Wednesday, May 13, 2009

SBY DAN POLITIK MALAYSIA


1. Maaf bukan tujuan saya untuk membandingkan Malaysia dan Indonesia. Pasti ramai yang sinis kerana mengapa perlu kita cerita pasal Indonesia sedangkan negara kita lebih maju dan kaya?
2. Saya menjumpai blog rasmi Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan niat untuk tidur awal malam semalam terpaksa dibatalkan kerana saya begitu asyik untuk mengetahui lebih lanjut tentang negara yang mempunyai hubungan ibarat adik-beradik dengan negara kita. Apatah lagi kampung saya juga berada di Padang, Sumatera.
3. Apa yang menyumbang kepada faktor kemiskinan dan merencatkan pembangunan Indonesia?Jawapannya krisis ekonomi 1997 di mana Indonesia meminta bantuan IMF dengan hutang yang sangat tinggi. Krisis ini menyaksikan juga pemerintahan Suharto jatuh. Alhasil Indonesia menanggung beban hutan yang sangat banyak dan mereka terpaksa mengikut telunjuk IMF yang mengatur itu ini untuk pengurusan ekonomi Indonesia.
4.Alhamdulilah sebaik sahaja pemerintahan Susilo, beliau berjaya membayar semula hutan sejumlah 7.6 miliyar kepada IMF dan kini ekonomi Indonesia mula bergerak ke arah kemajuan dan kemiskinan mula menurun. Sayangnya perkembangan mereka ini lambat kira-kira 10 tahun daripada Malaysia yang bebas dari krisis ekonomi dengan cara sendiri, bukannya dengan meminta bantuan IMF. Kalaulah waktu itu negara kita meminta bantuan IMF saya tidak tahu apa akan terjadi kepada negara ketika ini. Maka tidak keterlaluan saya berpendapat bahawa apa yang merantai kemajuan ekonomi Indonesia adalah pinjaman mereka dengan IMF ketika krisis 1997 selain daripada isu rasuah.
5. Selain dari kekaguman terhadap keupayaan beliau menangani masalah tersebut, saya juga kagum dengan kematangan politik yang diamalkan SBY. Lihat sahaja saat pemilihan legislatif yang dimenangi oleh Parti Demokrat pimpinan beliau, Pak Susilo langsung saja mengadakan majlis kesyukuran. Bahkan dalam majlis itu juga beliau dengan rendah diri memberi ucapan-ucapan yang telah saya ringkaskan ini.
''Setelah kompetisi(persaingan) selesai bisa sahaja anak2 bangsa memiliki niat yang baik untuk bersama-sama membangun negeri menuju masa depan yang lebih baik. Kita saling menghormati, saya menghormati ibu megawati dan PDIP(pimpinan ibu Megawati) juga menghormati saya. Jangan mudah dan suka untuk menantang dan jangan mudah untuk suka mengejek. Mari kita menjaga perasaan kompetitor(pesaing) kita kerana banyak jalan untuk mencapai tujuan yang baik. Tak perlu kita tunjukkan kita hebat, cepat baik.''
6.Gambar di atas adalah gambar Susilo dan bakal pencabarnya di pilihanraya kelak yang juga merupakan naib presiden ketika ini iaitu Jusuf Kalla. Bahkan mereka berdua sepakat untuk meneruskan kerja sehingga tamat waktu pemerintahan kelak meskipun di akhir nanti Susilo akan dicabar sendiri oleh naib presidennya itu. Bahkan beliau sendiri memberitahu bahawa politik itu kadang-kala keras tetapi hubungannya dengan Jusuf Kalla masih saja tetap baik dan tidak akan terputus.
7. Maaf jika saya dilihat pro dan bias kepada Pak Susilo tetapi apa yang saya ingin nyatakan di sini keterbukaan dan kematangan politik Indonesia terserlah di sini. Maaf saya katakan kalau di Malaysia calon-calon yang menang jarang sekali kita dengar akan buat majlis kesyukuran bersama rakyat dan memberi nasihat yang melambangkan kebesaran jiwa sepertimana yang dilakukan oleh Pak Susilo. Kalaupun ada ia tidak akan dapat liputan meluas oleh media sebaliknya calon yang menang ini akan ditonjolkan dengan gaya yang sangat menjengkelkan seolah-olah dia saja yang menang dan orang lain tak layak mencabar beliau. Bahkan ada juga yang tidak sanggup bergabung dan berdialog dengan parti selain seolah-olah hukumnya haram jika berbuat demikian padahal sebangsa dan seagama.
8.Bukanlah niat saya untuk merendahkan tanah air sendiri tetapi kematangan politik negara masih belum matang sepenuhnya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari Indonesia meskipun dari segi ekonomi dan bidang-bidang lain kita berada di hadapan mereka.
Adakah salah untuk belajar dari pihak lain?Kalau ya bererti egois masih menyelubungi hati dan masih belum layak untuk mencapai apa yang dinamakan 'kebesaran jiwa'! Mudah-mudahan ada sesuatu yang boleh kita pelajari di sini, Insya-Allah

SEJUK DAN PANAS 40 TAHUN

''Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adilla kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.'' Al-Maidah ayat 8.

1. Meskipun hati saya pernah 'dikhianati' oleh gadis berbangsa Cina tetapi tidak sedikitpun saya membenci atau berdendam dengan kaum Cina kerana itulaha ajaran agama yang termaktub oleh kitab suci Quran. Lagipun pada saya soal peribadi tidak boleh bercampuraduk dengan hubungan sosial bahkan dengan kawan-kawan Cina yang lain saya masih berhubung dan hubungan kami masih saja baik dan tenang.

2. Meskipun sudah 40 tahun tragedi rusuhan kaum berakhir tetapi kesannya masih dapat dirasai sehingga sekarang. Sesiapa yang hidup pada tahun 1969 pasti tidak akan dapat melupakan kejadian-kejadian yang berlaku di mana ramai yang kehilangan nyawa, harta benda yang musnah dan perintah darurat diisytiharkan.

3. Sehubungan dengan itu, rukun negara diperkenalkan berpaksikan 5 perkara yang dapat menjamin perpaduan antara kaum. Dasar DEB juga menjadi pemacu kemajuan dan keseimbangan ekonomi antara kaum.

4. Meskipun ada beberapa ketika hubungan yang harmoni ini diuji dengan beberapa isu tetapi alhamdulilah tragedi 13 Mei 1969 tidak mempunyai siri selanjutnya. Ya memang diakui terdapat beberapa isu yang panas dan masih belum selesai seperti kontrak sosial, hak bumiputera, kek ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

5. Namun isu-isu yang panas ini perlu ditangani dengan tangan dan kepala yang sejuk. Permuafakatan yang terbentuk sejak awal kemerdekaan perlu diutamakan dan bukannya melontarkan rasa tidak puas hati dengan mengheret negara ke kancah pergaduhan dan persengketaan. Apatah lagi apabila ia berlaku maka kuasa luar yang menangguk air keruh sentiasa ternanti-nanti untuk masuk campur dan memberi bantuan kepada pihak yang meminta bantuan untuk menang. Apa yang terjadi adalah maruah negara tergadai dan kemerdekaan yang dikecapi akan hilang.

6. Ambillah pengajaran Perang Korea yang telah memisahkan sebuah negara menjadi dua sedangkan kedua-dua negara itu adalah bangsa yang sama. Akibat masuk campur kuasa asing maka negara yang dahulunya satu kini berpecah. Perang vietnam juga wajar dijadikan iktibar betapa masalah dalaman kadang-kadang mengheret ke arah peperangan yang lebih teruk.

7. Jadi wajarlah Malaysia yang berbilang kaum ini mula menepis rasa prejudis dan mengambil jati diri sebagai bangsa Malaysia demi meneruskan pembangunan dan kemajuan negara. Sudah tiba masanya kita melangkah lebih jauh dan tidak mengungkit kembali kisah-kisah lalu yang akan mencetuskan konflik dan krisis.

8. Sewaktu kekalahan di Bukit Gantang, UMNO menyalahkan MCA kerana gagal menarik pengundi Cina untuk mengundi. Memang adalah satu fakta bahawa undi Cina telah membantu kemenangan parti pembangkang dalam pilihanraya tersebut.

9. Tetapi menurut saya ini bukanlah masa yang tepat untuk menuding jari kepada sesiapa. Bahkan UMNO sendiri mempunyai kelemahan dan kesilapan yang perlu diatasi. Kerajaan sendiri perlu mendalami masalah sebenar yang dihadapi masyarakat cina dan mengembalikan keyakinan mereka untuk menyokong semula BN. Bukanlah tanggungjawab MCA dan Gerakan semata untuk mendapatkan sokongan Cina sementara MIC sahaja bertanggungjawab untuk pengundi India dan UMNO untuk Melayu. Seluruh komponen dalam BN itu bertanggungjawab untuk semua pengundi tanpa mengira apa jua bangsa dan negara kerana rakyat menilai berdasarkan kolektif dan parti keseluruhannya.Barulah titik penyelesaian dapat dicari, bukannya alasan dan tuding-menuding menjadi sandaran.

10. Benarlah kata-kata pujangga 'Mengisi kemerdekaan itu lebih sulit daripada mencapai kemerdekaan!'

Tuesday, May 12, 2009

3 DALAM 1

1. Lupakan sebentar isu MB di Perak yang semakin membingungkan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan DS Zambry. Saya sendiri tidak mahu mengulas lanjut tentang butiran permohonan beliau cuma yang saya tahu apabila ia dibenarkan maka DS Nizar tidak dapat mencadangkan pembubaran DUN.

2. Saya sendiri tidak tahu kenapa BN tidak mahu pilihanraya semula sedangkan mahu atau tidak negara tetap akan menjalani amalan demokrasi ini pada beberapa tahun akan datang.

3. Isu kali ini mungkin berbaur politik tetapi tidaklah memeningkan kepala rakyat tentang soal kedudukan dan kuasa kerana isu ini lebih menjurus kepada kepentingan, keselamatan dan keadilan kepada rakyat. Isu ini merupakan salah satu endless isu yang telah membawa pro dan kontra sejak ia ditubuhkan.

4. Pada hemat saya ISA bukanlah satu akta untuk dimanipulasikan demi kepentingan politik. Ia sepatutnya lebih memusatkan kepada kepentingan rakyat yakni melindungi keamanan dan menghindarkan dari kacau-bilau. Undang-undang seharusnya bersih dan nemo judex in causa sua dalam menegakkan keadilan dan kestabilan negara.

5. Yang selalu menjadi persoalannya ialah siapa yang 'layak' untuk ditahan dalam ISA? Saya berpendapat bahawa ISA ini tidak relevan untuk digunakan waktu sekarang yakni waktu keamanan. Ia sepatutnya digunakan ketika negara menghadapi darurat atau berdepan dengan serangan musuh. Maka barulah akta ISA ini aktif semula untuk menahan perisik atau anggota musuh yang bersenjata yang bertujuan mengancam keselamatan rakyat.

6. Meskipun dalam keadaan aman sekarang ini pun masih wujud kumpulan2 ekstremis yang cuba menggugat keamanan tetapi pada saya mereka masih lagi berhak untuk dimaklumkan di mahkamah atas penangkapan mereka. Mereka tidak boleh ditahan tanpa sebarang bicara atau tidak dimaklumkan oleh pihak mahkamah.

7. Dalam pengetahuan cetek saya sebagai pelajar undang-undang, mahkamah majistret bertanggungjawab untuk menguruskan kes-kes seperti unlawful assembly(di mana hukumannya adalah 6 bulan penjara),does any obscene act or recite obscene song at public place, cause public nuisance(fine rm400).Kepada pelajar undang-undang semester dua sila rujuk bab 4.

8. ISA bukanlah satu eskapisme untuk meringankan beban mahkamah mengadili dan menghukum kerana itulah peranan keadilan dan fungsi mahkamah di sesebuah negara. Seseorang yang ditahan mestilah dimaklumkan kepada mahkamah dalam lingkungan waktu(saya tidak pasti samada 24 atau 48 jam) dan mesti mempunyai hak untuk dibicarakan. Soal tangguh atau tidak itu nombor dua yang penting hak fundamental sebagai seorang rakyat mesti terjamin.

9. Jika tidak habeas corpus akan mengambil alih untuk menafikan kuasa ISA sebagaimana yang terjadi kepada penulis blog Raja Petra.

10. Lantas bagaimana pula dengan Mas Selamat yang ditahan ISA ketika ini?Saya difahamkan juga melalui akhbar tempatan bahawa ada tahanan ISA yang sudah hampir 7 tahun berada di dalam Kem Kamunting tersebut. Kalau diminta pendapat saya, eloklah Mas Selamat dihantar semula ke tempat asal beliau yakni Singapura kerana dia bukan urusan kita sementara tahanan 7 tahun itu pada saya eloklah dipertimbangkan untuk dibebaskan dengan menggunakan sistem parol atau prisoner tagging. Jika masih khuatir dia terlibat dengan pertubuhan ekstremis tersebut maka bicarakan dia di mahkamah dan berikan kata putus di situ.

11. Tidak perlulah kem kamunting itu dilabel sebagai Guantanamao Bay di negara ini sekiranya mereka yang ditahan ini mengikut lunas undang-undang yang benar.

11. Kekerasan tidak boleh dilawan dengan kekerasan. Itu yang diajar oleh Islam dan kita mesti berpegang teguh dengan prinsip tersebut. Bahkan Rasul sendiri diingatkan oleh Tuhan dalam Al-Quran supaya tidak bersikap keras kepada kaum Quraisy kerana jika baginda bersifat demikian maka kaum Quraisy pasti akan menolak dakwah Islam baginda(sila betulkan jika saya tersalah fakta).

12. Saya juga tidak terkejut dengan kenyataan satu badan yang beroperasi di Amerika yang mengatakan bahawa kejayaan Mas Selamat hidup di Malaysia selama setahun membuktikan rangkaian kumpulannya masih aktif di Asia Tenggara terutamanya Malaysia. Sementara itu kerajaan negara membidas kembali dengan menyatakan Mas Selamat hanya dibantu oleh dua teman karibnya sahaja.

13. Pada saya tak kisahlah dia dibantu dua atau lebih teman karibnya itu tetapi pada saya jangan diletakkan kesalahan pada bahu Malaysia.Sepatutnya sila tanya kepada Singapura kenapa Mas Selamat berjaya meloloskan diri dari kawalan penjara yang ketat dalam insiden 'toilet break' itu. Ada besar kemungkinan keselamatan penjara itu sendiri dikompromi dan lebih baik Amerika persoalkan hal itu daripada menuding jari kepada Malaysia yang 'membiarkan' Mas Selamat hidup di sini selama setahun. Saya sendiri percaya yang mereka(Amerika) juga tidak mempunyai sebarang klu atau maklumat lengkap tentang pertubuhan ekstremis yang dianggotai oleh Mas Selamat sendiri. Bahkan Amerika sendiri pun sampai sekarang tidak menemukan jawapan yang tepat tentang kebenaran serangan Al-Qaeda terhadap WTC 8 tahun yang lepas.

14. Sekarang ini pun terdapat beberapa teori yang mengatakan itu bukan serangan dari Al-Qaeda.Ada kemungkinan ia dilakukan oleh orang Arab tetapi orang itu bukan dibiayai oleh Al-Qaeda tetapi Amerika sendiri. Sila layari http://www.911.truth.org/ dan http://www.thetruthseeker.co.uk/ anda akan mendapat penjelasan yang lebih mendalam tentang peristiwa ini. Yang pasti serangan Amerika ke atas Afghanistan adalah bermotifkan ekonomi kerana Afghanistan mempunyai pipeline minyak yang apabila dikuasai Amerika maka negara Uncel Sam itu akan menambah cengkamannya ke atas industri minyak di negara ini.

15. ISA wajar direformasi-hanya aktif pada waktu darurat dan apabila diserang oleh musuh luar dan dalam sahaja. Kalau untuk langkah pencegahan atau menahan mereka yang tidak mengancam nyawa rakyat, eloklah dibawa ke pengadilan mahkamah. Maka itu lebih menepati konsep of Law,Liberty & Freedom(pelajar semester 1 sila rujuk bab 8).

Tidak ada yang lebih penting daripada kepentingan dan keadilan rakyat. Itulah tujuan undang-undang sebenar!

Monday, May 11, 2009

KEPUTUSAN MAHKAMAH-HADIAH BERNILAI UNTUK UMNO

1. Saya bersyukur setelah membaca blog penakiri bahawa Raja Muda Perak perkenan untuk DS Nizar menghadap pada esok pagi. Saya sendiri berdoa dan berharap moga-moga pihak istana perkenan untuk membubarkan semula DUN untuk memberi laluan kepada pilihanraya kecil secepat mungkin untuk menamatkan kemelut ini.

2. Seperti yang saya sebutkan dalam blog lepas DS Nizar akan mengalami kesulitan jika mentadbir kerana PR berada dalam keadaan minoriti. Meskipun ada di negara lain yang mana parti minoriti memerintah tetapi parti tersebut perlu bergabung dengan parti lain(coalition party) untuk mentadbir dan memerintah. Jika tidak, apa-apa keputusan untuk diluluskan melalui DUN akan mengalami kesulitan kerana untuk sesuatu Bill itu berkuatkuasa maka ia memerlukan sokongan majoriti. Ini kerana negara kita mengamalkan sistem monarchy parlimentary bukannya republic presidency.

3. Justeru pilihanraya baru mesti dilakukan untuk menentukan siapa yang berhak untuk mentadbir negeri Perak. Kuasa rakyat mesti diberi perhatian. Jika tiada pilihanraya maka sidang DUN perlu dilakukan dan usul undi tidak percaya perlu dilakukan oleh BN secepat yang mungkin.

4. Salah satu daripada solusi ini tidaklah perlu ditunggu selepas prosiding rayuan dan dibawa ke mahkamah Persekutuan kerana rakyat sudah jemu dengan krisis ini. Tamatkan dan mulalah bekerja untuk kemajuan.

5. Sesiapa pun yang menjadi MB, rakyat akan terima dengan hati terbuka kerana ia berdasarkan suara majoriti yang baru dan rakyat lebih arif tentang siapa yang harus memimpin mereka.

6.Dalam post blog Februari lepas saya pernah menyentuh isu ini dan sekali lagi saya tegaskan bahawa secara peribadi saya sendiri rasa kecewa kerana BN menggunakan taktik yang dicadangkan oleh Anwar Ibrahim dalam rancangan 16 Septembernya. Apatah lagi budaya 'katak' ini melibatkan ADUN yang bermasalah. Saya juga tidak menyokong budaya ini kerana ia satu taktik yang tidak melambangkan amalan demokrasi dan kematangan politik yang sebenar.

7.Kalaupun nak berkuasa tunggulah sampai pilihanraya yang akan datang. Apa yang perlu difokuskan bagaimana untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan memperkuatkan semula parti.Membersihkan semula parti daripada tuduhan-tuduhan luar dan menjenamakan semula UMNO agar tetap relevan untuk masa akan datang di samping menguatkan sokongan di negeri yang berada di bawah pentadbiran BN. Itu yang lebih penting.

8. Dan sedar tak sedar keputusan mahkamah ini juga jatuh sama dengan ulangtahun UMNO yang ke 63 hari ini.

9. Banyak sudah yang dilalui UMNO dan nampaknya parti ini memerlukan satu suntikan baru untuk menghidupkan semula perjuangan sebenarnya untuk membela kepentingan agama,bangsa dan negara bukannya kepentingan sendiri semata-mata.UMNO perlu berubah atau mereka akan terus hilang kepercayaan rakyat lagi.

10. Keputusan mahkamah hari ini merupakan satu hadiah bernilai untuk UMNO kembali bermuhasabah,back to basic dan kembali fokus untuk memperjuangkan kepentingan rakyat. Hidupkan kembali semangat dan pengorbanan Dato Onn Jaafar serta generasi pertama UMNO(sebelum negara mencapai kemerdekaan).

11.Saya mendoakan supaya UMNO kembali sedar dan segera memperbetulkan kembali arah perjuangan dan saya juga berdoa semoga krisis di Perak ini segera berakhir demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Siapa pun yang menjadi MB, saya akan menyokong dengan hati yang terbuka sebagai rakyat Malaysia!

UDAH SELESAI?BENAR NI?

1. Mulanya saya fikir kes MB Perak ini diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tetapi ia diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Bererti kes ini boleh dibawa ke mahkamah rayuan dan seterusnya ke mahkamah persekutuan.

2. Ds Nizar adalah MB Perak yang sah. Ratio Decidendi(Legal Reasoning) bagi kes ini adalah Nizar tidak disingkirkan melalui undi tidak percaya oleh sidang ADUN Perak.

3. Sultan Perak enggan membubarkan sidang DUN dan ini memberi Nizar dua pilihan: meletak jawatan(yang mana beliau tidak lakukan) atau undi tidak percaya oleh sidang DUN Perak(yang tidak dilakukan oleh BN).

4. Saya berpendapat keputusan mahkamah hari ini bukannya hendak memberitahu bahawa keputusan bekas ketua hakim negara(yakni Sultan Perak) adalah salah. Bahkan baginda bertindak melantik DS Zambry sebagai MB Perak setelah mendapati majoriti berpihak kepada BN(31 kerusi sementara PAS 28 kerusi). Hal ini terjadi setelah DS Tajul Rosli meletak jawatan dan DS Najib mengambil alih ketua perhubungan UMNO Perak. Sejurus selepas perkara itu berlaku, 3 ahli pembangkang keluar parti dan menjadi adun bebas yang menyokong BN. Saya pasti apa yang difikirkan baginda adalah kepentingan rakyat supaya urusan pentadbiran dan pembangunan tidak tergendala.

5. Keputusan mahkamah hari ini juga bererti Perak mempunyai dua menteri besar.

6. Tetapi belum pernah dalam mana-mana sejarah negeri mahupun negara di dunia yang mana minoriti menjadi MB sementara majoriti menjadi pembangkang. Adalah sulit untuk DS Nizar menjalankan tugas sebagai MB kerana kedudukan majoriti sidang ADUN sekarang berpihak kepada BN.

7. Justeru saya menganggap cadangan DS Nizar untuk menghadap Sultan Perak sejurus selepas keputusan mahkamah adalah tepat. Beliau mahu mengusulkan supaya DUN dibubarkan berikutan keputusan mahkamah memutuskan DS Nizar adalah MB yang sah.

8. Pada hakikatnya ini merupakan kesilapan BN sendiri kerana tidak melakukan usul undi tidak percaya sewaktu sidang DUN bersidang. BN dilihat lebih ghairah untuk memecat speaker Sivakumar tetapi terlepas pandang hal ini iaitu usul undi tidak percaya.

9. Jika cadangan pembubaran DUN tidak diterima juga oleh sultan, maka alternatif seterusnya adalah melakukan sidang DUN dan pada waktu itu BN mengusulkan undi tidak percaya kepada DS Nizar.

10. Kedua-dua alternatif ini pada saya bagus(yakni pilihanraya baru atau usul undi tidak percaya). Saya berpendapat BN tidak perlu gusar jikan pilihanraya kecil berlangsung lagi kerana sekarang pun majoriti berpihak kepada mereka.Jadi kenapa perlu risau?Cuma ia akan memakan masa dan merencatkan perhatian untuk kemajuan di negeri Perak.

11. Pada saya sesiapa pun yang menjadi MB- baik BN atau PR saya terima dengan hati terbuka kerana perlembagaan tubuh Perak mewajibkan MB mestilah seorang Melayu dan Islam. Bukan itu sahaja, selagi pembangunan di Perak diteruskan, kebajikan rakyat dijaga, keamanan negeri terkawal, perpaduan dieratkan, perniagaan berjalan lancar, pendidikan anak-anak terbela maka sesiapa pun yang menjadi MB saya sokong dan terima.

12. Yang penting buat kerja dan hasilnya, bukannya soalan siapa dan apa. Inilah yang dinamakan demokrasi dan kematangan politik sebenar!

Sunday, May 10, 2009

SALUT UNTUK MAMA


1. ''Seorang anak yang hebat lahirnya dari seorang ibu yang hebat.'' Begitulah ucapan musisi Indonesia yang terkenal Ahmad Dhani. Ternyata kehebatan dan kejayaan beliau dalam hidup adalah hasil daripada ketaatan dan kepatuhannya kepada seorang insan yang bernama ibu.

2. Saya sendiri bersyukur kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana, baik dan harmoni. Meskipun ibu saya bukanlah daripada orang-orang terkenal, tetapi beliau di mata saya tetap yang terbaik dan sepanjang hayat saya akan terhutang budi dengan seorang insan yang bernama ibu.
3. Hubungan saya dengan ibu sangat rapat sejak kecil lagi berikutan kerjaya ayah yang sentiasa berada di laut dan jarang sekali berada di rumah dan memang kehidupan saya semasa kecil sangat bergantung kepada ibu. Bahkan ketika pendaftaran sekolah rendah pun ibu yang bertungkus-lumus sendirian menguruskan saya kerana waktu itu ayah bertugas sebagai pemerhati pihak PBB di Sahara Barat.
4. Tidaklah dapat saya perincikan satu per satu pengorbanan ibu kepada saya tetapi cukup untuk saya mengingatinya sebagai seorang ibu yang sangat sabar dan tabah. Dan antara perkara-perkara yang tidak akan saya lupa adalah kehadiran ibu setiap kali hari anugerah cemerlang bermula dari tadika sampailah saya tamat tingkatan 5. Tidak lupa juga kewajipan ibu yang menghantar dan mengambil saya ketika alam persekolahan.
5. Saya tidak cerewet dalam makanan. Apa yang ibu masak saya makan dan biasanya saya dan abang bergilir-gilir memesan menu untuk masakan hari esok. Tapi bila sampai di giliran saya, biasanya saya memberi jawapan 'tak kisah'. Tetapi masakan ibu yang paling digemari adalah kuah kacang untuk masakan lontong dan ketika berada di UiTM antara perkara yang membuatkan saya rindu untuk pulang ke rumah adalah kopi di waktu pagi dan teh tarik di waktu petang yang ibu sediakan. Bahkan saya akan menelefon ibu malam atau beberapa jam sebelum peperiksaan untuk mendapatkan ketenangan dan semangat untuk menjawab exam.
6. Mengapa syurga di bawah telapak kaki ibu?Kenapa tidak di wajahnya ataupun di kepalanya? Syurga itu merupakan satu tempat di mana nikmatnya kekal abadi dan ia merupakan setinggi-tinggi tempat dan darjat kepada manusia. Ini memberi isyarat bahawa semulia-mulia tempat yang diciptakan Allah adalah di bawah keredhaan seorang insan yang mulia bernama ibu.

7. Sewaktu sekolah setiap kali waktu pulang saya akan duduk di belakang kereta dan membaca suratkhabar. Kawan-kawan ibu yang nampak mengusik ibu yang dia menjadi 'pemandu' kepada perdana menteri.Pada saya ibu bukan 'pemandu' tetapi 'pembentuk'.

8.Dan insyallah saya akan membanggakan ibu dengan menjadikan gurauan itu satu kenyataan satu masa nanti dan orang pertama yang akan saya jumpa setelah saya menjawat jawatan itu adalah: IBU.

9. Saya selalu berdoa dan berharap mudah-mudahan saya lahir daripada seorang ibu yang hebat!

Salut untuk ibu!