. Tidak ada yang diperuntukkan 30% untuk bumiputera dalam sektor ekonomi mahupun 60% kuota dalam sektor pelajaran sepertimana yang termaktub dalam perkara 153. Hanya yang ada seperti yang disebut dalam 153(2) dan (8A) adalah ''.....of such proportion as he(YDPA) may deem reasonable'' Soal kedudukan istimewa ini tertakluk pada pertimbangan Yang Dipertuan Agong untuk melaksanakan berapa banyak peratus yang harus diperuntukkan kepada kaum bumiputera dalam sektor ekonomi mahupun pelajaran. Andaikata YDPA mempertimbangkan bahawa 20% atau 10% adalah mencukupi untuk kaum bumiputera apakah Datuk akan mengatakan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan? Justeru apa yang saya fikirkan terbaik untuk Datuk dalam menyatakan pandangan Datuk kepada YAB PM adalah dengan mengingatkan beliau bahawa Majlis Raja-Raja perlu dibawa berunding atau consult sebelum sebarang perubahan polisi kerajaan berkenaan perkara 153 sepertimana yang termaktub dalam perkara 38(5). Tetapi suka saya ingatkan bahawa runding atau consult tidaklah sama dengan consent atau izin. YAB PM tentu sahaja boleh tidak mempertimbangkan apa-apa cadangan atau bantahan Majlis Raja-Raja sewaktu sesi consultation tersebut kerana ia bukanlah consent sepertimana yang diperlukan jika pindaan 153 mahu dilakukan seperti yang diperuntukkan dalam perkara 159. Sekiranya YAB PM mahu menghapuskan 30% tersebut maka itu tidaklah bertentangan Perlembagaan sebab pengkhususan angka 30 itu tidak disebut dalam perkara 153 perlembagaan Persekutuan tetapi YDPA boleh melaksanakan tugas baginda mengikut perkara 153 (6) yang telah saya bentangkan sebentar tadi.

Meskipun saya menuntut di sebuah universiti yang mendapat perlindungan dalam perkara 153 ini tetapi tidaklah saya mencadangkan pembukaan 10% atau berapa peratus untuk bukan bumiputera ke atas universiti sepertimana yang difikirkan Datuk seusai membaca pendapat saya sebentar tadi. Peluang menuntut ilmu di universiti ini merupakan satu anugerah berharga untuk saya dan saudara-saudara saya yang lainnya dan tidak seharusnya isu ini ditimbulkan kerana ia sudah termaktub jelas dalam perlembagaan persekutuan.

Bukanlah impian saya mahu menjadi seperti seorang ahli politik yang menuntut dalam bidang yang sama dengan saya tetapi kemudiannya dicop sebagai pengkhianat bangsa. Gelaran itu adalah sangat menghancurkan hati sekiranya sayalah orang yang mendapat gelaran tersebut. Bukan mahu saya mempertikaikan kedudukan orang Melayu di bumi tercinta ini tetapi apa yang saya nyatakan adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan semata-mata.Tidak lebih dan tidak kurang. Saya hanya menyampaikan ilmu yang saya miliki untuk dikongsi bersama.
Meskipun saya tidak bersetuju dalam banyak perkara mengenai Ketua Pemuda UMNO namun cara pemikiran beliau yang terbuka mendapat sambutan dan diterima secara umum oleh kami, generasi muda. Bahkan peringatan DS Nazri bahawa chauvinism yang dimainkan oleh parti-parti komponen BN akan menghancurkan parti itu sendiri seharusnya menjadi perhatian Datuk dan ahli-ahli BN yang lainnya. Sesungguhnya parti BN adalah ibarat keluarga; tidaklah mungkin parti-parti komponen dalam BN itu akan bertambah ahli dan sokongan dengan memainkan sentimen perkauman kerana sudah terbukti pilihanraya 2008 menunjukkan rakyat lebih serius dan peka akan isu-isu semasa dan kepimpinan. Ramai yang menolak BN kerana kepimpinan BN dilihat lemah dan banyak cerita-cerita kurang enak berputar di kalangan rakyat pada waktu itu. Generasi muda terutama yang tinggal di kawasan bandar tidak lagi memandang strategi perkauman ini adalah strategi yang berkesan untuk menarik undi kami. Jika benar mahu tahu apakah yang kami mahukan maka dekatilah kami dengan menganjurkan dialog terbuka serta bukalah ruang kepada kami untuk menyampaikan pandangan dan pendapat di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Maaf saya pohon andaikata warkah ini telah menimbulkan kemarahan Datuk di bulan yang mulia ini. Sesungguhnya tujuan saya tidak lain dan tidak bukan hanyalah menyampaikan pendapat sebagai seorang anak muda yang mengetahui sedikit akan ilmu perlembagaan untuk dikongsi bersama. Jikalau Datuk dan ahli-ahl politik lain masih merasakan isu ini penting dan serius maka teruskanlah berperangai sebegini. Janganlah pertubuhan dan Datuk sendiri dipersalahkan sekiranya UMNO kalah dalam pilihanraya umum akan datang kerana isu ini sudah tidak relevan lagi. Kami di bangku penonton akan terus memerhati telatah dan aksi wakil kami di gelanggan politik yang seharusnya menjadi suara dan telinga kami;suara dan telinga rakyat. Sekali lagi mohon maaf dipinta dan mudah-mudahan sifat kerterbukaan dalam berpolitik akan menjadi gelanggang politik negara Malaysia di masa akan datang. Amin

Salam takzim

Friday, August 27, 2010

Betul ke? episod 1

SUMBER: THE MALAYSIAN INSIDER

1. Bahang pilihanraya ke-13 semakin dekat. Pelbagai isu mula mengisi ruang pentas politik tanah air dengan unsur-unsur yang kadang-kala agak 'memualkan'. Isu-isu lama kedengaran; bahkan dalam waktu kritikal begini semua wakil rakyat sudah mula wajib melihat senarai janji-janji yang ditabur pada pilihanraya tahun lepas samada sudah ditunaikan ataupun tidak. Jika pilihan kedua menjadi jawapan, maka berdoalah agar rakyat sudah lupa akan janji sewaktu pilihanraya lepas supaya boleh mengulangi janji yang sama dalam pilihanraya akan datang.

2. Dipendekkan cerita, survey yang dijalankan oleh Pemuda BN menunjukkan keputusan yang sangat menarik. Di atas adalah carta pai yang dikeluarkan oleh mereka dan dijadikan berita utama dalam Malaysian Insider seminggu lepas. Mohon maaf atas kelewatan.

3. Carta pai yang pertama rasanya tiada masalah. Kalau aku diberi peluang untuk memberi jawapan maka aku lebih cenderung untuk mewakili peratusan terbesar di situ kerana memang tak dapat dinafikan bahawa kerajaan BN mempunyai kelemahan tetapi pujian harus diberikan kerana ada penambahbaikan yang cuba dilakukan meskipun ada sesetengahnya hanya tinggal slogan semata. Keadaan ekonomi negara yang semakin baik juga menyumbang kepada faktor ini tetapi kerajaan tidak seharusnya 'mencuba' semata, BN harus melakukan lebih daripada itu. Tiada perubahan yang konkrit dilakukan atau sesetangah isu 'panas' dibiarkan menjadi kontroversi dan bahan perdebatan.

4. Carta pai ketiga juga tidak menjadi masalah. Kebanyakan pengundi muda mahu mengundi. Itu adalah tanggungjawab. Kalau syarat umur mengundi tu diturunkan kepada 18 tahun lagi bagus sebab lebih ramai yang boleh mengundi dan peratusan yang mahu mengundi juga pasti akan meningkat. Keputusan ini juga memberi satu isyarat yang jelas; pengundi muda akan membentuk peratusan undi majoriti di negara ini dalam pilihanraya akan datang. Ini harus diambil perhatian oleh kerajaan dan pembangkang jika mahu mentadbir sebuah negara bernama Malaysia.

5. Carta pai kedua lebih menarik perhatian aku. Sebab? Kerana menurut Ketua Pemuda BN carta ini menunjukkan bahawa BN mendapat sokongan golongan muda lebih banyak daripada pembangkang. Kalau menurut statistik yang dikeluarkan itu memang betul. Tetapi mari kita lihat realitinya: BN menguasai 24% sokongan orang muda sementara pakatan rakyat menguasai 11%. Secara teknikalnya tiada siapa yang mendapat sokongan majoriti bahkan hanya berbeza 13%. Jika survey tersebut dilakukan ke atas 1000 orang muda bererti BN mendapat sokongan 240 orang sementara PR mendapat 110. Selebihnya adalah orang muda yang berada di atas garisan sempadan; samada mahu melompat masuk mengundi kerajaan atau mengundi pembangkang. Golongan 62% ini mahu melihat prestasi kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

6. Ini bukanlah satu keputusan yang memuaskan. 62% adalah satu angka yang sangat besar. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh BN untuk menarik sekurang-kurangnya separuh daripada peratusan tersebut menyokong mereka kerana ada potensi bahawa separuh atau lebih daripada separuh 62% ini akan mengundi pembangkang sekiranya tiada perubahan atau inisiatif diambil oleh BN untuk menarik undi mereka.

7.Kalau mahu jawapan jujur, trend pengundi muda sekarang rasanya tidak banyak beza seperti pilihanraya umum yang lepas. Mereka lebih cenderung memihak kepada pembangkang kerana sikap pembangkang yang lebih terbuka, mendekati dan memahami apa yang mereka mahukan serta stail politik mereka yang tidak menampakkan perkauman sebaliknya lebih bermotifkan keadilan sosial dan kebajikan rakyat. Ada kemungkinan juga sebilangan besar peratusan 62% ini tidak akan mengeluar undi ataupun membuat undi rosak kerana tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Barangkali di mata mereka tiada perbezaan antara kerajaan dan pembangkang apatah lagi prestasi pembangkang dalam memimpin beberapa buah negeri di negara ini tidaklah sebagus mana atau sama saja dengan cara pentadbiran kerajaan BN.

8. Sekarang adalah detik-detik yang kritikal untuk kedua-dua pihak menarik hati pengundi muda. Naik jatuh mereka ada di tangan kuasa orang muda. Hari ini juga sudah timbul isu baru yang juga sangat menarik untuk dikupas. Berkenaan ke mana sokongan orang muda sekarang dan 'drama' politik negara yang semakin hangat tetapi untuk entri kali ini, biarlah para pembaca menilai sendiri realiti sebenar. Cuma aku mengharapkan agar satu tinjauan juga dilakukan oleh badan bebas ataupun dari pihak pembangkang supaya kita, rakyat Malaysia dapat menilai dan menimbang hal ini.

Wednesday, August 18, 2010

Sampai bila?



1. Isu siswa-politik kembali bergema di dada akhbar. Ia berikutan cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato Saifuddin Abdullah agar mahasiswa diberikan kebebasan untuk berpolitik. Cadangan ini disambut dengan 'kad merah' oleh kabinet yang mahu status larangan berpolitik tidak akan diubah walaupun AUKU dipinda. Cadangan ini juga mendapat sambutan positif daripada sebahagian besar mahasiswa; tidak terkecuali Ketua Pemuda UMNO dengan beraninya menganggap tindakan kabinet sebagai 'gutless' dan memberi 'hint' kepada kerajaan yakni: Jika mahu undi golongan muda maka beri kepercayaan kepada mereka.

2. Dato Saifuddin sendiri dalam lawatan kami ke Parlimen semester lepas memberitahu bahawa beliau bukanlah golongan yang mahu menghapuskan AUKU 100 peratus tetapi mahu pindaan dibuat agar akta tersebut lebih fleksibel dan membuka ruang kebebasan kepada siswa untuk berpolitik. Dalam meneliti isu ini maka ada beberapa perkara yang harus dianalisis oleh kita semua sebelum membuat keputusan samada siswa perlu diberi kebebasan untuk berpolitik.

a) Kabinet menyatakan bahawa siswa tidak boleh berpolitik. Tetapi bagaimana dengan tindakan sebuah parti yang datang ke institusi pengajian tinggi dan menggalakkan penyertaan sukarelawan yang dianjurkan oleh parti tersebut bahkan ada parti yang mempunyai kelab siswa di luar negara.Bukankah tindakan tersebut secara tidak langsung mengheret siswa-siswi untuk berpolitik secara tidak langsung? Parti politik bukanlah parti NGO yang boleh disertai oleh siswa dan sudah pasti sebarang parti politik tidak boleh mengheret siswa ke kancah politik walau dengan apa cara sekalipun sekiranya benar kerajaan melarang siswa untuk berpolitik. Persoalan kedua: kalaupun ia bertujuan untuk memupuk semangat sukarelawan di kalangan siswa maka parti-parti lain yang ingin memupuk semangat sukarelawan di kalangan siswa juga harus diberi peluang untuk melaksanakannya di IPT. Kalau tokoh politik dari Parti A boleh berceramah di universiti kenapa tokoh politik Parti B tidak boleh berceramah di universiti juga? Ini bukanlah satu 'keadilan' dan 'fair play', jauh sekali mendukung konsep affirmative action kerana mereka yang diberi peluang untuk berpolitik di hadapan siswa adalah mereka yang mempunyai ruang dan peluang untuk berpolitik di kaca televisyen dan media perdana. Justeru kalau larangannya adalah jelas bahawa siswa tidak boleh berpolitik, maka pihak luar juga tidak boleh membawa politik masuk ke kampus, baik parti A mahupun parti B.

b) Apa yang diminta oleh siswa bukanlah menjadi ahli dalam parti politik semata akan tetapi ruang yang lebih luas untuk mereka menyampaikan pandangan,idea dan kritikan terhadap isu semasa yang tidak dapat lari daripada politik. Siswa berhak untuk memberitahu idea dan pandangan mereka tanpa sebarang tapisan dan dijemput dalam mana-mana program yang dianjurkan oleh parti politik agar suara mereka dapat didengar dan diketahui oleh umum. Apabila siswa diberi ruang sebegini tidak bereti kesemua siswa akan join pembangkang dan mengkritik kerajaan habis-habisan bahkan ini satu point baru untuk kerajaan mendekati suara akar umbi yang lebih kritis dan mempunyai pemikiran yang tajam. Kewujudan Majlis Perwakilan Pelajar adalah salah satu saluran untuk pelajar menyampaikan pendapat kepada kerajaan akan tetapi suara setiap mahasiswa juga adalah penting kerana undi dalam pilihanraya bukanlah undi yang boleh diwakili oleh mana-mana badan atau individu lain akan tetapi lambang pangkah di kertas undi pilihanraya datangnya daripada tangan siswa itu sendiri. Media-media elektronik khususnya internet harus dijadikan medan untuk mendengar suara akar umbi melalui komentar di blog, facebook,tweeter dan sebagainya. Setiap menteri boleh menyiarkan survey atau maklumbalas yang boleh diisi oleh siswa sendiri melalui internet dan lihatlah apa pandangan dan suara generasi muda. Dalam hal ini aku memberi salut kepada Dato Saifuddin sendiri kerana beliau sangat mudah didekati dan mudah berinteraksi melalui faceboo, bukan hanya sekadar membuat 'update status' tetapi komentar daripada pengguna FB yang lain juga mendapat perhatian dan maklumbalas beliau.
Kalau begitu, mengapa tidak isu siswa-politik ini dibuat survey dan undian melalui internet dan lihat keputusannya samada siswa sendiri bersetuju untuk diberi ruang berpolitik atau tidak.

c) Walaupun siswa tidak dibenarkan berpolitik tetapi to some extend siswa sebenarnya berpolitik apabila mereka melontarkan idea-idea di blog masing-masing. Mereka juga bukanlah pembaca akhbar perdana mahupun penonton berita di kaca televisyen tetapi berita-berita yang disiarkan di internet lebih mendapat perhatian mereka.Maaf jika aku katakan bahawa tindakan mengekang dan mengongkong mahasiswa adalah satu tindakan yang sia-sia kerana tidak ada satupun pintu yang boleh menutup mata, memekakkan telinga dan membisukan mulut siswa daripada berpolitik. Sekali lagi, berpolitik bukanlah menjadi ahli dalam parti politik semata-mata akan tetapi kebebasan dan ruang yang lebih luas untuk mereka melontarkan pandangan, mendengar dan menilai pandangan politik oleh semua pihak (tidak tertakluk kepada sesebuah parti sahaja). Jika ada yang mahu menjadi ahli dalam mana-mana parti politik maka itu harus diberikan kerana ia adalah salah satu hak kebebasan asasi dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kalau diaorang ni yang asyik berpolitik, jadi ahli dalam parti politik tu tak lepas CGPA di universiti maka solusinya mudah; ikut prosedur yang sama seperti siswa-siswi lain yang gagal iaitu buang universiti ataupun ulang semula kertas yang gagal. Kenapa harus takut sekiranya siswa dibenarkan berpolitik?

3. Berkenaan hint yang diberikan oleh ketua pemuda UMNO kepada kerajaan; memang benar kalau nak undi siswa kena percaya kepada siswa. Bila kata percaya bukan sahaja beri kebebasan tapi kena dengar dan percaya kata-kata siswa. Kalau kami tidak mahu pemimpin yang makan rasuah kenalah percaya cakap kami. Kalau kami tak mahu pemimpin yang susah nak jenguk rakyat yang langsung tak buat apa-apa kerja untuk dekati kami, kenalah dengar pandangan kami ni.

Tidak perlu disekat atau dikekang lagi. Masanya untuk kita berubah dan membuat anjakan paradigma dalam hal ini kerana kekangan ini tidak menguntungkan sesiapa yang mengenakan kekangan sebegini. Mesej pilihanraya 2008 sudah cukup jelas; ia adalah kesan dan hasil .kekangan tersebut yang mana sejumlah besar undi generasi muda adalah untuk pembangkang. Nah apakah kekangan ini masih berkesan? Lagi lama siswa 'dipenjarakan' lagi bertambahlah undi mereka kepada pihak lawan kerana penjara adalah tempat daya intelektual, semangat dan keberanian dilahirkan.

Wednesday, August 11, 2010

Lelaki Sejuk

Team UiTM LAWASIA 2010 :)

banana split coach kami berjaya 'dihabiskan'. Siapa punya angkara?-masih dalam siasatan

With our panel of arbitrators- Chief Justice Tun Zaki Tun Azmi

Sebelum moot bermula...UiTM v UKM

Two of our arbitrators during general rounds

After announcement- we make it to final round =)


Semasa rehat..


1. King Arthur. Itulah filem yang sesuai untuk menceritakan segalanya mengenai LAWASIA Moot Competition 2010. Pada perkiraan aku, lepas habis maritime moot aku boleh berehat dan menjalani kehidupan seperti biasa. Kembali ke kelas, lepak bersama member-member, tidur awal dan balik rumah bila hujung minggu.

2. Semuanya tidak menjadi kenyataan. Aku menyertai competition ini dengan janji bahawa semuanya akan 'setel', balik maritime nanti terus buat oral training tapi lepas tu....kena mula balik dari first step. Buat balik research, cari balik artikel dan kes-kes yang berguna. Fotostat itu ini. Oral training yang sepatutnya dilakukan sebulan akhirnya jadi seminggu lebih je. Lagi 3 minggu sibuk buat research.

3. Competition kali ini juga lebih mencabar sebab aku jadi 'anchor' untuk team aku yang dibarisi oleh Miss Arina Lum dan Mr.Hadi Zainol. Team kami akan berdepan dengan HELP University dan UKM. Nak dipendekkan cerita inilah resultnya:

HELP v UiTM - UiTM Won 3-0 ( ni maksudnya semua judges setuju kami menang)
UiTM v UKM - UiTM Won 2-1

Judges kami dalam general rounds ini sebahagiannya adalah:
- The Hon. Puan Nallini Pathmanathan (High Court Judge)
- The Hon. Dato Mary Lim (High Court Judge)
-Alina Ariffin ( Lawyer)
-Thavakumar
-Dato Harpal Singh Grewal
-Mohd Aizuddin bin Zolkeply ( Special officer of CJ)

4.Team kami adalah satu-satunya team UiTM yang layak ke final rounds. Round kali ni lebih tough sebab kami berdepan dengan Taylor dan UIA. Kami tewas untuk round kali ini dan mendapat tempat ke-5 secara keseluruhan. Antara judgdes kami untuk final round ini adalah:

-Tan Sri James Foong ( Federal Court Judge)
-Ragunath Kesavan ( President of Malaysian Bar)
- Tun Zaki Tun Azmi ( Chief Justice of Malaysian Court)

5. Memang bertuah sebab dapat buat submission di hadapan Chief Justice. Even tak semua lawyer pun dapat bentang kes depan YAA Tun Zaki. Satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Dalam 4 kali moot tu aku rasa yang paling best adalah masa first match iaitu sewaktu membentang kes di hadapan Dato Mary Lim. Dia sangat sharp and memang terasa communication antara seorang lawyer dan judge. Sewaktu itu juga aku dapat tahu satu 'senjata' yang sangat berguna; senjata ini awalnya sudah dikesan oleh cikgu sekolah menengah aku dahulu tetapi senjata itu tidak dapat digunakan dalam debat. Tetapi sekarang aku sudah dapat menemukan tempat yang sesuai untuk menggunakan senjata tersebut. Senjata itu juga telah membuatkan aku mendapat gelaran baru dalam keluarga moot UiTM.

'Iceman'.

* Mohon maaf kepada family Moot Uitm jika sepanjang latihan dan pertandingan tu ada tingkah laku aku yang menyakitkan hati kalian. Pada sesiapa yang aku ter 'marah' mohon maaf dipinta. Bukan saja2 nak marah tapi ada sebab. Tapi sebab yang utama adalah 'komitmen'. Lawasia ini juga menjadi 'my biggest if' dalam hidup sebab kalau aku mendapat training yang cukup dan persiapan yang cukup seperti training dan persiapan waktu maritime dulu, mungkin keputusannya berbeza. Tetapi Allah lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Dan sekarang aku menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Ibarat tentera yang dah balik dari medan perang dan menunggu arahan baru untuk berperang semula.

The show must go on!

Selamat berpuasa kepada pembaca blog ini. Semoga mendapat keberkatan dan keridhaan daripada-Nya. Amin